Wednesday, April 29, 2009

Was-Was itu daripada Syaitan!!

KERAGUAN adalah suatu fenomena lazim yang dihadapi manusia. Ia datang dan hilang tanpa diduga, namun dalam sesetengah kes, perasaan itu sukar dilenyapkan dan berpanjangan sehingga kerap mempengaruhi diri.

Bahayanya apabila ia bukan setakat menyukarkan seseorang menilai dan membuat keputusan terhadap sesuatu perkara, malah pada satu tahap mengakibatkan hati tidak tenteram.

Seringkali mereka yang dikuasai perasaan ini mengalami masalah dalam menentukan keseimbangan hidup seharian dan bagi umat Islam ia mengganggu tumpuan dalam aspek keimanan dan amal ibadat.

Perasaan ragu-ragu boleh disamakan dengan sangsi, waswas, syak hati dan bingung seperti diterangkan dalam Kamus Dewan.

Ditinjau lebih jauh ia juga disifatkan sebagai bisikan dan suara halus syaitan.

Syaitan berusaha sedaya upaya mengganggu manusia dengan menitipkan perkara bukan-bukan supaya timbul kecelaruan di dalam hati, malah kadangkala mempengaruhi keputusan akal.

Al-Quran ada menjelaskan perkara ini, antaranya ayat dari surah an-Nas, antara lain bermaksud: "Dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia."

Sahabat Nabi Muhammad s.a.w juga dilaporkan tidak terlepas daripada perasaan ragu-ragu dan syubhat.

Malah, sesetengah mereka datang kepada baginda mengadukan perkara terbabit.

Abu Hurairah menceritakan, beberapa orang sahabat Rasulullah ]datang dan bertanya: "Sesungguhnya kami mendapati di dalam diri kami suatu yang kami tidak mampu untuk mengucapkannya."

Rasulullah bertanya: "Apakah engkau mendapatinya?"

Sahabat menjawab: "Ya."

Rasulullah bersabda: "Itulah kejelasan iman." (Hadis riwayat Muslim)

Kejelasan iman itu dimaksudkan penolakan gangguan syaitan dan kebencian mereka terhadapnya.

Umat Islam diajar memohon perlindungan dari Allah apabila didatangi bahaya batin iaitu perasaan ragu-ragu dan ingatan buruk angkara makhluk yang tidak kelihatan, seperti syaitan dan jin serta dari tipu daya manusia.

Surah an-Nas adalah antara pelindung daripada bahaya terbabit.

Rasulullah ada menjelaskan ayat yang terkandung dalam surah an-Nas dan al-Falaq tidak ada tolak bandingnya bagi memohon pertolongan Allah daripada segala jenis bahaya.

Imam Muslim meriwayatkan hadis bermaksud: "Bacalah surah-surah (al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas) tiga kali apabila engkau berada pada waktu pagi dan tiga kali apabila engkau berada pada waktu petang supaya engkau terpelihara dan terselamat dari segala bahaya dan bencana."

Seorang alim bernama Syaqiq menerangkan mengenai bisikan syaitan di dalam diri manusia, katanya: "Tiada satu pagi pun melainkan duduk padaku syaitan dari empat penjuru, dari depanku, belakang, kanan dan sebelah kiriku."

Seterusnya dia berkata: "Janganlah engkau berasa takut, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Kemudian dia membaca ayat 82 dari surah Taha, ayat 6 dari surah Hud, ayat 128 dari surag al-A'raaf dan ayat 54 dari surah Saba pada setiap penjuru.

Ibrahim bin Hakim menceritakan; dari ayahnya, dari Ikrimah, dia berkata: "Ada seorang lelaki yang berpergian jauh (musafir), ternampak seorang lelaki sedang tidur dan dekatnya ada dua syaitan.

"Musafir terbabit mendengar satu antara syaitan itu berkata kepada temannya: 'Sila pergi dan rosakkan hati orang yang sedang tidur itu.'

"Apabila syaitan itu menghampirinya dia berpatah balik kepada temannya dan berkata: 'Dia tidur dengan satu ayat yang membuatkan kita tidak menemui jalan kepadanya.'

"Satu lagi syaitan datang kepadanya. Apabila menghampirinya, ia berpatah balik kepada temannya dan berkata: 'Engkau betul.'

"Kemudian syaitan terbabit beredar dari tempat itu.

Musafir terbabit mengejutkan lelaki yang sedang tidur itu dan menceritakannya hal syaitan yang dilihatnya itu. Dia bertanya: 'Apa yang engkau baca ketika hendak tidur?'

"Lelaki itu menjawab: 'Aku membaca ayat ini (maksudnya: Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari atau ketika mereka berehat pada tengah hari-ayat 4 surah al-A'raaf).'"

Mereka yang menghiaskan diri dengan takwa dan iman, malah selalu mengingati Allah sukar diganggu bisikan syaitan. Hati mereka tenang dan tidak mudah dipengaruhi, walaupun berdepan dengan cabaran dan godaan.

Ibnu Qayyim berkata, sangat perlu bagi seseorang agar tidak menghentikan lidahnya daripada berzikir kepada Allah. Dengan zikir seseorang dapat melindungi dirinya, sedangkan syaitan tidak dapat masuk kepadanya melainkan melalui pintu kelalaian.

Syaitan sentiasa mengintai manusia. Apabila manusia lalai dan mengantuk ia menerkamnya.

Apabila manusia berzikir kepada Allah, terancamlah musuh Allah itu dan berasa dirinya terhina dan tertunduk.

Ibnu Abbas berkata: "Syaitan itu seperti virus penyakit di hati manusia. Apabila manusia lalai dan lupa, syaitan beraksi dan apabila manusia ingat kepada Allah ia menyorok (lari bersembunyi)."

Tetapi tidak dinafikan, sesetengah pihak mengalami kesukaran menangkis ancaman terbabit walaupun selepas dibaca doa pelindung dan ini membuatkan diri semakin buntu memikirkan usaha terbabit.

Dalam hubungan ini Ibnu al-Jauzi ada membuat perumpamaan, katanya: "Ketahuilah sesungguhnya perumpamaan iblis terhadap orang yang takwa dan tidak adalah seperti seorang sedang duduk di hadapannya ada makanan dan daging.

"Seekor anjing melalui kawasan itu, kemudian dia berkata: 'Husy! Husy!.'

"Anjing itu berlalu dan kemudian datang pada orang lain, juga terdapat makanan dan daging di hadapannya.

"Orang itu juga menghalau anjing terbabit dengan mengatakan: 'Husy! Husy!.' Tetapi kali ini anjing tidak mahu meninggalkannya.

"Perumpamaan yang pertama adalah seperti orang yang takwa didatangi syaitan, ia mampu menghalau syaitan dengan zikir saja. Perumpamaan kedua seperti orang yang tidak takwa, syaitan tidak mahu lari darinya (walaupun dihalaunya dengan zikir)."

Justeru, bagi orang Islam yang ingin selamat dari bisikan syaitan dan tipu dayanya, hendaklah menyibukkan diri dengan ketakwaan, keimanan dan perlindungan kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.

Sumber : Harian Metro


Thursday, April 16, 2009

Menangislah di sini.............

Sumber : Al-Ahkam.net

Detik waktu bersama kelahiran seorang bayi dihiasi tangisan. Nyaring berkumandang, menyaring segala suara yang menyapa telinga si ibu. Lonjak hatinya memuncak gembira penawar sakit dan lesu. Lalu bermulalah sebuah kehidupan yang mewarnai bumi berpenakan hati, berdakwatkan air mata.

Air mata adakalanya penyubur hati, penawar duka. Adakalanya buih kekecewaan yang menyempit perasaan, menyesak kehidupan. Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor diperlimpahan. Namun setitis air mata kerana takutkan ALLAH persis permata indahnya yang bemergemerlapan.
'
Penghuni Syurga ialah mereka yang banyak dukacitanya di dunia. Tidak berkumpul dua perkara dalam satu masa. Barangsiapa gembira di dunia akan berdukacita di akhirat. Barangsiapa yang banyak dukacitanya di dunia akan gembira di akhirat.

Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang,
Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang,
Alangkah sempitnya kuburku, keluh seorang Abid,
Alangkah sedikitnya hartaku, kesal si hartawan.

Dari mata yang mengintai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus, mengalirlah air kecewa kegagalan. Dari mata yang redup merenung Hari Akhirat yang dirasakan dekat, mengalirkan air mata insaf mengharap kemenangan.

"Penghuni Syurga itulah orang-orang yang menang."(Al Hasyr: 20)

Tangis adalah basahan hidup, justeru: Hidup dimulakan dengan tangis, dicelahi oleh tangis dan diakhiri dengan tangis. Manusia sentiasa dalam dua tangisan. Sama ada yang membawa untung atau merugikan.

Sabda Rasulullah s.a.w. : "Ada dua titisan yang ALLAH cintai, pertama titisan darah para Syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH."

Oleh itu berhati-hatilah dalam tangisan, kerana ada tangisan yang akan mengakibatkan diri menangis lebih lama dan ada tangisan yang membawa bahagia untuk selama-lamanya. Seorang pendosa yang menangis kerana dosa adalah lebih baik daripada Abid yang berangan-angan tentang Syurga mana kelak ia akan bertakhta.

Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa seorang ulamak dunia hilang ilmu, hilang wibawanya. Ketawa seorang jahil, semakin keras hati dan perasaannya.

Nabi saw bersabda : "Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa."

Seorang Hukama pernah bersyair : "Aku hairan dan pelik, melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan, lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan."

Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, takut-takut tidak diterima ibadatnya, ita ketawa walaupun sedar diri kosong daripada amalan.

Lupakah kita Nabi pernah bersabda : "Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa, akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis."

Kita gembira jika apa yang kita idamkan tercapai. Kita menangis kalau yang kita cita-citakan terabai. Nikmat disambut ria, kedukaan menjemput duka. Namun, Allah SWT telah berfirman : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, pada hal ianya amat buruk bagimu. ALLAH Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui." (Al Baqarah : 216)

Sabda Nabi saw, "Neraka dipagari nikmat, syurga dipagari bala."



Menangislah wahai diri, agar senyumanmu banyak di kemudian hari. Kerana engkau belum tahu, nasibmu dipuak kanan atau dipuak kiri. Di sana, lembaran sejarahmu dibuka satu persatu, menyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya bergantung kepada syafaat Rasulullah yang dikasihi Tuhan. Kenangilah, sungai-sungai yang mengalir itu banjiran air mata Nabi Adam yang menangis bertaubat, maka suburlah dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat.

Menangislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata :
"Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu."

Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila ditanya :
"Kenapa engkau menangis?"
"Aku tidak mempunyai anak lagi untuk dihantar berperang," jawabnya.

Menangislah sebagaimana Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan. Diharamkan matanya dari memandang ke langit seumur hidup, lalu berkata: "Sesungguhnya engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu."

Ibnu Mas'ud r.a. berkata : "Seorang yang mengerti al Quran dikenali waktu malam ketika orang lain tidur, dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa, sedihnya ketika orang lain sedang gembira dan tangisnya di waktu orang lain tertawa. Diamnya di waktu orang lain berbicara, khusuknya di waktu orang lain berbangga, seharusnya orang yang mengerti al Quran itu tenang, lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam, lalai, bersuara keras dan marah".

Tanyailah orang-orang soleh mengapa dia tidak berhibur : "Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami, kubur di hadapan kami, kiamat itu janjian kami, neraka itu memburu kami dan perhentian kami ialah ALLAH."

Menangislah kita di sini, sebelum kita menangis di sana!!!.............

info daripada: http://opalotus99.blogspot.com/



Saturday, April 4, 2009

Manusia itu memang pelik!

Dalam sebuah kisah ada diceritakan tentang Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar bersama-sama anaknya. Luqman Hakim menaiki himar, manakalah anaknya mengikutinya dari belakang dengan hanya berjalan kaki. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata, ‘Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki.”

Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula, “Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu.”


Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, “Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh menyiksakan himar itu.”

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, “Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai.”

Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihatai anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka. Kata Luqman kepada anaknya : “Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu.”


Kisah di atas sememangnya sudah sering kita mendengarnya dari mulut-mulut penceramah ataupun daripada pembacaan kita secara langsung ataupun tidak. ia merupakan gambaran dunia di mana setiap apa yang kita laksanakan pasti dilihat berbeza-beza pada pandangan manusia. lihatlah bagaimana keadaan Luqman dan anaknya. setiap yang mereka lakukan ada sahaja yang dipertikaikan oleh manusia. Begitulah halnya dengan hidup kita di bumi Allah ini yang mana kita tidak akan lepas daripada pandangan dan nilaian manusia. apa yang penting, apabila kita melakukan sesuatu perkara utama yang harus kita fikirkan ialah nilaian Allah bukan nilaian manusia. Misalnya setelah tamat waktu bekerja ada di antara kita yang balik lewat sedikit dari masa yang dibenarkan. Maka tentu ada mulut-mulut manusia yang berbunyi mengatakan " nak bodek boslah tuh." Tetapi apabila kita balik awal dari kebiasaannya, maka terdengar pula mulut-mulut manusia yang mengatakan bahawa kita semakin malas dan berkira dengan kerja.

Itu hanyalah sekadar contoh sahaja, bukan niat bersangka buruk dengan sesiapa. Satu contoh di mana untuk menggambarkan sifat manusia yang tidak pernah senang terhadap orang lain. Hatinya kotor, sakit dan bernanah kerana sentiasa memandang dari sudut yang salah terhadap orang lain. Pada pandangannya, setiap perkara yang dilakukan oleh orang lain adalah sentiasa salah walaupun dia sendiri melihat ada kebenarannya. Orang sebegini akan sentiasa mencari jalan agar setiap tindakan yang betul itu akan dilihat salah oleh orang lain. Itulah jiwa orang yang sedang menderita sakit. Amat malang sekali kerana dia tidak menyedari dirinya adalah pesakit yang sedang menderita kerana hatinya diserang virus yang sangat berbahaya dan bisa membunuh jiwanya secara perlahan-lahan. Dia tidak sedar bahawa dia sedang mengidap penyakit yang sangat kronik dan perlukan pembedahan rohani pada kadar segera.

Buat diri kita yang lemah ini, ingatlah bahawa nilaian Allah itu yang paling penting. Jangan risau pada nilaian manusia. Biarlah apa orang mahu kata, tetapi risaulah jika Allah yang murka pada kita. Biarlah orang mencaci dan mengeji kita, tetapi janganlah kita tergolong dalam golongan yang Allah tidak mahu pandang di akhirat nanti. Biarlah kita nampak pelik pada pandangan manusia, tetapi jangan kita dilihat jelik pada pandangan Allah.

Selamat berubah kepada kehidupan Baru

salam ukhwah..

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...