Friday, March 29, 2013

Berdoalah !


Oleh : Razali Saaran

 


BERDOALAH!


Saya ingin bertanya, apakah perasaan anda sekiranya seseorang yang kaya-raya dan berkedudukan tinggi berkata kepada anda ” mintalah apa sahaja, saya akan memberikannya kepada anda”. Saya percaya tentunya anda berasa begitu gembira bukan? Ini kerana kata-katanya itu adalah jaminan bahawa apa sahaja yang diminta pasti akan dipenuhi olehnya.

“Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu.”

[ Surah al-Mu’min : 60 ]


Sekarang, cuba perhatikan ayat 60 daripada surah al-Mu’min tersebut. Kemudian cubalah anda fahami maksudnya sedalam-dalamnya. Saya percaya sudah tentu anda memahami maksud ayat tersebut. Jika anda begitu gembira di atas jaminan yang manusia berikan, sudah tentu anda dapat berfikir bagaimana hebatnya tawaran yang diberikan oleh Allah yang telah menciptakan manusia. Sudah tentu tawaran tersebut lebih tinggi nilainya. Malah tidak mampu dinilai dan dibandingkan dengan apa jua sekalipun. Bukankah dalam ayat tersebut Allah telah memberi jaminan kepada manusia bahawa Dia akan memperkenankan doa hamba-hambaNya sekiranya mereka bermohon kepadaNya. Subhanallah, itu jaminan Allah kepada kita semua adik-adikku. Ya, jaminan kepada saya, anda dan semua hambaNya.

Dia begitu dekat denganmu dan memperkenankan permohonanmu!

Mengertilah bahawa sesungguhnya Allah sangat dekat dengan hamba-hambaNya. Dia juga akan mengabulkan doa hamba-hambaNya yang beriman dan melaksanakan segala perintahNya yang bermohon kepadaNya. Ini dinyatakan di dalam Allah di dalam firmannya yang bermaksud:

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

[ Surah al-Baqarah: 186 ]


Dari Anas r.a, bahawasanya Nabi SAW bersabda:
Allah Taala berfirman, “Aku menuruti persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku dan Aku akan sentiasa bersamanya jika ia berdoa kepada-Ku.”
[ Hadis Riwayat Ahmad ]

“ Wahai manusia, sayangilah diri kalian, sesungguhnya kalian tidak berdoa
kepada yang tuli dan tidak pula yang jauh, kalian berdoa kepada Yang Maha
Mendengar dan Dekat, dan Dia selalu menyertaimu”

[ Riwayat Imam Bukhari ]

Maka Berdoalah!

Mengapa anda begitu sukar untuk berdoa kepadaNya sedangkan jaminanNya begitu jelas. Malah Allah tidak pernah memungkiri janjiNya. Berdoa itu suruhan Allah kepada hambaNya. Sudah tentu keistimewaannya begitu besar kerana ia adalah suatu suruhan dan galakan daripadaNya. Maka apa yang anda tunggu-tunggu lagi. Rebutlah peluang yang ada ini. Tadahlah tanganmu dan panjatkanlah doamu. Mudah-mudahan doamu itu diterima olehNya.

Kemudiannya apabila anda telah berdoa, serahkanlah ia kepadaNya samada akan memakbulkan dengan segera atau menangguhkannya. Di sisiNya, setiap perkara yang telah ditetapkan itu mengandungi hikmahnya yang tersendiri. Sebagai hamba anda tidak berhak mempersoalkan kerana memakbulkan doa itu adalah hak Allah. Tahukah anda bahawa Rasulullah sendiri berdoa apabila ditimpa kesulitan. Perhatikan doa di bawah ini :


Ketika mana Rasulullah SAW dihalau oleh penduduk Thaif, Baginda turut berdoa kepada Allah pada ketika itu. Sambil mengangkat tangan, Baginda bermunajat kepada Allah dengan mengatakan :

 “Ya Allah, hanya kepadaMu aku mengadu betapa lemah kekuatanku, betapa sempit usahaku dan betapa rendah diriku menghadapi manusia. Ya Tuhan Yang Maha Pengasih di antara mereka yang belas kasih. Engkaulah Tuhan orang-orang yang tertindas dan Engkaulah Tuhanku. Kepada siapakah gerangan akan Engkau serahkan diriku? Kepada orang jauhkah, yang akan berlaku bengis terhadapku, ataukah kepada seorang musuh yang Engkau beri kekuasaan dia atas urusanku? Asalkan Engkau tidak murka kepadaku, maka bagiku itu tidak menjadi soal, tetapi ampunanMu itulah yang bagiku lebih luas. Aku berlindung kepada cahaya dzat Engkau, yang menerangi segala kegelapan dan yang kerananya urusan dunia dan akhirat menjadi mudah, jangan kiranya Engkau turunkan kepadaku kemurkaanMu, atau Engkau tujukan kepadaku kebencianMu. Hanya bagiMu keredaan, sehingga Engkaulah yang akan memberi keredaan. Dan tiada daya mahupun kekuatan selain dengan pertolonganMu jua.”


Bahkah Nabi Ayub juga berdoa kepadaNya!

Nabi Ayub a.s ketika ditimpa ujian yang begitu hebat juga menadahkan tangan kepadaNya. Kisah ini dinukilkan di dalam al-Quran yang berbunyi :

Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika ia menyeru Tuhannya : (Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang. Maka kami pun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semuayang menyembah Allah”.

[ Al-Anbiya’:83-84 ]

Begitu juga dengan Nabi Musa a.s yang juga berdoa kepadaNya ketika berhadapan dengan firaun. Ini buktinya:

Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku, Dan mudahkanlah bagiku, tugasku, Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, Supaya mereka faham perkataanku.

[  Taha : 25-28]

Jika mereka manusia yang begitu Istimewa di sisi Allah juga berdoa, mengapa anda tidak mahu menuruti jejak langkah mereka. Pada saya, orang yang tidak mahu memanjatkan doa kepada Allah adalah orang sombong dan tidak mahu bersyukur kepadaNya. Janganlah anda juga bersikap seperti mereka yang sombong dan tidak bersyukur itu. Jadilah hambaNya yang sentiasa merendah diri kepadaNya dan menaruh harapan kepadaNya dan meletakkan nilai kebergantungan kepada Allah semata-mata.


Jagalah Adabmu Ketika Berdoa

Tentunya anda biasa meminta sesuatu daripada orang tuamu. Saya ingin bertanya, bagaimanakah caranya anda meminta daripada mereka. Saya percaya, semestinya anda menggunakan bahasa yang baik dan sopan serta bernada memujuk. Dengan harapan orang tuamu akan ’cair’ dengan pujuk rayumu itu. Pada pandangan anda, adakah orang tuamu akan memenuhi permintaanmu sekiranya bahasa yang anda gunakan begitu kasar dan kesat? Sudah tentu anda tahu jawapannya bukan?

Adik-adikku, begitulah juga apabila anda ingin memohon sesuatu daripada Allah, Tuhan yang telah menciptakan anda dan seluruh alam ini.. Jagalah bahasamu, penampilan dirimu, tempat anda berdoa dan bermacam-macam lagi yang perlu diberi perhatian kerana darjat Allah itu lebih tinggi daripada segala-galanya.

Dalam satu riwayat telah menceritakan ketika mana Rasulullah duduk , tiba-tiba telah masuk seorang lelaki lalu berdoa:

Allahummaghfirli warhamni.”

Maka Rasulullah SAW bersabda:

“Anda tergesa-gesa wahai orang yang berdoa, jika anda berdoa maka
duduklah, lalu ucapkan pujian kepada Allah dengan sesuatu yang layak bagiNya, dan bersalawatlah kepadaku kemudian berdoalah .”

Kemudian ada seorang lelaki lain berdoa setelah itu dan ia mengucapkan pujian kepada Allah dan bersalawat kepada nabi, maka nabi berkata kepadanya:

” Wahai orang yang berdoa, berdoalah engkau, nescaya ia akan dikabulkan”

[ Riwayat Imam Tirmizi ]

Di dalam al-Quran sendiri Allah telah mengingatkan kita tentang perlunya menjaga adab ketika berdoa kepadaNya.

Allah berfirman yang bermaksud :

Berdoalah kepada Tuhan anda dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.

[ al-A’raf : 55 ]




Beberapa Kebaikan Doa Kepadamu[1]

  1. Dapat mententeramkan jiwa
  2. Mengelakkan diri dari sifat putus asa
  3. Akan sentiasa dikasihi Allah
  4. Sentiasa dekat dengannya
  5. Diberi kekuatan hati
  6. Sebagai tanda kebergantungan sepenuhnya kepadanya


Masa Yang Paling Baik Berdoa[2]

  1. KETIKA SUJUD DALAM SOLAT

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
” Waktu yang paling hampir seseorang hamba itu dengan Tuhannya ialah ketika ia sedang sujud, maka perbanyakkan olehmu doa (dalam sujud).”
[ Riwayat Imam Muslim ]

  1. Di antara dua khutbah jumaat
  2. Selepas azan
  3. Sepertiga malam ( qiammulail )
  4. Waktu bersahur
  5. Ketika hujan turun
  6. Selepas solat 5 waktu
  7. Ketika berpuasa
  8. Selepas membaca al-Quran


Mengapa Doa Anda Tidak Makbul?

Terdapat beberapa sebab mengapa doa-doa tidak dimakbulkan. Antaranya ialah :[3]

  1. terlalu banyak melakukan dosa dan maksiat
  2. berdoa di tempat maksiat
  3. mengabaikan kewajiban terhadap Allah
  4. tidak mengamalkan isi kandungan al-Quran dan sunnah Nabi
  5. Derhaka kepada orang tua
  6. Hati yang kotor

Rahsia Besar Sebuah Doa!

Daripada Abdullah Bin Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Kalbu ( hati ) itu adalah tempat mengingat-ingati sesuatu. Sebahagian kalbu itu lebih ingat daripada yang lain. Kalau kamu bermohon kepada Tuhan, wahai manusia, bermohonlah dengan penuh keyakinan bahawa doamu itu akan dikabuli ( diperkenankan ) Tuhan. Dan Tuhan tidak mengabuli doa orang yang hatinya kosong atau lalai.”

[ Riwayat Imam Ahmad ]


Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud :

“ Mintalah kepada Allah sedang kamu yakin akan terkabulnya ( doamu itu ), dan ketahuilah, Allah tidak mengabuli doa daripada hati yang lalai dan bimbang.”

[ Riwayat Imam Tirmizi dan Hakim ]

Dipetik dan diubahsuai daripada buku " NOTA HATI BUAT PELAJAR" tulisan Razali Saaran.





[1] Dirujuk daripada buku Wirid Dan Doa Selepas Sembahyang, tulisan Ibnu Mahyudin.hlm 7-12
[2] Ibid
[3] Ibid

Friday, March 8, 2013

Umat Islam Umpama Buih Di Lautan


Sumber Gambar : erienz82.blogspot.com


Oleh : Razali Saaran

Antara intipati pesanan Nabi SAW dalam sebuah hadis yang agak panjang ialah :

Di akhir zaman, umat Islam umpama buih di lautan...Ramai, tetapi tidak bernilai...

Puncanya : CINTAKAN DUNIA DAN TAKUT MATI

Rupa-rupanya apa yang dipesan ini sedang berlaku sekarang...berapa ramai yang namanya Islam...Tetapi betapa rosaknya akhlak mereka begitu sukar digambarkan. Mereka marah pada barat, tetapi gaya hidup mereka lebih barat daripada barat..

Mereka ini begitu cintakan dunia, mengumpul harta, mencari pangkat dunia dengan jalan yang bathil. Sanggup memijak bahu dan kepala orang lain, asalkan mereka cepat sampai ke kemuncaknya. Bagi mereka, harta dan pangkat adalah segala-galanya....Akhirnya mereka tidak mampu tidur lena memikirkan apa yang mereka ada akan hilang apabila kematian menjemput mereka. 

Apabila rasa cinta dunia bermaharajalela di jiwanya, kematian pula racun bagi kehidupan mereka, akhirnya umat Islam menjadi lemah. Takut untuk bersuara, takut untuk menegakkan kebenaran, lemah nilai imannya. Pada mereka, nilai dunia lebih penting daripada nilai agamanya. Cinta dunia dan takutkan mati menyebabkan mereka tidak mahu memikirkan tentang apa yang berlaku terhadap agamanya. Selagi bernyawa, dunia mesti dinikmati. Agaknya itulah yang ada dalam fikirannya sepanjang masa. Semoga Allah memelihara kita... 

Dunia oh Dunia.. 

Sunday, March 3, 2013

Pelajar Itu Boleh Berubah

Owl Teacher Cartoon Royalty Free Stock Vector Art Illustration
Sumber gambar : www.istockphoto.com


Dalam kebanyakkan ceramah berkaitan dengan disiplin dan pengajaran di sekolah, saya biasa menyebut tentang kisah seorang lelaki yang dahulunya sangat nakal, tetapi akhirnya berubah hanya dalam masa 10 minit...

Sebelum si guru yang hebat itu bertindak sesuatu sehingga mengubah sikap si nakal, ini kata-kata seorang guru kepada si guru tersebut.

“ Dia seorang yang jahat macam syaitan. Dia akan memusnahkan kelas anda pada hari pertama dia berada di kelas kamu. ”

Kebanyakkan guru-guru yang mengajarnya sebelum ini sangat menggeruninya, apatah lagi para pelajar di sekolahnya, tetapi seorang guru yang hebat, telah mengubahnya menjadi manusia hanya dalam masa 10 minit, sehinggakan si nakal itu menjadi seorang yang berjaya dan membina sebuah hospital dan didedikasikannya kepada gurunya itu. Apakah si nakal itu telah katakan setelah berjaya?


“ Semua orang memerlukan pujian terutama mereka yang tidak memerlukan ”


Apa Rahsianya?


Mengapa guru itu mampu melakukannya?...

Jawapannya ialah, BIJAKSANA...

Ya, guru perlu bijaksana menguruskan pelajar yang dilihat bermasalah di sekolah oleh kebanyakkan orang di sekelilingnya..Guru yang hebat, melihat pelajar yang bermasalah itu adalah pelajar yang mampu berubah...Ini kerana setiap manusia itu ada peluang untuk menjadi insan yang berguna dan berjaya...Kita perlu memberi mereka peluang dan menunjukkan jalan kepada mereka...Insya-Allah dengan izin-Nya mereka boleh berubah...Jika tidak berjaya dalam bidang akademik sekalipun, cukuplah mereka menjadi manusia yang berguna kepada masyarat dan tidak menyusahkan orang tuanya nanti.

wallahua'lam

Friday, March 1, 2013

Kaedah Pengajaran Itu Sekadar Perisa Tambahan

Wahai guru, Sedikit perkongsian buatmu





Kaedah Pengajaran Itu Sekadar Perisa Tambahan

Buku kecil ini cuba membawa pembaca menyelami maksud yang mengatakan bahawa akhlak adalah tunggak utama dalam menjadikan seseorang guru itu berkesan dalam pengajarannya dan kaedah pengajaran adalah perisa tambahan bagi melazatkan lagi keberkesanan pengajaran guru di dalam kelas. 

Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulum ad–Din menekankan betapa perlu dan pentingnya keperibadian tinggi bagi seorang pendidik yang berkesan. Menurut Imam Al-Ghazali, seorang guru mesti mengamalkan ilmunya, janganlah perkataan beliau membohongi perbuatan. Ini adalah kerana ilmu dapat diperhatikan dengan mata hati, sementara perbuatan dapat dilihat dengan mata, sedangkan orang yang mempunyai mata lebih ramai. Kenyataan Al-Ghazali memperlihatkan bahawa amalan, tingkah laku, akhlak dan peribadi pendidik lebih penting daripada ilmu yang dimiliki. (Abdul Salam Yussof : 2003).  

Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran :

Maksudnya : “Apakah kamu menyuruh manusia melakukan kebaikan sedangkan kamu lupa ke atas diri mu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat)? Maka tidaklah kamu berfikir?”
[al-Baqarah : 44]

Manakala menurut Mohd Ahmad Al-Rashid (1990), bahawa dalam prinsip tingkah laku dan moral, guru yang berkesan mesti menunjukkan teladan (akhlak) yang baik kepada pelajar (Abdul Salam Yussof : 2003).  

Jika anda masih kurang bersetuju bahawa akhlak itu adalah tunggak utama dalam menjadikan sesuatu pengajaran itu bermakna, mari kita perhatikan hadis yang mulia ini. Baca dan renunglah sedalam-dalamnya maksud yang terkandung di dalamnya.

“Sesungguhnya Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”
[Riwayat Imam Ahmad]

Apakah mesej tersirat di sebalik hadis yang mulia di atas. Mengapakah soal akhlak yang Rasulullah SAW perbesarkan sehinggakan baginda menjelaskan kepada kita bahawa Dia di utuskan adalah semata-mata kerana akhlak. Rasulullah SAW tidak menyebut perkataan lain melainkan perkataan akhlak semata-mata. Cuba bayangkan dalam dunia yang sedang pesat membangun ini, teknologi berkembang dengan pesat dan begitu pantas sekali, apa akan terjadi sekiranya teknologi itu tidak diuruskan dengan akhlak yang baik. Begitu juga dalam dunia pendidikan, walaupun guru mempunyai ilmu yang mendalam tentang kaedah mengajar di dalam kelas, adakah itu sudah mencukupi tanpa berasaskan kepada akhlak yang baik. Guru mahir dalam bersoal jawab, tetapi apa akan berlaku sekiranya kaedah pelaksanaannya dilakukan tanpa berlandaskan akhlak yang digariskan oleh Islam. Misalnya guru tidak menggunakan bahasa yang baik ketika menyoal pelajarnya sehinggakan pelajarnya berkecil hati dengan gurunya. Guru pandai bercerita, tetapi guru tidak pandai bercerita mengikut cara yang telah digariskan oleh Islam kerana menggunakan contoh-contoh yang sensitif dan menyinggung perasaan beberapa pelajar yang mendengarnya. Pelajar-pelajar juga mungkin akan ketawa apabila guru membuat lawak jenakanya di dalam kelas, tetapi seorang pelajar sedang menangis di dalam hatinya kerana gurunya tidak berakhlak ketika berjenaka kerana menggunakannya sebagai bahan jenakanya sehinggakan  rakan-rakannya yang lain tertawa. 

Tentu hairan bukan, gurunya begitu hebat dan berpengalaman tetapi pelajar tidak berminat mengikuti kelas pengajarannya. Tentu hairan bukan, seorang pelajar yang cemerlang dalam kebanyakan subjek yang diambilnya tetapi begitu lemah dalam subjek yang tertentu. Malah ia akan menjadi lebih menghairankan apabila seseorang pelajar itu sanggup ponteng kelas hanya kerana tidak boleh melihat muka guru yang mengajarnya. Di manakah silapnya, adakah kerana pelajar itu benar-benar bermasalah ataupun sebaliknya. Jika pelajar itu benar-benar ‘kaki ponteng kelas’, maka itu bukanlah kesalahan yang berpunca daripada guru. Itu berpunca daripada sikap pelajar sendiri. Tetapi bagaimana pula sekiranya pelajar yang ponteng kelas itu adalah pelajar yang tidak bermasalah dan dikenali sebagai pelajar yang bijak di sekolah. Malahan sampai ke satu tahap yang agak kritikal, seseorang pelajar sanggup ponteng sekolah kerana pada hari tersebut ada subjek yang tidak digemarinya. Siapakah yang bersalah dalam hal ini. Inilah persoalan yang bermain-main dalam minda kebanyakan daripada kita yang bergelar pendidik. Di manakah silapnya? Adakah kesilapan ini berpunca daripada pelajar ataupun guru itu sendiri?

DIPETIK DARIPADA BUKU " HEBATNYA CARA RASULULLAH MENDIDIK" TULISAN SAYA SENDIRI

Ketua Disiplin, Jawatan Yang Dikembalikan

Sumber Gambar : hrstrategiesblog.com

Sekadar berkongsi 


Setelah setahun berada di seremban dan tahun ini diberi semula jawatan sebagai ketua disiplin, saya terpaksa memerah mental dan fizikal untuk mendapatkan semula skil yang sudah berkarat..Daripada situasi ini, saya melihat ada beberapa perkara yang bermain-main difikiran saya. Antaranya, 

1. Skil akan berkurang atau hilang apabila tidak lagi digunakan.

2. Dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan manusia, ia akan menjadi mudah jika kita melayan mereka sebagai insan yg ada perasaan dan ada peluang untuk berubah..

3. Masalah tidak akan selesai jika hanya melaksanakan sesuatu tanpa menyelesaikan puncanya..Contohnya, pelajar yang biadap dihukum, tetapi punca kepada tingkahlaku itu tidak diselesaikan yang mana mungkin berpunca daripada pelajar, persekitaran atau guru..

4. Benarlah sebagaimana yang diingatkan oleh Allah dalam surah tahaa: 43-44 yang menyuruh kita berlemah lembut dalam menyampaikan dakwah atau teguran kerana saya perhatikan, dengan lemah lembut lebih mudah urusan dilaksanakan..cuma, lembut itu didatangkan bersama ketegasan dan kebijaksanaan..

5. Berilah nasihat yang berguna, mudah-mudahan manusia bisa berubah..Dan sentiasa sedar hidayah itu daripada Allah dan kita tiada keupayaan untuk mengubah manusia..Maka, jangan berputus asa jika manusia tidak berubah setelah diingatkan..Yang paling penting, yakin sentiasa bahawa pertolongan Allah pasti ada..

Wallahua'lam..


Sumber Gambar : www.yourwealthforlife.com

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...