Tuesday, February 25, 2014

Dengar, Respon, Berhikmah...

Oleh : Razali Saaran

Beberapa hari yang lepas saya ke sebuah kedai komputer untuk membaiki 'printer' yang tidak berapa sihat kondisinya. Setelah menyatakan masalah yang saya hadapi, pekedai itu mencadangkan alternatif kepada permasalahan tersebut. Setelah membuat sedikit penelitian, mengganti yang baru atau menerima cadangan tersebut, akhirnya saya memutuskan untuk menerima cadangannya.

" Lagi satu jam encik datang ambil ", kata pekedai itu kepada saya.

" Baiklah, insya-Allah lagi sejam saya datang ambil ye."


Sejam Kemudian


" Dah siap. Nanti jika ada masalah boleh tengok manual ini ye", kata salah seorang pekerja kepada saya.

Saya mengangguk faham dengan apa yang diperkatakan.

" Terima kasih. Jika ada masalah saya akan datang semula ye."

" Sama-sama. Baiklah" jawab pekerja tersebut.


Beberapa hari kemudian


 " Encik, printer ni ada masalah la. Bila print, dakwatnya putus-putus."

Kemudian Pekedai itu berkata sesuatu kepada pekerjanya.

" Ini sebab u tak buka klip".

" Tak buka klip?" saya menjawab dengan nada sedikit terkejut.

" Iyalah, u tak buka ini klip sebab itu jadi macam ini" kata pekedai dengan nada sedikit tinggi dan seolah-olah menyalahkan saya.

" Manalah saya tahu, sebab saya bukan tahu semua perkara tentang IT ni" saya menjawab.

" Sepatutnya masa saya ambil printer ini itu hari awak beritahu saya tentang benda ni." saya menjawab lagi. 

" Awak tak boleh anggap semua orang faham tentang teknologi. Sepatutnya awak menjelaskan kepada saya apa patut saya buat bila sampai rumah. Sekarang awak sudah membuang masa saya dengan sedikit masalah yang sangat kecil" saya menambah lagi jawapan yang telah diberikan sebelum ini dengan sedikit perasaan geram.

Peniaga Yang Bijak, Tidak Akan Berdebat Dengan Pelanggan

Inilah kesilapan paling besar seseorang peniaga. Suka berdebat dengan pelanggan dan menyakitkan hati pelanggan. Ya, anda boleh menang, tetapi anda juga akan kehilangan pelanggan. Jika dia adalah pelanggan utama yang menyumbang pendapatan yang agak tinggi dan kerap kepada perniagaannya, nasib malang peniaga itu berganda-ganda.

Dengar Dan Respon Dengan Baik

Apabila pelanggan memperkatakan sesuatu, dengarlah terlebih dahulu dan respon setelah selesai mereka berkata-kata. Elakkan berdebat dan memperlekehkan pelanggan anda. Sekiranya mereka berasa terluka dan terhina dengan pandangan anda, itu adalah satu malapetaka buat perniagaan anda. Misalnya seorang pesakit berjumpa dengan seorang doktor. Setelah mendengar kata-kata pesakit, doktor telah memberikan pandangan yang sensitif seperti, " Awak ni tak jaga makan, sebab itu badan gemuk dan darah tak turun-turun." Jika ayat-ayat cinta tersebut benar-benar diungkapkan, kita percaya, pesakit itu akan terluka dan bertekad dalam hatinya tidak akan datang semula ke klinik tersebut.

Wahai peniaga di luar sana, tidak kira apa jua bidang perniagaan anda, hargailah pelanggan anda. Menang berdebat, adalah kekalahan bagi perniagaan anda. Jika anda menang sekejap, ruginya mungkin lama. 

Bukan Peniaga Sahaja

Sebenarnya, masalah suka berdebat dan sikap ingin menang ini bukan sahaja perlu dielakkan dalam urusan perniagaan, tetapi dalam urusan biasa kehidupan. Sebaiknya, jadilah insan yang banyak mendengar dan memberi respon yang menyenangkan jika berkesempatan. Jika tidak, memberi perhatian pada apa yang diperkatakan dan menunjukkan kesungguhan dan minat pada kata-kata mereka, itu lebih baik dan bermakna dalam hubungan sesama manusia. Namun begitu, jika terpaksa juga menjawab dan berkata-kata sesuatu supaya segala permasalahan terjawab dan dapat diselesaikan, gunalah bahasa dan pendekatan yang berhikmah. 

" Kemenangan kerana ingin menegakkan kebenaran, bukan bermakna mengalahkan orang lain dengan akhlak yang buruk..."

Wallahua'lam





Monday, February 3, 2014

Apabila Pujian Menarik Emosi…

Oleh : Razali Saaran

Semalam saya ke sebuah kedai cermin mata untuk menggantikan cermin  mata lama yang sudah rosak. Hajat di hati hanya ingin mengganti cerminnya sahaja kerana bingkai cermin mata yang lama masih ada. Tetapi setelah beberapa ketika saya membuat keputusan untuk membeli yang baru.

“ Saya sudah membeli cermin mata dibanyak kedai, tetapi saya rasa kedai ini yang terbaik “… Kata-kata tersebut saya ungkapkan setelah menerima layanan yang cukup baik daripada pekerjanya.

“ Kenapa u kata begitu ? “ Tanya pekerja wanita tersebut…

“ Saya sudah pergi banyak kedai, tetapi kedai ini bagus kerana memberi penerangan yang jelas pada saya… Saya suka”.

Pekerja itu tidak berkata apa-apa, tetapi daripada gerak badannya saya tahu dia suka dan bangga dengan pujian tersebut.

“ Encik tunggu lagi satu jam, nanti datang ambil yer”, wanita itu menuturkan kata-katanya dengan  senyuman.

“ Baiklah, nanti lagi satu jam saya datang ambil.”

Sebelum beredar…

“ emm, biar saya cuci cermin mata encik yang lama itu dulu.”

“ Ohhh, terima kasih “, sambil saya membalas dengan senyuman dan sedikit teruja.

Pujian Pada Perkara Yang Disukai Adalah Daya Tarikan Yang Hebat

Apabila saya memuji wanita tersebut kerana perkhidmatan yang terbaik yang telah diberikan olehnya, saya mendapat perkhidmatan tambahan tanpa diminta. Ya, perkhidmatan yang belum pernah saya terima di kedai cermin mata yang lain, melainkan jika saya yang memintanya. Tetapi di kedai tersebut saya mendapatkannya tanpa perlu meminta kepadanya. Saya percaya, dia memberikan servis tambahan tersebut kerana rasa ingin membalas dengan sesuatu yang dapat menggambarkan ucapan terima kasihnya yang tidak terhingga terhadap kata-kata yang menusuk kalbunya sebentar tadi. Saya benar-benar dapat merasakannya kerana selepas saya bercakap perkara tersebut kepadanya, dia turut menyatakan kepada saya yang dia ingin membantu saya menurunkan kadar rabun saya yang telah meningkat dengan menukarkan saya cermin mata yang paling sesuai dan dia telah membuktikan kepada saya melalui tindakan-tindakannya selepas itu.

Setiap Manusia Suka Pada Penghargaan

Saya perhatikan manusia itu suka pada penghargaan. Dengan penghargaan manusia akan bertindak dengan sukarela tanpa paksaan kerana mereka merasakan apa yang mereka lakukan selama ini dihargai. Perkara ini dapat dilihat pada diri kanak-kanak dan pekerja. Anak-anak saya, saat mereka dipuji, mereka sanggup melakukan perkara yang diminta ke atasnya. Saya melihatnya dan takjub dengannya.

Wahai ibu ayah, wahai pemimpin organisasi, wahai guru, wahai peniaga, wahai usahawan, wahai ahli politik, wahai pendakwah, sekalian manusia, pujian itu sangat bermakna sekali, terutamanya buat mereka yang tidak memerlukannya…

Moga Engkau Mengerti……….





TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...