Tuesday, November 25, 2014

Kaedah Bersoal Jawab, Aplikasi Daripada Kaedah Pengajaran Nabi SAW

Antara kaedah yang digunakan oleh Baginda SAW semasa menyampaikan ilmunya ialah melalui soal jawab..... Contohnya seperti hadis di bawah ini....

Abu Umamah al-Bahili meriwayatkan :
Sesungguhnya seorang pemuda datang kepada Rasulullah saw dan berkata : Wahai Rasulullah saw : Izinkan aku berzina. Maka tampil kaum untuk menghalangnya dan mereka berkata : biarkan biarkan ( aku memukulnya). Nabi saw bersabda : Dekatkan dia kepadaku maka dia pun menghampiri dan duduk dekat Nabi saw.
Nabi saw bersabda : Adakah kamu suka orang lain berzina dengan ibumu?. Pemuda itu menjawab : Tidak. Demi Allah,semoga Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu. Nabi bersabda : Tiada manusia yang menyukai itu berlaku kepada ibu-ibu mereka.
Nabi saw bersabda : Adakah kamu mahu itu berlaku kepada anak perempuanmu?. Pemuda itu menjawab : Tidak. Demi Allah wahai Rasulullah ,semoga Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu. Nabi bersabda : Tiada manusia yang menyukai itu berlaku kepada anak-anak perempuan mereka.
Nabi saw bersabda : Adakah kamu mahu itu berlaku kepada saudara perempuanmu?. Pemuda itu menjawab : Tidak. Demi Allah wahai Rasulullah ,semoga Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu. Nabi bersabda : Tiada manusia yang menyukai itu berlaku kepada saudara-saudara perempuan mereka.
Nabi saw bersabda : Adakah kamu mahu itu berlaku kepada ibu saudaramu?. Pemuda itu menjawab : Tidak. Demi Allah wahai Rasulullah ,semoga Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu. Nabi bersabda : Tiada manusia yang menyukai itu berlaku kepada ibu-ibu saudara mereka.
Kemudian Rasulullah saw meletakkan tangannya ke atas pemuda itu dan berkata : Ya Allah, ampunkanlah dosanya,bersihkanlah hatinya dan peliharalah kemaluannya. Maka selepas itu pemuda itu langsung tidak berpaling kepada sesuatu. ( Riwayat Imam Ahmad dan At-Tabrani )
Berdasarkan hadis di atas, saya menyebutnya sebagai kaedah bersoal jawab yang membawa kesedaran di dalam buku Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik.... Kaedah ini boleh digunakan oleh guru-guru di dalam kelas ketika berhadapan dengan pelajar yang sukar mendengar kata ketika mengajar di dalam kelas..Tidak dinafikan ada pelajar yang sikapnya kadangkala agak biadab dan mencabar emosi kita. Sekiranya itu yang berlaku, mungkin guru boleh katakan kepada pelajar tersebut seperti berikut. " Bagaimana sekiranya ibu kamu yang sedang mengajar di dalam kelas ini dan kawan-kawan kamu tidak mahu mendengar apa yang dia ajar. Tidak mahu membuat kerja yang diberikan dan menjawab dengan biadap apabila ditanya. Adakah kamu boleh menerimanya? "

Kaedah ini juga boleh digunakan di rumah ketika mana anak-anak kadangkala melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya. Misalnya seorang ayah berasa kecewa dengan sikap anaknya. Maka si ayah tadi boleh mengatakan seperti berikut kepada anaknya. " Jika Azim mempunyai anak suatu hari nanti, dan anak azim buat perkara yang sama seperti ini, adakah azim suka?"

Berdasarkan pengalaman saya mengurus pelajar di sekolah, kaedah ini sangat membantu memberi kefahaman dan kesedaran kepada pelajar. Biasanya pelajar akan cepat kendur emosinya apabila saya merasionalkan mereka dengan dialog-dialog yang boleh membawa mereka berfikir. Sekiranya kita menggunakan kaedah ini, mungkin melibatkan sesi soal jawab dua hala kerana ada sesetengah pelajar yang cekap menjawab. Tidak mengapa, berusahalah untuk menjawab dengan sebaiknya dan banyakkan sabar.  Saya kira, memahamkan itu lebih perlu supaya mereka memahami perbuatan itu tidak betul. Sama ada mereka akan berubah ataupun tidak, hidayah itu milik Allah.... Wallahua'lam...

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...