Tuesday, September 11, 2018

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN

BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN
Apa yang kita boleh buat dalam masa terdekat menjelang peperiksaan yang semakin hampir? Di sini saya kongsikan sedikit tip buat tatapan semua. Ada banyak lagi, cuma ini yang mampu dikongsikan untuk waktu ini. Moga ada manfaat buat semua, terutamanya yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Buat yang baru mula hendak belajar secara serius, ingat, memang masa semakin singkat, tetapi percayalah, anda masih sempat. Insya-Allah.
1. Fokus pada hari yang masih berbaki.
Maksudnya, pelajar perlu memberi sepenuh tumpuan menjelang hari peperiksaan yang bakal tiba. Abaikan perkara remeh-temeh yang boleh mengganggu fikiran. Sebarang perkara yang boleh mengganggu fikiran perlu dijauhi. Kita biasa melihat, gangguan-gangguan hari-hari terakhir itu boleh menyebabkan kita hilang fokus sehingga boleh mengganggu tumpuan terhadap peperiksaan yang semakin hampir. Ibarat perlawanan bola sepak yang sudah sampai pada minit-minit terakhir, sekiranya para pemain tidak memberi tumpuan sepenuhnya terhadap lawannya, mungkin akhirnya pihak lawan dapat menembusi gawang pasukannya akibat kecuaian sendiri. Sekiranya mereka memberi sepenuh tumpuan, mungkin pihak lawan hilang terus taringnya.
2. Pastikan semua tajuk telah dikuasai.
Jika pelajar tidak menguasai semua tajuk, bermaksud mereka belum bersedia sepenuhnya. Buat senarai semak tajuk ( tajuk besar dan sub tajuk ) dan tanda mana yang telah dikuasai. Mana yang belum, usahakan segera. Buat nota-nota kecil dan ringkas untuk memudahkan proses mengingat secara berterusan. Nota ringkas akan memudahkan proses mengingat semula dengan lebih pantas dan mudah menjelang peperiksaan. Buat latihan soalan sebenar. Pastikan tempoh menjawab mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan. Latihan menjawab ini penting untuk membiasakan diri dengan bentuk soalan dan tempoh masa menjawab sebenar nanti.
3. Belajar secara berkumpulan
Mahu tidak mahu, bagi pelajar yang mungkin baru sahaja insaf, belajar secara berkumpulan lebih mudah memberi pemahaman kepadanya terhadap sesuatu tajuk. Lantiklah seorang ketua dan si ketua akan menjadi ‘guru’ kepada ahli kumpulannya. Cara ini bukan sahaja pantas membantu, bahkan menjadikan si ketua semakin ingat dan menguasai topik-topik yang diajar kepada rakan-rakannya. Semasa saya mengambil SPM dahulu, inilah yang diamalkan dan kami belajar di kantin sekolah pada waktu petang. Sebaiknya, biarlah ada papan hitam atau putih di tempat itu untuk memudahkan sesi perkongsian dilakukan.
4. Dampingi guru
Di saat akhir, sentiasalah mendampingi guru. Minta tunjuk ajar dan tip-tip yang boleh membantu dalam menjawab soalan peperiksaan. Bagi pelajar yang belajar di saat akhir, inilah masanya bertemu guru-guru untuk mendapatkan tunjuk ajar. Jangan malu. Masa sudah singkat. Tahanlah telinga yang mungkin sedikit pedih. Apa yang penting, dengan tempoh yang masih berbaki ini, gunakanlah sebaiknya. Rebut peluang selagi ada sehingga ketitisan yang terakhir.
5. Jaga hubungan dengan Pencipta Kita
Dalam hidup ini, tiadalah upaya melainkan dengan izin-Nya. Maka, jangan sesekali kita melupakan-Nya. Untuk adik-adik yang bakal menghadapi peperiksaan, jaga hubungan dengan-Nya. Mintalah kepada-Nya dengan penuh kesunggguhan. Antaranya dengan menjaga solat-solat wajib. Disamping itu melakukan solat-solat sunat seperti solat taubat, hajat dan tahajjud. Bukankah Allah telah berjanji akan memberi pada yang meminta di sepertiga malam?
“Rabb kita turun ke langit dunia pada sepertiga malam yang akhir pada setiap malamnya. Kemudian berfirman: ‘Orang yang berdoa kepada-Ku akan Ku kabulkan, orang yang meminta sesuatu kepada-Ku akan Kuberikan, orang yang meminta ampunan dari-Ku akan Kuampuni‘” (HR. Bukhari dan Muslim)
Maka, mengapa tidak mahu direbut peluang tersebut.
Selain itu, banyakkan berdoa. Ingatlah, doa itu senjata mukmin… berdoalah, kerana Allah telah mengingatkan kita bahawa Dia akan memperkenankan orang yang berdoa kepada-Nya.
“ Dan Tuhan kamu berfirman, Berdoalah pada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu………………”. ( Al-Ghaafir : 60 )
Dan, perbanyakkan istighfar. Mudah-mudahan, dengannya Allah ampuni kita, permudahkan urusan hidup kita dan dibukakan rezeki dari jalan-jalan yang tidak disangka.
“ Orang yang memperbanyakkan istighfar, maka Allah akan menjadikan kemudahan dalam setiap kesusahannya, memberikan jalan keluar dari setiap kesempitannya dan memberikan rezeki dari jalan-jalan yang tidak disangka-sangka”. ( HR Imam Ahmad )
Wallahua’lam
Razali Saaran 
Nota Hati Buat Pelajar

KETAKUTAN YANG MEMOTIVASIKAN

Ketakutan Yang Memotivasikan
Beberapa tahun yang lalu, ketika saya menyambung pengajian di UKM, pernah saya tidur di R n R kerana keletihan. Kelas yang padat sehingga malam, menyebabkan saya keletihan. Menyambung pengajian di usia yang menghampiri empat siri dan anak-anak yang masih kecil, bukanlah sesuatu yang mudah. Saya masih ingat dan masih segar dalam ingatan, saya tertidur sehingga jam 1 pagi. Apabila sedar, saya meneruskan perjalanan pulang ke rumah.
Peristiwa tersebut sentiasa segar dalam ingatan dan ia sesuatu yang indah untuk dikenang. Waktu itu, apa yang mendorong saya untuk terus kuat ialah kerana takut gagal dalam pengajian saya. Mengambil subjek Kaedah Penyelidikan 2 yang sememangnya menakutkan mendorong saya untuk belajar di luar kebiasaan untuk insan yang usianya sedikit tua berbanding beberapa orang pelajar yang saya kenali pada waktu itu.
Beberapa hari yang lepas, saya menyebut perkataan “takut” kepada pelajar saya. Saya cakap, ketakutan akan menyebabkan kita jadi kuat. Ketakutan menjadikan kita tidak mahu berhenti. Ketakutan menjadikan kita berani untuk bertindak supaya kita tidak gagal. Dahulu saya takut gagal dalam subjek Kaedah Penyelidikan 2 sehingga saya terpaksa bekerja lebih kuat. Saya mengulangkaji sehingga lewat malam walaupun keesokan paginya saya perlu bangun awal untuk mempersiapkan anak-anak ke sekolah. Saya sudah sedikit tua dan anak-anak masih kecil, tetapi ketakutan menyebabkan saya jadi kuat untuk belajar diluar kebiasaan. Lihatlah, hari ini beberapa orang pelajar yang mungkin sebelum ini takut dengan subjek ini, telah mendapat keputusan yang tidak mengecewakan. Rupa-rupanya, ketakutan itu menjadikan anda berusaha dengan lebih kuat lagi.
Semoga ketakutan tidak menjadikan kita semakin lemah. sebaliknya ketakutan menjadikan kita semakin kuat untuk terus melangkah dan akhirnya mencapai apa yang kita impikan.
Sekadar Berkongsi
Razali Saaran
Nota Hati Buat Pelajar

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...