Tuesday, March 9, 2010

Ceramah Pertama Saya...

Syukur kepada Ilahi kerana kesempatan yang diberikan kepada Saya untuk terus menulis diblog ini...malam ini sya ingin berkongsi cerita tentang ceramah bagi memenuhi slot Latihan Dalam Perkhidmatan yang saya telah sampaikan di sekolah saya sendiri baru-baru ini ( Sabtu-6/3/10 )

Pada dasarnya ia adalah satu pengalaman baru buat saya dan ianya begitu bermakna sekali. bercakap di depan audiens yang merupakan rakan sendiri saya fikir lebih mencabar berbanding bercakap di depan orang lain yang tidak kita kenali. Tetapi alhamdulillah, daripada rspon rakan-rakan yang mendengar ceramah tersebut, saya anggap penyampaian saya pada pagi sabtu itu telah mencapai matlamatnya.

tajuk yang telah diamanahkan kepada saya ialah berkaitan disiplin. maka tajuk yang saya pilih ialah " Disiplin dan Isu-Isu Berkaitannya." oleh kerana ceramah tersebut turut disertai oleh staf sokongan, maka saya masukkan sedikit slot ceramah saya itu berkaitan dengan organisasi yang tajuknya saya letakkan sebagai " Organisasi Dan Anda."

Secara peribadi saya tidak sempat membuat persedian yang secukupnya bagi ceramah tersebut. Namun, Alhamdulillah Allah telah memudahkan urusan saya pada pagi tersebut dan ceramah dapat disampaikan dengan lancar dan teratur.

Buat rakan-rakan lama, terima kasih kerana sudi mendengar dan berkongsi cerita dengan saya...kepada rakan-rakan baru yang baru menjengah ke alam kerja, semoga anda semua mendapat manfaat daripada perkongsian ilmu yang tidak seberapa itu. kepada kak mazida, terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk bercakap..

akhir kalam, sekali lagi saya memanjatkan rasa keyukuran kepada Ilahi atas pengalaman yang cukup berharga ini. Semoga peluang ini akan terus diberi dilain masa insyaAllah.




Wednesday, March 3, 2010

Ulasan Buku Saya Dalam Akhbar Berita Harian dan Berita Harian Online...


Alhamdulillah, hari ini buku saya menjadi pilihan diruangan IQRA di Berita Harian untuk diulas oleh pengulas buku. Asalnya saya memang tidak tahu, sehinggalah diberi tahu oleh rakan yang mengatakan terbaca tentang buku saya dalam berita harian. syukur pada Allah. di bawah ini saya masukkan ulasan tersebut buat tatapan bersama.


Dipetik daripada : Berita Harian Online

Iqra: Kaedah mendidik perspektif Rasulullah
• Judul: Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik
• Penulis: Razali Saaran
• Penerbit: Mustread Sdn Bhd
• Pengulas: Hasliza Hassan
• Harga: Semenanjung Malaysia (RM19.90) Sabah/Sarawak (RM22.90)

SEPANJANG bulan Rabiulawal bermula tanggal 12 Rabiulawal hingga penghujungnya, sambutan Maulidur Rasul memenuhi program anjuran surau, masjid, persatuan penduduk dan agensi agama sebagai manifestasi ingatan serta perasaan cinta terhadap Nabi Muhammad SAW.

Sebagai Rasul pilihan, sejarah kehidupan Baginda sentiasa menjadi inspirasi umat Islam dalam meningkatkan ketakwaan dan mencari kebahagiaan hidup di dunia serta akhirat.

Oleh itu, selain ceramah, seminar atau perbincangan dianjurkan untuk mengimbas sejarah hidup Baginda yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas, buku dihasilkan mengenai Muhammad bin Abdullah sewajarnya menjadi pilihan bacaan.
Buku Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik memfokuskan peranan guru sebagai pembimbing melalui penekanan terhadap akhlak guru ketika mengajar supaya dapat diterima seterusnya menjadi contoh kepada pelajar yang dibimbing.

Perkara dikupas penulis buku ini ialah kaedah digunakan Rasulullah SAW menyampaikan ilmu serta nasihat kepada sahabat seperti sesi soal jawab, bergurau senda, memberi nasihat dan cara meraikan pelajar.

Kaedah soal jawab diguna pakai Rasulullah ketika menyampaikan ilmu kepada sahabat dan interaksi antara guru dan pelajar mempunyai kesan positif memberi kefahaman serta percambahan idea berbanding kaedah satu hala.
Rasulullah juga sering meminta diulang soalan dan menjawab semula selain menggunakan pendekatan bergurau senda seperti dijelaskan melalui sunnah Baginda dalam buku Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik.

Perkembangan hari ini memberi cabaran kepada guru untuk mendidik menyebabkan guru memerlukan panduan yang dapat membantu menghadapi kerenah pelajar dan dalam masa sama menunaikan tanggungjawab sebagai guru.

Bagaimanapun, guru adalah insan terpilih seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang berilmu yang berusaha mencipta, orang yang mahu mengajarkan ilmunya akan didoakan oleh seluruh penghuni kerajaan langit." (Hadis riwayat Tirmizi)

Menariknya, buku ini cuba memahami profesion perguruan dengan melihat guru sebagai pendidik, pengurus, pemimpin, pemudah cara dan kaunselor.
Tujuannya, supaya guru dapat melihat serta menilai diri mereka daripada pandangan orang lain dan mengambil langkah proaktif ke arah memartabatkan profesion ini di mata masyarakat. Buku ini bukan saja sesuai untuk guru tetapi juga ibu bapa untuk membimbing anak.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Agama/20100302225834/Article/index_html



Tuesday, March 2, 2010

Ya..Allah terima kasih atas pemberian yang begitu berharga ini

Entah mengapa hati ini tiba-tiba terdetik untuk meluahkan apa yang sedang dirasa. ini bukan cerita panjang berjela, sekadar mahu memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga di atas kurniaan yang tidak terhingga ini. Aku bisa sahaja menyimpannya di dalam hati, tetapi entah mengapa terlalu kuat keinginan untuk meluahkan di teratak ini..Terima kasih Ya Allah, terima kasih di atas kurniaan yang begitu berharga ini. Alhamdulillah...semoga kami sekeluarga diberikan keberkatan hidup dan sentiasa dalam redhaMU ya Allah...




TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...