Saturday, July 31, 2010

Cinta Pada Buku...

Ada orang yang begitu taksub dengan sukan bola sepak...Maka kita gelar mereka itu gila bola. Semasa demam piala dunia, orang yang gila bola ini sanggup berjaga malam, semata-mata ingin menyaksikan perlawanan bola. Apatah lagi pasukan yang bakal bertemu pada jam 2.30 pagi itu pasukan 'favouritenya'.

Begitu juga yang gila pancing. Laut itu adalah mainannya sahaja. Pantang cuti panjang sedikit, pasti hobinya itu diutamakannya terlebih dahulu.

Sebenarnya ada satu lagi masalah 'gila' yang turut berlaku dalam masyarakat iaitu 'gila buku'. Golongan yang terlalu gilakan buku ini sanggup berhabis duit kerana begitu obses dengan buku. Setiap bulan wajib membeli buku walaupun hanya sebuah sahaja. Mereka ini Melihat buku sama seperti melihat makanan ketika lapar.

Saya juga suka buku

Sejak dibangku sekolah lagi saya sukakan buku. Tanpa saya sedar, banyak kitab-kitab ulama tersohor seperti kitab ihya ulumuddin karangan Imam Al-ghazali telah saya tekuni pada waktu itu. Namun pada ketika itu saya sekadar baca sahaja dan tidak pernah mengambil serius akan isi-isinya. Semasa belajar diperingkat lebih tinggi barulah saya menyedari akan kehebatan kitab-kitab tersebut kerana saya mula mempelajarinya dan mendengar ustaz-ustaz bercerita tentangnya ketika menyampaikan kuliahnya atau ceramah umumnya. Rasa bangga terhadap mereka mula menyelinap dalam diri saya kerana rupa-rupanya ulama ataupun para ilmuan Islam itu juga hebat. lihatlah bagaimana imam al-Ghazali bercerita tentang ilmu kejiwaan dengan begitu mendalam sekali. manakala Ibn Khaldun bercerita tentang masyarakat dengan begitu tersusun sekali. kitabnya 'Mukadimah' begitu bernilai sekali sehingga menjadi bahan kajian sehingga ke hari ini dan diterjemahkan dalam banyak bahasa.

Kini, setelah bekerja dan berumahtangga, rasa cinta saya terhadap buku semakin menebal. Pada saya, hanya dengan banyak membaca akan meningkatkan pemahaman saya terhadap sesuatu perkara. Hanya dengan membaca akan membuka minda dan menggalakkan budaya berfikir dalam diri saya. Membaca juga adalah terapi jiwa dan mampu mengurangkan stress bekerja. Di dalam kereta, di dalam beg kerja, di atas meja dibilik guru sehingga pulang bercuti ke kampung buku sentiasa bersama saya. Senang cerita, ke mana saya pergi, buku akan turut serta bersama saya. Malah, kerana begitu cintakan buku, saya turut menulis buku. Mungkin juga saya ini tergolong dalam golongan manusia yang gila buku. Mungkin juga..

Mungkin Mereka berdua ini juga suatu hari nanti akan obses dengan buku ( Ini anak-anak saya )



Razali Saaran
Johor bahru
31/7/10



Jangan Cepat Melatah

Dalam satu rancangan televisyen ada membincangkan tentang “ tabiat melatah” yang hanya wujud di kalangan bangsa melayu sahaja. Apabila mendengar pernyataan tersebut, saya terfikir ada benarnya perkara tersebut. Selama saya bergaul dengan bangsa lain samada semasa belajar di Universiti atau di tempat kerja sekarang, tidak pernah pula saya melihat bangsa selain melayu ini melompat-lompat melatah, mengulang-ulang perkataan yang sama berulang-ulang kali, menyebut perkataan-perkataan lucah atau yang lebih bahayanya membaling benda-benda yang berbahaya seperti pisau, gunting, batu dan sebagainya apabila dicuit atau disergah. Walaupun rancangan tersebut telah lama di tonton, saya masih terus terfikir akan perkara tersebut dan mengapa ini hanya terjadi pada bangsa melayu sahaja. Apakah rahsia yang Allah sembunyikan daripada tabiat yang semulajadi itu yang kadangkala ada di antaranya hanya dibuat-buat kerana mahukan perhatian.

Wujud kefahaman di kalangan pakar yang mempercayai melatah adalah satu kebiasaan yang tiada kaitan dengan penyakit tetapi ia dipercayai berkait rapat dengan fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan sosial. Malah, ia dipercayai terikat dengan sistem budaya sesuatu masyarakat. Pakar Psikologi, Dr William S Buroughs, menjelaskan latah adalah situasi terkejut melampau (hyperstartling) yang ditemui di Asia Tenggara pada sesetengah bangsa saja dan amnya pada wanita. Bagaimanapun, bukan wanita saja yang dikaitkan dengan melatah, lelaki juga apa kurangnya. Ada juga lelaki yang melatah dan kadang kala latah mereka lebih teruk daripada wanita.

Pengidap sindrom “ melatah ” adalah mereka yang perlu disedarkan agar mereka mengetahui bahawa ia merupakan satu tabiat yang tidak menguntungkan si pembawanya kerana apabila mereka melatah mereka sering membuka aib sendiri seperti bercakap yang bukan-bukan, terselak baju atau kainnya. Malah lebih membahayakan apabila mereka mencederakan orang lain tanpa disedarinya.

Melatah juga sering digunakan oleh sesetengah pihak apabila sesuatu yang diperkatakan telah mengundang rasa kurang senang dipihak yang lain. Maka digunakan perkataan " jangan capat melatah " untuk meredakan keadaan yang dilihat semakin panas dan bertujuan untuk merasionalkan semula pihak-pihak yang dilihat agak tersinggung dengan pernyataan yang dikeluarkan itu. Misalnya apabila ada yang mengatakan kerjaya sebagai guru itu merupakan satu pekerjaan yang mudah dan tidak mencabar berbanding kerjaya yang lain telah menyebabkan sesetengah guru bangkit dan mempertikaikan pernyataan tersebut. Maka banyaklah tulisan-tulisan samada di media massa atau di blog-blog dan forum-forum tertentu yang mengecam pernyataan tersebut. Bermacam-macam alasan diberikan untuk mematahkan penyataan yang tidak logik pada pandangan sesetengah guru. Dalam contoh ini, guru-guru tersebut mungkin dianggap sedang melatah dengan pernyataan yang dikeluarkan itu.

apapun, melatah ini begitu unik untuk diperbincangkan. Pada pandangan saya, melatah kerana dicuit itu kurang bahayanya kerana ia lebih bersifat hiburan walaupun ia agak menyeksa si pengidapnya. Sekurang-kurangnya ia mampu memnghiburkan hati dan merapatkan hubungan di antara sipengidap penyakit latah dan juga si pengusiknya. Sebaliknya, melatah kerana dikritik dan dipersoalkan itu lebih berbahaya dan wajar diberi perhatian. orang yang cepat melatah kerana dikritik dan dipersoalkan akan dirinya pastinya meninggalkan banyak kesan negatif dalam masyarakat. Sekiranya ia berlaku dalam organisasi, pastinya organisasi tidak kondusif. Ini kerana untuk melahirkan organisasi yang cemerlang, perlu ada sifat terbuka dalam menerima kritikan dan teguran. Memanglah teguran itu menyakitkan. Saya sendiri mengakui kadangkala tidak kuat dalam menerima kritikan dan teguran. Tetapi saya sedang belajar mengurus hati dalam menerima teguran dan kritikan daripada sesiapapun termasuklah pelajar saya sendiri. Anda pula bagaimana? semoga anda dan saya diberi kekuatan dalam menerima kritikan dan teguran dan bersedia pula untuk berubah sekiranya perkara itu benar. dan tidak cepat melatah dalam menerima kritikan dan teguran. Dengar dahulu, nilai dan barulah diambil tindakan. Jika kritikan itu benar, marilah kita bersama mengubahnya untuk kebaikan...Jika kritikan itu tidak benar, maka marilah kita menjelaskan dengan tenang dan tidak emosi.

Bersabarlah...Apa yang kita tidak sukai itu, mungkin terbaik buat kita...termasuklah sebarang teguran dan kritikan yang kita terima selama ini...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini




Selamat Berubah kepada Kehidupan baru...
Razali Saaran..
Johor bahru
31 Julai 2010





Thursday, July 29, 2010

Selamat Menghadapi Peperiksaan Anak DidikKU...

Bermula 2 ogos 2010 anak didikku di tingkatan 3 akan berhadapan dengan percubaan PMR..Pada 16 ogos pula anak didikku yang berada ditingkatan lima pula bakal berhadapan dengan peperiksaan percubaan SPM...cikgu sangat mengerti perasaanmu wahai anak-anak didikku kerana suatu ketika dahulu cikgu pernah melaluinya. Tetapi cikgu percaya, tentunya kamu semua telah bersedia bukan? lagi pun tips-tips yang telah diberikan oleh guru-guru termasuklah cikgu sendiri sudah cukup sebagai bekalan buatmu apabila berhadapan dengan peperiksaan nanti...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Jangan Berputus Asa !

wahai anak didikku sekalian, adalah Menjadi kewajipan buat kamu untuk berusaha setakat mana yang termampu olehmu...tetapi janganlah sekali-kali kamu berputus asa sebelum berjuang..kerana orang yang mengaku kalah sebelum bertempur itu adalah mereka yang gagal..


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Doa cikgu, semoga kamu semua berjaya...

Tiada apa yang mampu cikgu berikan disaat ini melainkan doa buat kamu...Setiap kali cikgu melihat kamu, cikgu mengerti harapan yang terpendam dihati kamu iaitu kamu inginkan sebuah kejayaan...Ya Allah, Engkau permudahkanlah urusan peperiksaan Anak didikku ya Tuhan...Dan berikanlah kejayaan kepada mereka...Amin...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


DEDIKASI BUAT PELAJAR2 Ku:

3AKTIF, 3 BESTARI,3KREATIF
5PA DAN 5SN 2......
SERTA SEMUA PELAJAR SMKTD 2 YANG BAKAL MENGHADAPI PERCUBAAN PMR DAN SPM..

Monday, July 26, 2010

Bercakaplah Benar Walaupun Pahit

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : "Berkatalah benar walaupun pahit".

Baginda juga pernah berkata : "Sebaik-baik jihad ialah berkata benar walaupun di hadapan raja yang zalim".

Kata Rasulullah lagi :

"Apabila Allah menghendaki seorang hambaNya mendapat kebaikan, Ia buka kunci hatinya dan menjadikan dalam hati itu rasa keyakinan dan kepercayaan yang kukuh, dan Ia menjadikan hatinya sentiasa sedar tentang liku-liku hidup yang dijalaninya dan Ia jadikan hatinya sihat sejahtera, lidahnya bercakap benar, tingkah laku, gerak geri dan perangainya lurus. Juga Ia menjadikan telinganya mendengar kebenaran dan matanya melihat hakikat kenyataan"

Allah juga berFirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara). Supaya Ia memberi taufik dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu".

[al-Ahzab ayat 70-71]

Ya Allah jadikanlah daku dikalangan hamba-hambaMu yang sentiasa berkata benar dan tidak gentar untuk berkata benar...Ya Allah Engkau berikanlah kekuatan kepada ku untuk berkata benar biarpun daku dalam keadaan lemah atau sedang dilemahkan..dan berikanlah kelancaran pada lidahku dalam menyampaikan kata-kata yang benar biarpun ianya begitu berat untuk disampaikan.

Ya Allah, Engkau ampunkanlah daku kiranya terdetik dalam hitiku walau sekelumit rasa bangga kerana telah berkata benar...Engkau jauhilah aku dari rasa sombong semasa berkata-kata, gembira bila dipuji kerana berkata benar dan rasa ujub bila bersendirian....




Saturday, July 24, 2010

Jahiliah Moden





Jika dahulu, sebelum kedatangan Islam, masyarakat arab ketika itu begitu malu memiliki anak perempuan. saya masih ingat semasa di sekolah dahulu ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah bercerita tentang keburukan orang di zaman itu. masakan tidak, anak perempuan ditanam hidup-hidup tanpa rasa berdosa.

Kini, zaman telah berubah. Islam telah menerangi kehidupan umat manusia. Tiada lagi zaman jahiliah sebagaimana jahiliah diketika itu. Tiada lagi bayi-bayi perempuan ditanam hidup-hidup oleh keluarganya. Yang ada kini ialah zaman baru yang layaklah dipanggil zaman jahiliah moden. orang tidak lagi menanam bayi perempuan sahaja, sebaliknya jahiliah moden tidak mengenal jantina. Lelaki atau perempuan, kedua-duanya dibunuh. Malangnya kadangkala jahiliah moden ini tidak dikatakan membunuh, tetapi apabila ditangkap, mereka dikatakan sebagai menyembunyikan kelahiran sahaja. Maka hukumannya tentunya ringan sahaja berbanding kesalahan membunuh. Tetapi ingat, di dunia ini tentunya mereka berasa senang dan gembira dengan hukuman yang tidak menakutkannya itu. Namun, di akhirat kelak pasti mereka tahu pembalasannya.




Wahai si Jahiliah moden, hari ini kamu tentu berasa lega kerana perbuatanmu tidak diketahui orang. Ketika mana bayi-bayi itu dibuang, ditanam, ditinggalkan di depan pintu-pintu surau atau masjid, dilemparkan di tempat pembuangan sampah atau kamu mencekiknya sehingga mati, tiada siapa yang melihatnya. Tetapi ingat, diakhirat pastinya pembalasannya maha hebat. Allah tidak buta, malah maha melihat.



Dia juga tidak pernah lupa, malah maha mengingat. Allah juga tidak pernah tidak mendengar kerana Dia adalah maha mendengar. Pasti Pembalasan akan tiba jua. Jika tidak di dunia, akhirat pasti ada. Maaf jahiliah moden, kamu tidak layak dipanggil manusia. Malah kamu lebih teruk dari seekor haiwan yang pada perkiraan kamu begitu hina. Kamu tidak percaya? Mari baca dalil ini:

....Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi....

[Surah Al-A’raf ayat 179]





Wednesday, July 21, 2010

Teman Ketawa Ramai....


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Apa khabar pembaca sekalian. tentunya anda telahpun membaca tajuk di atas itu bukan? apa pendapat anda tentang penyataan tersebut. Adakah anda bersetuju?

orang tua-tua sudah lama berpesan kepada kita tentang perkara tersebut agar kita tidak lupa bahawa berhati-hatilah dalam memilih kawan. Bimbang-bimbang akhirnya menjadi lawan. Namun jika kita perhatikan nasihat itu seperti angin yang meniup melintasi manusia, sekadar terasa anginnya, sedangkan kesannya tidak lama kerana akhirnya angin berlalu pergi meninggalkan manusia. Begitulah halnya dengan manusia, nasihat itu tidak lekat dihatinya, sekadar melintasi halwa telinga dan selepas itu ia lenyap dari ingatan. kerana itulah kita dapat menyaksikan begitu ramai manusia yang hidupnya musnah kerana kawan. Dikala senang ia ditatang bak dan dijulang Bak raja. Ke mana pergi ditanya, kembali dinanti-nantikan. Tetapi apabila ia di dalam kesusahan, kawan-kawannya melupakannya. Mereka berdalih seribu daya, menepis dengan sejuta alasan dengan niat sebenar mereka tidak mahu membantu. Di saat itu tinggalkan mereka keseorangan tanpa kawan-kawan menghadapi kesusahan yang mendatang. Air mata tiada lagi untuk menangis, suara tiada lagi untuk meminta...Yang ada hanyalah kesedihan dan harapan yang belum pasti arah tujuannya..

Kawan yang baik adalah kawan yang sentiasa bersamamu disaat susah dan senang

Sebenarnya tiadalah contoh terhebat yang mampu saya berikan kepada anda berkaitan kawan-kawan yang terbaik. malah jika diukur dan disukar dengan cara apa sekalipun, tiada siapa mampu mengatakan bahawa ini bukan contoh yang tepat. Tahukah anda bahawa contoh kawan-kawan yang baik ialah sahabat-sahabat Rasulullah. Mereka sangat mengasihi Baginda, setia, sanggup bekorban masa dan nyawa, wang ringgit dan harta benda. Dikala Rasulullah gembira mereka turut bersama. Dikala RAsulullah bersedih mereka tetap juga bersama Baginda. Merekalah contoh teman menangis yang sukar dicari di saat ini. mungkin ada, tetapi tentunya tidak sehebat mereka ( para sahabat).

Masihkah ada lagi Teman Menangis?


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Jawapan saya adalah Ya..Tentunya ada cuma terlalu sukar dicari. tidak perlu pergi terlalu jauh, cukuplah kita bertanya kepada diri kita sendiri. adakah kita ini tersenarai dalam golongan teman menangis? sejauh manakah kita meletakkan kepentingan diri berbanding nilai sebuah persahabatan. sekiranya di depan kita ada seketul ayam, sedangkan kita sangat mengidamkannya. Tiba-tiba teman kita juga kelihatan menginginkannya. Adakah kita akan mendahulukannya, atau kita meletakkan kepentingan kita terlebih dahulu. jika contoh sekecil itu sudah meletakkan kita sebagai manusia yang memikirkan diri terlebih dahulu, maka di manakah kedudukan kita. Sememangnya tidak dinafikan, dalam keadaan tertentu kita perlu bertindak mementingkan diri, tetapi sekiranya kita masih mampu meletakkan kepentingan diri di belakang kepentingan orang lain maka itulah yang terbaik buat kita dalam sebuah persahabatan. Lihatlah sejarah kaum muhajirin dan ansar yang begitu hebat nilai persahabatan mereka. Bacalah sejarah mereka pasti anda akan menjumpai nilai pengorbanan yang hebat dalam diri mereka.

Ya Allah, jadikanlah kami dikalangan teman yang bisa menangis

Sebenarnya untuk menjadi teman yang baik, yang bisa menangis dikala duka setelah ketawa bersama-sama di saat senang itu tidak semudah disangkakan. Ianya berkehendakkan kepada kebersihan dijiwa. Hanya yang bersih hatinya daripada sebarang kepentingan duniawi bisa menjadi teman menangis. Mereka ini tidak sukar menghulur sekadar yang termampu. Jika tiada kemampuan wang ringgit dan harta, kata-kata yang indah dan baik diucapkan sebagai dorongan terhadap jiwa yang sedang gundah gulana. Tidak ketinggalan juga doa sentiasa dihulurkan kepadanya buat penguat dijiwa. Ya Allah, jadikanlah kami teman-teman yang bersahabat semata-mata keranaMU agar kami bukan sekadar bisa ketawa dikala senang, tetapi bisa menangis dikala ditimpa kesusahan dan sering berpesan-pesan ke arah kebenaran serta bertolong-tolongan dalam mengerjakan kebajikan.

salam ukhwah buat semua Teman2Ku...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Saturday, July 17, 2010

Aku Menulis Bukan Kerana Nama

Memang tidak dinafikan ada suara-suara yang berkata “ razali” dah glamour kerana dah ramai yang mengenali aku kerana aku telah bergelar penulis. Malah ada yang terang-terangan mengatakan perkataan itu kepadaku tanpa tapisan. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah senyum dan menjelaskan tentang perkara yang sebenar. Namun aku tidak tahu samada mereka mempercayainya atau tidak.

Dua Buah Bukuku Yang Kini Di Pasaran

i. Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik ( HCRM )



Buku ini adalah buah tanganku yang pertama. Ia begitu bermakna buatku kerana akhirnya apa yang terpendam dalam diriku berkaitan guru terluah jua akhirnya. Bagi mereka yang membaca buku ini, pasti bertemu dengan mukadimah tulisanku yang menceritakan mengapa buku ini ditulis.


ii. Watak-Watak Dalam Organisasi



Buku yang kedua ini pula berkenaan dengan organisasi. Sengaja aku memilih tajuk ini untuk menggambarkan tentang perwatakan-perwatakan yang sering wujud dalam organisasi yang seringkali dilupakan dan tidak diambil peduli. Sedangkan kesannya begitu hebat kepada organisasi.

Aku Menulis Kerana Menegur Diriku Sendiri

Sebenarnya Allah jua yang lebih mengetahui apa yang bermain-main disebalik hatiku tentang tujuan sebenar aku menulis. Kerana itu jugalah sepanjang masa aku sentiasa berdoa semoga Allah sentiasa mengekalkan niat asalku menulis iaitu keranaNya.

Menulis tentang diri Rasulullah adalah cabaran terhebat buatku. Tanpa background agama semestinya menimbulkan banyak tanda tanya dibenak pembaca. Sedangkan hakikat sebenarnya Allah telah memilihku untuk menulis tentang perkara itu. Semakin berat aku menahan diri semakin terseksa batinku. Akhirnya aku menulis, dan jiwaku semakin tenang kerana sekurang-kurangnya apa yang terpendam dibenakku telah terurai. Sekurang-kurangnya mereka yang bergelar pendidik itu akan menyedari bahawa Rasulullah ada meninggalkan sesuatu buat kita semua. Dan janganlah hanya membesarkan apa yang dibawa oleh barat dan berbangga apabila memperkatakan tantangnya. Sebaliknya berbanggalah apabila memperkatakan tentang apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah.

Menulis tentang organisasi pula merupakan sesuatu yang istimewa buat diriku. Ia adalah realiti sebenar yang berlaku dalam organisasi. Aku benar-benar memerhatikan betapa masalah watak ini begitu mencengkam organisasi. Begitu ramai yang menderita dengan watak-watak yang negatif ini. Dan aku percaya tentu ramai yang bersetuju denganku bukan?

Apapun semua yang aku tulis ini adalah nasihat utama buat diriku. Aku begitu takut dengan peringatan Allah ini :

“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”

[ al- Shaff : 2-4 ]

Aku Sedang Menyiapkan Beberapa Buah Buku Lagi

Alhamdulillah aku sedang bertungkus-lumus menyiapkan beberapa buah buku lagi. Sekiranya tiada halangan, buku ketiga yang 70% siap akan disiapkan. Apapun bergantung kepada kesibukanku. Semoga Allah memudahkannya kerana semua yang terjadi itu adalah ketentuan Allah juga. Sekiranya Allah berkehendakkan kepada ianya siap, maka pasti akan siap jua..Ya Allah permudahkanlah usaha hambaMu yang begitu kecil ini.

Kepada rakan-rakan dan sesiapa yang mengenaliku semoga kalian mendoakan yang terbaik buatku. Buat Isteri tersayang terima kasih begitu memahami minat suamimu yang begitu mendalam terhadap buku dan ilmu. Buat anak-anak tersayang, apa yang abah buat ini tiada lain semata-mata kerana Islam, bukan kerana nama.

Wallahua’lam

Razali Saaran
6 Sya’ban 1431
18 Julai 2010




Hari Keluarga SMK Taman Daya 2 - Tahun 2010

Alhamdulillah..akhirnya selepas beberapa tahun menanti, smktd2 berjaya juga menganjurkan family day ditempat yang menarik..alhamdulillah memang berbaloi dengan harga yang dibayar..bilik yang selesa, ada kolam renang dan tempat yang damai, sedamai namanya iaitu Damai Beach Resort desaru johor..

walaupun pergerakan saya agak terhad kerana anak masih kecil, tetapi keseronokannya masih terasa terutama sekali bila anak-anak dapat berenang di air yang tenang..terutama sekali haris yang memang pantang jumpa air..



Gembiranya anakku sorang nie


bukan dia sahaja, adiknya pun apa kurangnya..Tapi kesian hashri, menggigil tak tahan sejuk..ahaa, tapi tetapi nak mandi juga. hehe, ibu mereka juga apa kurangnya seronok melaya haris dan hashri..kononnya nak temankan anak-anak mandi, tapi nampak gaya si ibu tuh yang lebih-lebih.








Bukti Isteriku yang lebih seronok daripada anak2 Ku..hehe









jangan marah yer sayang, abang gurau2 jer..



Akupun sama, seronok jugak dapat berendam, ahaa..














Permandangan di waktu malam..Indahnya


















Intai apa tu haris..Adik plak buat aper..

















Sedang merenung masa depan















apapun, percutian singkat yang menyeronokkan..tahniah kepada kebiru 2010 di bawah jagaan kak ina ( Pn salina )kerana berjaya menganjurkan Hari keluarga Yang menarik ini..

Thursday, July 15, 2010

Adolf Hitler : Sudut Kisah Yang Jarang Kita Dengar

Dipetik daripada www.tranungkite.net

By: Azhar Abdullah

Apa yang bakal anda baca ini ialah sebuah email yang saya terima dari seorang kawan dari Arab Saudi...saya terjemahkan ke dalam Bahasa Melayu dan saya kongsi bersama anda semua...

Penghormatanku kepada lelaki agung, Adolf Hitler, semoga ada sepertinya di zaman ini...



Aku berbual dengan seorang ahli keluarga yang sedang menamatkan tesis PhD beliau dan aku amat terperanjat apabila beliau nyatakan tesis beliau berkaitan Adolf Hitler, pemimpin Nazi. Maka aku katakan "Takkan dah habis semua tokoh Islam di dunia ini sampai kamu memilih si bodoh ini dijadikan tajuk?"

Beliau ketawa lalu bertanya apa yang aku ketahui tentang Hitler.

Aku lalu menjawab bahawa Hitler seorang pembunuh yang membunuh secara berleluasa dan meletakkan German mengatasi segala-galanya...lalu dia bertanya dari mana sumber aku. Aku menjawab sumberku dari TV pastinya.

Lalu dia berkata : " Baiklah, pihak British telah melakukan lebih dahsyat dari itu...pihak Jepun semasa zaman Emperor mereka juga sama...tapi kenapa dunia hanya menghukum Hitler dan meletakkan kesalahan malahan memburukkan nama Nazi seolah-olah Nazi masih wujud hari ini sedangkan mereka melupakan kesalahan pihak British kepada Scotland, pihak Jepun kepada dunia dan pihak Afrika Selatan kepada kaum kulit hitam mereka?"

Aku lantas meminta jawapan dari beliau. Beliau menyambung : "Ada dua sebab -

1. Prinsip Hitler berkaitan Yahudi, Zionisme dan penubuhan negara Israel. Hitler telah melancarkan Holocaust untuk menghapuskan Yahudi kerana beranggapan Yahudi akan menjahanamkan dunia pada suatu hari nanti.

2. Prinsip Hitler berkaitan Islam. Hitler telah belajar sejarah kerajaan terdahulu dan umat yang lampau, dan beliau telah menyatakan bahawa ada tiga tamadun yang terkuat, iaitu Parsi, Rome dan Arab. Ketiga-tiga tamadun ini telah menguasai dunia satu ketika dulu dan Parsi serta Rome telah mengembangkan tamadun mereka hingga hari ini, manakala Arab pula lebih kepada persengketaan sesama mereka sahaja. Beliau melihat ini sebagai satu masalah kerana Arab akan merosakkan Tamadun Islam yang beliau telah lihat begitu hebat satu ketika dulu.

Atas rasa kagum beliau pada Tamadun Islam, beliau telah mencetak risalah berkaitan Islam dan diedarkan kepada tentera Nazi semasa perang, walaupun kepada tentera yang bukan Islam.



Beliau juga telah meberi peluang kepada tentera German yang beragama Islam untuk menunaikan solat ketika masuk waktu di mana jua...bahkan tentera German pernah bersolat di dataran Berlin dan Hitler ketika itu mennggu sehingga mereka tamat solat jemaah untuk menyampaikan ucapan beliau...






Hitler juga sering bertemu dengan para Ulamak dan meminta pendapat mereka serta belajar dari mereka tentang agama dan kisah para sahabat dalam mentadbir...

Hitler bersama Syeikh Amin Al-Husainiy




Beliau juga meminta para Sheikh untuk mendampingi tentera beliau bagi mendoakan mereka yang bukan Islam dan memberi semangat kepada yang beragama Islam untuk membunuh Yahudi...








Seorang tentera Nazi melekatkan gambar Mufti Al-Quds




Semua maklumat ini ialah hasil kajian sejarah yang dilakukan oleh saudara aku untuk tesis PhD beliau dan beliau meminta aku tidak menokok tambah apa-apa supaya tidak menyusahkan beliau untuk membentangkannya nanti. Beliau tidak mahu aku campurkan bahan dari internet kerana aku bukan pakar bidang sejarah. Tetapi gambar-gambar yang ada di sini sudah lama tersebar dan semua orang boleh melihatnya di internet.

Aku juga sedaya upaya mencari maklumat tambahan di internet dan berjumpa beberapa perkara :

1: Pengaruh Al-Quran di dalam ucapan Hitler.
Ketika tentera Nazi tiba di Moscow, Hitler berhajat menyampaikan ucapan. Dia memerintahkan penasihat-penasihatnya untuk mencari kata-kata pembukaan yang hebat tak kira dari kitab agama, kata-kata ahli falsafah ataupun dari bait syair. Seorang sasterawan Iraq yang bermastautin di German mencadangkan ayat Al-Quran :

(اقتربت الساعة وانشق القمر) bermaksud : Telah hampir Hari Kiamat dan bulan akan terbelah...

Hitler berasa kagum dengan ayat ini dan menggunakannya sebagai kalam pembukaan dan isi kandungan ucapan beliau. Memang para ahli tafsir menghuraikan bahawa ayat tersebut bermaksud kehebatan, kekuatan dan memberi maksud yang mendalam.

Perkara ini dinyatakan oleh Hitler di dalam buku beliau Mein Kampf yang ditulis di dalam penjara bahawa banyak aspek tindakan beliau berdasarkan ayat Al-Quran, khususnya yang berkaitan tindakan beliau ke atas Yahudi...


2. Hitler bersumpah dengan nama Allah yang Maha Besar

Hitler telah memasukkan sumpah dengan nama Allah yang Maha Besar di dalam ikrar ketua tenteranya yang akan tamat belajar di akademi tentera German.

" Aku bersumpah dengan nama Allah (Tuhan) yang Maha Besar dan ini ialah sumpah suci ku,bahawa aku akan mentaati semua perintah ketua tentera German dan pemimpinnya Adolf Hitler, pemimpin bersenjata tertinggi, bahawa aku akan sentiasa bersedia untuk berkorban dengan nyawaku pada bila-bila waktu demi pemimpin ku"


3. Hitler telah enggan meminum beer (arak) pada ketika beliau gementar semasa keadaan German yang agak goyah dan bermasalah. Ketika itu para doktor mencadangkan beliau minum beer sebagai ubat dan beliau enggan, sambil mangatakan " Bagaimana anda ingin suruh seseorang itu minum arak untuk tujuan perubatan sedangkan beliau tidak pernah seumur hidupnya menyentuh arak?"

Ya, Hitler tidak pernah menjamah arak sepanjang hayat beliau...minuman kebiasaan beliau ialah teh menggunakan uncang khas...


Bukanlah tujuan penulisan ini untuk membela apa yang dilakukan oleh Hitler, tetapi ianya bertujuan untuk menyingkap apa yang disembunyikan oleh pihak Barat. Semoga kita semua beroleh manfaat.







Sunday, July 11, 2010

Teka-Teki Imam Al-Ghazali

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al-Ghazali bertanya:

1. Pertama, "Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?" Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya.

Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "mati". Sebab itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." (Surah Ali Imran 185)

2. Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. "Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?" Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang.

Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah "masa lalu". Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak bisa kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.


3. Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. "Apa yang paling besar di dunia ini?" Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "nafsu"

Justeru nafsu yang menguasai diri, menyebabkan manusia gagal menggunakan aqal , mata, telinga dan hati yang dikurniakan oleh Allah untuk hidup berlandaskan kebenaran. Fenomena ini menyebabkan mereka terjerumus ke dalam Api neraka Jahanam.

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai." (Surah Al A'araaf 179)

Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.


4. Pertanyaan keempat adalah, "Apa yang paling berat di dunia ini?"
Ada yang menjawab baja, besi dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Ghazali, tapi yang paling berat adalah "memegang amanah"

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan." (Surah Al Ahzaab 72)

Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak bisa memegang amanahnya.


5. Pertanyaan yang kelima adalah, "Apa yang paling ringan di dunia ini?"
Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan solat. Gara-gara pekerjaan, kita tinggalkan solat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.


6. Lantas pertanyaan keenam adalah, "Apakah yang paling tajam di dunia ini?"
Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang! Benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling tajam adalah "lidah manusia". Kerana melalui lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Sumber : warkahilmu.blogspot.com

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...