Tuesday, February 16, 2016

Cikgu, La TahZan

Bila mendengar seseorang meluahkan sesuatu, saya sebenarnya sedang memproses segala maklumat yang masuk ke dalam kotak fikiran saya untuk dirumuskan. Jika saya tidak mampu berfikir secara rasional, mungkin saya juga akan ikut emosional atau turut melenting atau turut sedih yang melampau-lampau dengan kesedihan yang sedang ditanggung oleh mereka. Ya, saya mesti tenang mendengar dan memproses. Selepas itu baru saya akan bertindak balas dengan cara yang terbaik mengikut kemampuan saya yang serba kekurangan ini.

La Tahzan, Cikgu..

Sabar cikgu. Inilah kerjaya kita. Bila kita memasuki bidang ini, inilah antara perkara-perkara yang perlu dihadam biarpun rasa terbeban. 

Tapi Cikgu... Saya....

Beginilah cikgu, saya faham bagaimana bebanan di hati cikgu. Tetapi adakah dengan cara itu cikgu sedang membantu diri sendiri? Atau cikgu sedang menyiksa diri sendiri? 

Bersabarlah cikgu... Allah sedang menguji cikgu. Tidak ada manusia yang tidak diuji dan kita semua sedang melalui ujian-ujian yang sama atau berbeza-beza... Yang membezakan kita ialah sejauh mana kita sabar, reda dan bersangka baik dengan Allah...

Adakah kita mengira bahawa Allah tidak tahu akan penderitaan yang sedang ditanggung oleh hambaNya? Adakah kita mengira Allah tidak tahu bila masa yang sesuai untuk memberi khabar gembira kepada hambaNya? 

La Tahzan Cikgu... La Tahzan...

Tadahkanlah tanganmu.. Ayuh... Ayuh... Berdoalah dengan sebenar-benar pengharapan... Dan letakkan keyakinan yang sepenuhnya kepada Allah dan yakinlah bila sampai masa yang sesuai buat cikgu, segalanya akan selesai. Mintalah kepada Allah agar diberikan jalan yang terbaik kerana hanya Allah Yang Maha Mengetahui sedang makhluk tidak mengetahui walau sedikit pun. Ingat, sangkaan-sangkaan itu hanya menambah beban di hati.  

Monday, February 15, 2016

Mengajar Itu Terapi Jika..................

Saya suka mengajar. Bila mengajar saya dapat bercakap, dapat meluahkan apa yang terpendam di hati.Dengan mengaitkan isi pengajaran dengan situasi semasa, pembelajaran itu terasa begitu bermakna. 

Anda bagaimana?


Mengajar itu terapi...

Bila mana kita mengajar , setiap baris ayat yang disampaikan itu mampu menjadi terapi buat hati kita. Saat kita seronok menyampaikan, ia memberi kesan baik pada hati. Ya, kegembiraan memberi kesegaran pada hati kita. Fikiran jadi lapang dan kita rasa bersemangat... Itulah terapi yang kita mungkin peroleh daripada pengajaran kita. Kegembiran adalah aset yang terbaik buat hati kita...

Namun, adakala mengajar itu menjadi musibah buat hati ketika mana kita mengajar tidak sepenuh hati. Kita jadi gelisah semasa mengajar dan pelajar pula gelisah ketika belajar. Akhirnya, mengajar tidak lagi menjadi terapi. Mungkin kata-kata yang negatif akan terbit dari mulut kita kerana mengajar sudah menjadi satu beban buat kita. Bukan lagi terapi buat hati yang dapat melonggarkan perasaan melalui kata-kata dan ilmu yang kita sampaikan kepada pelajar kita...





Sekolah Baharu... Jauhnya... Tapi Damai

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, kerana hari ini dapatlah saya menulis semula di blog ini setelah membiarkannya lebih kurang setahun tanpa sebarang perkongsian. Kekangan masa menyiapkan tesis menyebabkan saya terpaksa melupakan sementara beberapa perkara yang saya sangat suka lakukannya, termasuklah menulis di blog dan menulis buku yang baharu. Namun hari ini saya dapat menulis semula...

Untuk perkongsian yang pertama untuk tahun 2016 ini saya sekadar ingin berkongsi tentang tempat kerja saya yang baharu... Jika dahulu saya mengajar di Seremban, jaraknya lebih kurang 10 KM daripada rumah, tahun ini saya mula mengajar semula di sekolah yang baharu yang jaraknya lebih kurng 40 KM sehala..

Jauhnya! Itulah yang ramai orang fikirkan... Dan saya juga begitu pada permulaannya. Tetapi setelah sampai di sini, jarak tidak lagi menjadi perkiraan... Alhamdulillah, suasana kerjanya sangat mendamaikan dengan rakan sekerja yang baharu dan sempoi... Orang lama, tapi sangat baik dan membantu...

Jika sebelum ini mengajar Perakaunan Pra U, kali ini saya ajar pengajian perniagaan Pra U... Alhamdulillah, masih dalam bidang dan aliran yang sama. Hambe suka bangat....


Sekian sahaja.....


TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...