Showing posts with label Pemimpin. Show all posts
Showing posts with label Pemimpin. Show all posts

Friday, September 30, 2011

Jawatan Itu Beban !

Zaman ini begitu ramai orang yang begitu gembira apabila diberi jawatan. Malah ada yang sanggup bertindak diluar jangka semata-mata untuk memastikan jawatan itu berpihak kepadanya. Misalnya ada yang sanggup memfitnah, mengadu domba, merasuah dan bermacam-macam lagi dengan niat untuk mendapatkan jawatan yang diimpikannya itu. Tahukah anda bahawa jawatan itu adalah sesuatu yang begitu berat tanggungannya di akhirat kelak? Semakin besar jawatan, semakin besar tangungjawab, semakin beratlah amanahnya dan semakin banyaklah persoalan yang perlu dijawab di depan Allah kelak. Jawatan juga akan menjadikan seseorang itu dihormati atau dikeji. Namun ramai orang tidak sedar dan begitu taksub dengan jawatan. Malah ada yang begitu berbangga dengan jawatannya. Jika tertinggal perkataan ” Tuan/Puan”, apabila nama disebut masam mencuka mukanya. Jika tidak ”bangun” apabila dia datang berubah air mukanya. Mereka ini, dalam apa jua keadaan sentiasa inginkan penghormatan daripada manusia.

Ubati hatimu wahai pemimpin..

Seorang pemimpin yang baik mesti bermula dari hatinya. Apabila baik hatinya, maka baiklah tingkahlakunya. Jika kotor hatinya, maka buruklah tingkahlakunya. Ayuh para pemimpin sekalian walau dimana peringkat kamu berada dalam organisasi, ubatilah hatimu. Hanya hati yang bersih sahaja mampu memangkin kepimpinan yang terbaik dalam dirimu selari dengan kehendak agama.

Mari renungkan...

Daripada Abdul Rahman bin Samurah, daripada Nabi SAW sabdanya: “Wahai ‘Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau dibebankan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah)

(Riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasaie dan Ahmad)

Wednesday, July 27, 2011

Organisasi Itu Seperti Gerabak Keretapi

Ada pendapat mengatakan bahawa cemerlang pemimpin, cemerlanglah organisasi. pada perkiraan saya pendapat itu ada benarnya. Namun dari sudut pandangan sisi yang lain ada juga yang mengatakan walaupun tidak cemerlang seseorang pemimpin itu, organisasi tetap akan cemerlang kerana ahli-ahlinya begitu cemerlang. Pendapat ini juga saya persetujui. Namun begitu, di antara kedua-dua pendapat ini , seperkara yang wajar kita fikirkan bersama iaitu bagaimana kesannya apabila seorang pemimpin yang lemah itu menjadikan sesebuah organisasi yang cemerlang ke arah kehancuran.

Saya membawa contoh, di sebuah syarikat yang telah berkembang pesat. Produk keluarannya dikenali ramai dan menjadi sebuatan ramai. Ke sana ke mari masyarakat memperkatakan tentang kehebatan pemimpinnya mengemudikan syarikat sehingga berjaya dengan begitu cemerlang sekali. Namun langit tidak selama cerah, insan yang hebat yang telah membawa organisasi dengan begitu cemerlang sekali terpaksa melepaskan jawatannya disebabkan oleh faktor yang tertentu. Tugasnya kini diambil alih oleh seorang insan yang berbeza karektornya dengan pemimpin yang sebelumnya. Kelihatan banyak dasar-dasar syarikat diubah sesuka hati tanpa dinilai kesannya terlebih dahulu. Malah hubungannya dengan kebanyakkan pekerja begitu suram sekali. Kesannya motivasi kerja menurun. Apabila motivasi kerja menurun maka mutu produk juga menurun. Malah idea-idea baru bagi menyegarkan produk-produk syarikat sudah semakin hilang. Ahli organisasi lebih banyak berdiam kerana jika bersuara pasti merana. Akhirnya rentetan daripada perubahan demi perubahan yang dibuat yang tidak menepati keperluan pengurusan yang terbaik menyebabkan organisasi semakin lemah dan nama baik syarikat semakin buruk di mata masyarakat. Malah produk-produk mereka semakin tidak dipercayai.

Jika anda perhatikan contoh di atas, jelas kelihatan bagaimana kesannya apabila pemimpin yang teruk mengemudi organisasi yang dahulunya begitu cemerlang. Pada pandangan saya, pemimpin yang cemerlang akan bisa membangunkan organisasi yang lemah sebelum itu. Tetapi pemimpin yang lemah akan menyebabkan organisasi yang cemerlang rebah kerana kesilapannya. Malah begitu jarang kelihatan pemimpin yang lemah akan cemerlang organisasinya kerana ahli-ahlinya begitu cemerlang. Mungkin di awal permulaan kuasanya organisasi masih mampu mempertahankan kecemerlangannya. Tetapi apabila sampai satu ketika, ahli organisasi yang ada hati dan jiwa itu pasti akan terkesan dengan sikap pemimpin yang begitu lemah itu. akhirnya kecemerlangan itu akan beransur hilang dari pandangan. Percayalah!

"Organisasi itu seperti gerabak keretapi. Apabila kepalanya tergelincir, yang lain akan mengikut sama."

Wallahua'lam..





TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...