Wednesday, June 10, 2009

Apabila Orang Melayu Semakin Liberal

Menurut Kamus Dewan Bahasa perkataan liberal membawa maksud terbuka. Perkataan liberal berasal daripada perkataan Latin liber yang bermaksud bebas atau bukan hamba. Perkataan liberal banyak dikaitkan dengan perkataan Inggeris liberty dan konsep kebebasan( Sumber : Wikipedia ).Apabila seseorang itu disebut sebagai bersikap liberal maka itu bermakna dia merupakan seorang yang bersikap terbuka dan bebas tanpa halangan. Hari ini ramai juga dikalangan kita yang bercakap soal liberalisasi dalam beragama. Apabila seseorang itu agak berlembut dan sederhana dalam mengeluarkan pendapatnya, maka dia mudah sekali untuk dicap sebagai golongan liberal. Tetapi apabila seseorang itu dilihat keras dan tegas dalam menyatakan pandangannya, maka dia pasti digelar seorang yang konservatif. Label-melabel dalam Islam kini adalah merupakan tren yang tidak sihat untuk kita umat Islam kerana ia tidak lain hanya menggalakkan perpecahan berbanding perpaduan.


Namun begitu tulisan ini bukanlah bertujuan untuk membicarakan aliran liberal dan konservatif dalam masyarakat Islam di dunia ini umumnya ataupun di Malaysia khasnya. Tetapi adalah bertujuan untuk membawa pembaca bersama-sama memikirkan tren baru masyarakat melayu di negara ini yang semakin liberal dalam hal agamanya. Baru-baru ini saya telah pergi ke Jusco Tebrau City di Johor Bahru untuk menjamu selera di sana. Alhamdulillah ramai juga bekas pelajar yang saya ketemui secara kebetulan pada waktu itu. Ada yang masih menjaga tatasusilanya dalam berpakaian, dan ada juga yang telah berubah gayanya. Apapun saya masih bersyukur kerana mereka masih sudi menegur dan masih menghormati saya sebagai bekas guru mereka.

Ketika sedang menikmati kelazatan makanan yang dipesan, tiba-tiba mata ini terpandang satu keluarga yang sedang berjalan di depan meja. Alhamdulillah, bapanya berkopiah, ibunya pula bertudung litup. Tetapi apa yang menyedihkan apabila anak lelaki remajanya yang pada perkiraanya berumur lebih kurang 18 tahun hanya memakai T-shirt dan berseluar pendek. Sidang pembaca sekalian, tiada niat untuk menghina atau mengaibkan sesiapa, tetapi kejadian itu adalah satu daripada lain-lain peristiwa yang pernah dialami sebelum ini. Ia amat menyedihkan apabila seorang ibu yang menutup aurat berjalan bersama anak daranya yang memakai baju " adik " yang sangat ketat dan merbahaya buat kaum adam yang memandangnya. Malah ada yang " meredhai " anaknya dengan mengizinkan mereka berjalan di pasaraya bersama ibunya dengan hanya memakai T-shirt ketat yang dipadankan dengan skirt pendek atas lutut.

MasyaAllah, inilah realiti yang sedang kita hadapi apabila masyarakat melayu islam semakin leberal pemikirannya. Kerana semakin tebalnya pemikiran ini, tidak menjadi sesuatu yang memualkan apabila makcik-makcik tua bertudung terjerit-jerit menyokong artis-artis realiti kesayangan mereka. Itu tidak mengapa kerana itulah namannya liberal. Jika dahulu perlakuan sebegitu dipandang hodoh oleh masyarakat, tetapi sekarang apabila kita bercakap tentang keburukan perkara tersebut, mereka akan memandang sinis kepada kita kerana kita ini amat jumud pemikirannya. Zaman telah berubah, zaman sekarang mesti lebih terbuka dan belajarlah menghormati hak orang lain walaupun kamu tidak gembira dengannya.

Jika dahulu di kampung-kampung amat jarang sekali untuk melihat anak-anak dara berkeliaran menaiki motosikal bersama pasangannya mengelilingi kampung. Apatah lagi untuk keluar di waktu malam. Tetapi kini semuanya amat berbeza sekali. Kadangkala apabila melihat cara berpakaian mereka kita merasakan seperti mereka lebih bandar daripada masyarakat kota. Mengapa ini berlaku? Ya, kerana orang melayu semakin leberal. Dan kerana semakin liberallah menyebabkan masyarakat di kampung-kampung dan di kawasan felda-felda semakin terbuka penerimaannya terhadap perkara-perkara yang dilihat buruk suatu ketika dahulu.

Bahayakah ideologi liberal ini?

Apabila seseorang itu berfikir secara liberal bermakna ia sedang berfikir secara bebas tanpa kongkongan daripada mana-mana pihak. Penganut ideologi liberal kebiasaannya akan berfikir lain daripada kebiasaan seseorang itu berfikir dan ianya pasti akan bertentangan dengan fitrah Islami manusia. Malah kesan paling hebat apabila ideologi ini semakin meresap ke dalam minda seseorang itu mereka akan melihat sesuatu itu biasa walaupun ianya adalah sesuatu yang luar biasa pada asalnya. Oeleh kerana ideologi ini berasal daripada Barat maka sudah tentulah ianya bertentangan dengan kehendak Islam yang melihat bahawa manusia itu perlu dikawal dengan undang-undang yang tertentu agar ia tidak bergerak melampaui batas. Aliran liberalisme di Barat menekankan kebebasan dalam semua hal samada dari segi politik, ekonomi, sosial dan budaya masyarakat. Ideologi liberal berkehendakkan kepada masyarakat di Barat pada waktu itu berfikir secara bebas tanpa dibelenggu oleh kawalan daripada sesiapapun hatta pemerintah pada waktu itu. Semangat peribadi yang tinggi dalam falsafah liberal itu sendiri menyebabkan masyarakat Barat pada ketika itu, malah sehingga kini hidup dalam kerosakan dan kehinaan. Mereka maju dari segi materialnya tetapi runtuh akhlaknya. Mengapa ini berlaku, tidak lain tidak bukan kerana kebebasan yang mereka agung-agungkan selama ini. Berbuatlah apa sahaja kerana anda berhak menikmatinya. Mungkin itulah motto rasmi bagi mereka yang berpegang kepada ideologi liberal ini.

Sabda Rasulullah saw :

“Sungguh kamu akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal sehasta demi sehasta, hingga kalau mereka masuk lubang biawak, kamu akan tetap mengikuti mereka.” Para sahabat bertanya,”Apakah mereka Yahudi dan Nasrani?” Jawab Rasulullah SAW,”Lalu siapa lagi?” (HR Bukhari & Muslim).

Kini pemikiran ataupun ideologi ini telah menerjah masuk ke alam melayu yang mana kesannya telah dapat kita lihat sedikit demi sedikit. Perbandingannya dapat kita perhatikan dengan melihat perubahan budaya hidup masyarakat melayu dahulu dengan masyarakat melayu moden sekarang. Lihatlah cara berpakaian mereka, cara mereka mengeluarkan pendapat tentang agamanya, cara mereka mengkritik Ulama'-ulama'walaupun mereka bukan ahli dalam bidang agama, cara pemakanan mereka dan di mana mereka makan, cara mereka mendidik anak-anak mereka dan bermacam-macam lagi yang boleh kita perhatikan. Ya mungkin berfikiran moden itulah yang dikatakan liberal kerana berfikiran tertutup itu dikatakan seseorang yang bersifat kampungan. Ya, mungkin juga mereka yang liberal itu adalah mereka yang lebih matang berbanding mereka yang tidak liberal. Ya, mungkin juga mereka yang liberal itu adalah golongan yang berani kerana bisa mengubah cara berfikir umat Islam yang kononnya begitu jumud kerana dikongkong itu dan ini dengan hukum-hakam agamanya. Salahkah mereka ingin berkelakuan begitu dan begini kerana mereka tidak meninggalkan solat, mereka berpuasa dan mereka begitu menghormati orang tua. Mereka cuma inginkan ruang kebebasan dalam diri mereka seperti cara berpakaian dan aktiviti sosial mereka. Mereka tidak mengganggu orang lain, mengapa mereka mesti diganggu oleh segelintir mereka yang tidak senang dengan cara mereka berfikir.

Secara peribadi perkembangan ini begitu membimbangkan kerana jika ini tidak diambil perhatian dan dikawal, tidak mustahil suatu hari nanti Malayu yang ada kini akan hilang nilai ketimuran dalam dirinya. Malah ideologi ini akan menggalakkan budaya tidak kisah dan tidak ambil peduli orang lain. Janganlah nanti orang yang berbuat baik itu dilihat sama sahaja dengan mereka yang berbuat mungkar. Tidak ada kaedah lain yang dapat mengatasinya melainkan kita perlu kembali atau berbalik kepada ajaran Islam yang sebenar. Bukan ajaran islam yang hanya diambil ketika perlu sebagaimana orang mengambil ubat demam ketika demam. Islam bukan ubat demam yang hanya boleh diambil apabila perlu dan mengikut masa-masa yang ditetapkan oleh pihak doktor. Islam itu " way Of Life " dan perlulah digerakkan sepanjang hayat ini selagi mana bernafas.

Ingatlah wahai umat Islam, dunia ini bukan milik kita, tetapi harta yang kita warisi daripada anak-anak kita. Jika kita gagal menjaganya, maka merekalah yang akan menikmati kehancurannya. dan ingatlah bahawa rosaknya Islam pada hari esok adalah kerana tangan-tangan kita pada hari ini.

Selamat Berubah Kepada Kehidupan Baru

Wallahu'alam

www.teratakmuslim.blogspot.com

Tuesday, June 9, 2009

Rasepi Hari Ini


Rasanya agak lama saya tidak update blog saya kerana kesibukan menguruskan isteri yang sedang berpantang dan 2 anak lelaki masing-masing ada ragamnya. Yang paling mencabar bukannya menjaga isteri yang sedang berpantang yang sudah masuk hari yang ke-30, tetapi melayan keletah haris husaini yang banyak mencabar erti kesabaran dalam diri saya..Namun ia bukanlah sesuatu yang membebankan, malah ia begitu menyeronokkan kerana setiap hari saya melihat peringkat-peringkat perubahan dalam minda dan tingkahlakunya. Benarlah kata ilmuan, anak kecil jangan disekat kreativitinya kerana dia sedang belajar mengenal dunia ini. Tidak mengapa haris husaini, abah tidak marah jika haris tolong abah " kemas " rumah yang baru abah kemas. Abah tidak marah kalau haris susun mainan haris satu rumah, tumpahkan air, kuah, nasi dan macam-macam lagi kerana abah tahu haris sedang belajar mengenal dunia ini. Cuma yang abah harapkan( jika haris fahamlah ), janganlah dikejut adik hashri yang sedang tidur kerana abah pun hendak berehat.


Alhamdulillah, hari ini saya berjaya menyiapkan menu dari daging kambing. Orang kata daging kambing panas, baik untuk orang baru lepas bersalin. Jika ada yang tidak bersetuju jangan marah ye kerana saya dan isteri baru selesai menghabiskannya. Mudah-mudahan tiada mudarat daripadanya. Di bawah ini saya sertakan resepinya, dan cubalah kerana saya baru selesai mencubanya buat kali pertama. Alhamdulillah rasanya berjaya. Baiklah rakan-rakan, selamat mencuba.


1. Daging kambing ( Potongan dan berat bersih ikut sukalah )

2. Bahan untuk dikisar

1 btg kulit kayu (ketuk sikit)
sedikit jintan manis
2@3 kuntum bunga cengkih (ketuk sikit)
3@4 kuntum bunga lawang
1 1/2 biji bwg besar
sedikit halia
2 biji bwg putih
sedikit kunyit

3. Garam
4. 2 sudu besar cili giling/mesin
5. 2 sudu Kicap. Kalau kurang hitam, tambahkan sedikit lagi. tapi jangan sampai hitam macam kicap plak yer.
6. air asam jawa secukup rasa
7. sedikit gula merah atau gula pasir

Cara-cara

Kisarkan semua bahan di nombor 2. Gaulkan daging kambing tadi bersama dengan garam, bahan kisar, cili mesin dan kicap. Perapkan selama 30 minit atau lebih.
kemudian Panaskan minyak untuk menumis. kemudian diKacau rata dan tutup periuk sebentar.

Masukkan air asam jawa dan tambahkan air jika perlu untuk melembutkan daging. Bila daging dah lembut, masukkan gula merah.jika tiada gula merah, gantikan dengan gula pasir sahaja. Selepas itu biarkan sehingga sebati dan siap untuk dihidangkan.



Saturday, May 16, 2009

Selamat Hari Guru!!!


Apa Khabar semua guru. Hari ini adalah hari paling istimewa buat anda. Jika kta bergembira menyambut 1 Syawal kerana telah berusaha berlapar dan dahaga serta melawan hawa nafsu yang jahat, maka hari ini juga adalah kegembiraan buat kita yang bergelar guru kerana 16 Mei adalah hari khas buat para guru yang telah bertungkus-lumus mendidik anak bangsa tanpa perasaan jemu. Berbanggalah wahai para guru kerana anda dipilih menjadi hamba yang dijanjikan ganjaran yang begitu besar oleh Allah di akhirat kelak.

Diriwayatkan pula daripada Abu Umamah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“ Sesungguhnya Allah SWT, para malaikat, penghuni langit dan bumi, termasuk semut yang berada di dalam lubang dan ikan paus, sesungguhnya akan memberkati dan memberi rahmat kepada orang yang mahu mengajarkan kebaikkan ( ilmu ) kepada manusia.”
( Riwayat Imam Tirmizi )

Diriwayatkan daripada Fudhail bin ‘Ayyad r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“ Orang yang berilmu yang berusaha mencipta, orang yang mahu mengajarkan ilmunya akan didoakan oleh seluruh penghuni kerajaan langit.”
( Riwayat Imam At-Tirmizi )


Selamat Hari Guru Buat Isteriku tersayang serta Rakan-RakanKu Sekalian...



Sunday, May 10, 2009

Selamat Datang ke dunia Baru wahai Putera keduaKu


Alhamdulillah...Itulah kalimah terhebat yang mampu kuluahkan apabila melihat puteraku yang kedua selamat dilahirkan pagi tadi ( Ahad-10 Mei 2009 ). terlalu gembira hati ini hanya Allah yang tahu. Sejak Isteri dimasukkan ke Wad dada saya terasa begitu sesak sekali. saya cuba mengawal emosi, tetapi saya tak mampu menyembunyikan emosi. Mereka yang memandang tentu mengerti bahawa saya sedang risaukan isteri.

Lebih kurang 8.30 pagi ' nurse " memanggil saya mengatakan isteri sudah semakin hampir melahrkan anak. Tanpa banyak bicara saya melangkahkan kaki ke bilik bersalin. saya lihat isteri sedang tersenyum melihat saya melangkah masuk ke dalam bilik. Tiada apa yang mampu saya berikan pada ketika itu melainkan doa dan kata-kata semangat kepadanya. Alhamdulillah, lebih kurang sejam setengah, isteri berjaya melahirkan seorang lagi putera buat saya. Alhamdulillah sekali lagi Allah beri kekuatan kepada saya untuk menemani isteri semasa melahirkan anak. Insaf sungguh melihat keperitan dan penderitaan isteri ketika itu. Sayang, abng berdoa semoga Allah memberikan ganjaran yang terbesar di akhirat kelak kerana pengorbananmu melahirkan anak-anak comel buat abang...Terima Kasih sayang...

Selamat Hari Ibu Sayang..

10.5.09

Thursday, May 7, 2009

I Luv Palestin

Saya baru sahaja pulang dari solat jumaat sebentar tadi. tetapi hati saya masih geram apabila memandang beberapa remaja sedang sibuk bermain-main dengan telefon bimbitnya walaupun imam sedang berkhutbah. Itu belum lagi ditambah dengan hingar-bingar yang disebabkan bualan dan jeritan dari kanak-kanak yang duduk di belakang dan di luar masjid.setiap minggu, inilah masalah yang sering dihadapi oleh kebanyakkan jemaah yang bersolat jumaat di taman ini. Sebelum ini saya bersolat jumaat di Masjid besar, tetapi sejak berpindah ke taman ini, saya bersembahyang di surau yang dinaik taraf kepada masjid kerana lebih dekat dengan rumah saya.



Jika solat jumaat pun tidak lagi dihormati apalah lagi yang tinggal pada Islam itu. 1.6 bilion hanya gah pada angkanya, tetapi ibarat ikan bilis di mata musuh-musuh Islam. Benarlah seperti apa yang disebut oleh Rasulullah SAW, umat akhir zaman ini ibarat buih-buih dilautan. Jumalahnya banyak, tetapi begitu lemah. Lihatlah bangsa Yahudi, jumlahnya sedikit tetapi berkuasa dan digeruni. Negara kuasa besar seperti Amerika turut ditawannya dengan kuasa ekonominya.

Lemahnya jiwa umat Islam ini semakin terserlah dengan apa yang berlaku di Palestin. selama 60 tahun lamanya mereka dizalimi oleh yahudi laknatullah, tidak ada apa yang mampu dilakukan oleh umat Islam. Jika sekadar bercakap sahaja, tetapi tiada sebarang usaha yang benar-benar konkrit apalah ertinya semua itu. Ianya kerja sia-sia. orang tua-tua sering berpesan, jangan buat kerja ibarat menyiram air ke daun keladi. air habis berbaldi, tetapi daun tidak basah-basah juga. Kita di Malaysia juga tidak kurang yang marahkan Yahudi kerana zalim pada Palestin dan Marahkan Amerika kerana masih berkuasa secara haram di Iraq dan Afghanistan. Kita juga marah kerana banyak nyawa-nyawa yang terbunuh di sana. Kita juga menangis kerana melihat banyak mayat kanak-kanak bergelimpangan terkena peluru bangsat tentera yahudi dan Amerika. Maka kita berteriaklah melaungkan perkataan " Boikot" berulang-ulang kali sehingga sakit anak tekak kita. Tetapi ia tidak lama, apabila sejuk semula isu Palestin, maka hilanglah suara boikot yang sebelumnya kuat bergema. Selepas itu kita kembali ketawa sambil menikmati hidangan makanan yang diImport dari sana bersama keluarga dan rakan-rakan kita. Kita kembali ketawa kerana berasa bangga memakai pakaian dan minyak wangi dari sana. Dan kita terus ketawa kerana ada ratusan malah ribuan lagi produk dari sana yang sedang menanti kita untuk menggunakannya.

Mengapa ini berlaku. Mengapa sekejap sahaja roh jihad kita untuk bangkit bersama-sama menentang kejahatan mereka. saya faham kerana saya juga merasa kesannya apabila berhenti daripada menggunakan produk-produk yang telah lama saya nikmati selama ini. Sukarnya untuk mendapatkan keserasian dengan produk yang baru. Tetapi bila difikirkan kembali, banyak lagi barang-barang pengganti yang lain. semua ini adalah nafsu semata-mata. kita mungkin derita kerana tidak dapat menikmati apa yang telah biasa kita nikmati sebelum ini. kita hanya merasa sakit dijiwa kerana tidak dapat menggunakan produk yang biasa kita gunakan. rasa sakit menahan hati itu adalah sekecil-kecil jihad yang mampu kita lakukan di sini. apalah sangat nilainya berbanding dengan jihad yang umat Palestin sedang lalui kini. Bersabarlah, dan marilah kita sama-sama kuatkan tekad melawan nafsu kita agar kita dapat membantu mengurangkan kekuatan ekonomi mereka dengan berhenti membeli produk-produk mereka yang menyumbang terus kepada kezaliman ke atas umat islam di palestin. marilah sama-sama kita merasai derita mereka dengan menahan keinginan kita pada produk-produk yang menambah kuasa ekonomi bangsa yahudi laknatullah kerana dengan kuasa ekonomilah mereka menindas umat Islam di Palestin. Mudah-mudahan, penderitaan melawan rasa dan keinginan menggunakan produk-produk tersebut mendapat balasan yang besar di sisi Allah..

" Kita takkan mati jika kita tak makan makanan mereka, tapi jika kita makan makanan mereka orang Palestin akan mati"

Fikir-fikirkanlah.......

I luv Palestin


Wednesday, April 29, 2009

Was-Was itu daripada Syaitan!!

KERAGUAN adalah suatu fenomena lazim yang dihadapi manusia. Ia datang dan hilang tanpa diduga, namun dalam sesetengah kes, perasaan itu sukar dilenyapkan dan berpanjangan sehingga kerap mempengaruhi diri.

Bahayanya apabila ia bukan setakat menyukarkan seseorang menilai dan membuat keputusan terhadap sesuatu perkara, malah pada satu tahap mengakibatkan hati tidak tenteram.

Seringkali mereka yang dikuasai perasaan ini mengalami masalah dalam menentukan keseimbangan hidup seharian dan bagi umat Islam ia mengganggu tumpuan dalam aspek keimanan dan amal ibadat.

Perasaan ragu-ragu boleh disamakan dengan sangsi, waswas, syak hati dan bingung seperti diterangkan dalam Kamus Dewan.

Ditinjau lebih jauh ia juga disifatkan sebagai bisikan dan suara halus syaitan.

Syaitan berusaha sedaya upaya mengganggu manusia dengan menitipkan perkara bukan-bukan supaya timbul kecelaruan di dalam hati, malah kadangkala mempengaruhi keputusan akal.

Al-Quran ada menjelaskan perkara ini, antaranya ayat dari surah an-Nas, antara lain bermaksud: "Dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia."

Sahabat Nabi Muhammad s.a.w juga dilaporkan tidak terlepas daripada perasaan ragu-ragu dan syubhat.

Malah, sesetengah mereka datang kepada baginda mengadukan perkara terbabit.

Abu Hurairah menceritakan, beberapa orang sahabat Rasulullah ]datang dan bertanya: "Sesungguhnya kami mendapati di dalam diri kami suatu yang kami tidak mampu untuk mengucapkannya."

Rasulullah bertanya: "Apakah engkau mendapatinya?"

Sahabat menjawab: "Ya."

Rasulullah bersabda: "Itulah kejelasan iman." (Hadis riwayat Muslim)

Kejelasan iman itu dimaksudkan penolakan gangguan syaitan dan kebencian mereka terhadapnya.

Umat Islam diajar memohon perlindungan dari Allah apabila didatangi bahaya batin iaitu perasaan ragu-ragu dan ingatan buruk angkara makhluk yang tidak kelihatan, seperti syaitan dan jin serta dari tipu daya manusia.

Surah an-Nas adalah antara pelindung daripada bahaya terbabit.

Rasulullah ada menjelaskan ayat yang terkandung dalam surah an-Nas dan al-Falaq tidak ada tolak bandingnya bagi memohon pertolongan Allah daripada segala jenis bahaya.

Imam Muslim meriwayatkan hadis bermaksud: "Bacalah surah-surah (al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas) tiga kali apabila engkau berada pada waktu pagi dan tiga kali apabila engkau berada pada waktu petang supaya engkau terpelihara dan terselamat dari segala bahaya dan bencana."

Seorang alim bernama Syaqiq menerangkan mengenai bisikan syaitan di dalam diri manusia, katanya: "Tiada satu pagi pun melainkan duduk padaku syaitan dari empat penjuru, dari depanku, belakang, kanan dan sebelah kiriku."

Seterusnya dia berkata: "Janganlah engkau berasa takut, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Kemudian dia membaca ayat 82 dari surah Taha, ayat 6 dari surah Hud, ayat 128 dari surag al-A'raaf dan ayat 54 dari surah Saba pada setiap penjuru.

Ibrahim bin Hakim menceritakan; dari ayahnya, dari Ikrimah, dia berkata: "Ada seorang lelaki yang berpergian jauh (musafir), ternampak seorang lelaki sedang tidur dan dekatnya ada dua syaitan.

"Musafir terbabit mendengar satu antara syaitan itu berkata kepada temannya: 'Sila pergi dan rosakkan hati orang yang sedang tidur itu.'

"Apabila syaitan itu menghampirinya dia berpatah balik kepada temannya dan berkata: 'Dia tidur dengan satu ayat yang membuatkan kita tidak menemui jalan kepadanya.'

"Satu lagi syaitan datang kepadanya. Apabila menghampirinya, ia berpatah balik kepada temannya dan berkata: 'Engkau betul.'

"Kemudian syaitan terbabit beredar dari tempat itu.

Musafir terbabit mengejutkan lelaki yang sedang tidur itu dan menceritakannya hal syaitan yang dilihatnya itu. Dia bertanya: 'Apa yang engkau baca ketika hendak tidur?'

"Lelaki itu menjawab: 'Aku membaca ayat ini (maksudnya: Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari atau ketika mereka berehat pada tengah hari-ayat 4 surah al-A'raaf).'"

Mereka yang menghiaskan diri dengan takwa dan iman, malah selalu mengingati Allah sukar diganggu bisikan syaitan. Hati mereka tenang dan tidak mudah dipengaruhi, walaupun berdepan dengan cabaran dan godaan.

Ibnu Qayyim berkata, sangat perlu bagi seseorang agar tidak menghentikan lidahnya daripada berzikir kepada Allah. Dengan zikir seseorang dapat melindungi dirinya, sedangkan syaitan tidak dapat masuk kepadanya melainkan melalui pintu kelalaian.

Syaitan sentiasa mengintai manusia. Apabila manusia lalai dan mengantuk ia menerkamnya.

Apabila manusia berzikir kepada Allah, terancamlah musuh Allah itu dan berasa dirinya terhina dan tertunduk.

Ibnu Abbas berkata: "Syaitan itu seperti virus penyakit di hati manusia. Apabila manusia lalai dan lupa, syaitan beraksi dan apabila manusia ingat kepada Allah ia menyorok (lari bersembunyi)."

Tetapi tidak dinafikan, sesetengah pihak mengalami kesukaran menangkis ancaman terbabit walaupun selepas dibaca doa pelindung dan ini membuatkan diri semakin buntu memikirkan usaha terbabit.

Dalam hubungan ini Ibnu al-Jauzi ada membuat perumpamaan, katanya: "Ketahuilah sesungguhnya perumpamaan iblis terhadap orang yang takwa dan tidak adalah seperti seorang sedang duduk di hadapannya ada makanan dan daging.

"Seekor anjing melalui kawasan itu, kemudian dia berkata: 'Husy! Husy!.'

"Anjing itu berlalu dan kemudian datang pada orang lain, juga terdapat makanan dan daging di hadapannya.

"Orang itu juga menghalau anjing terbabit dengan mengatakan: 'Husy! Husy!.' Tetapi kali ini anjing tidak mahu meninggalkannya.

"Perumpamaan yang pertama adalah seperti orang yang takwa didatangi syaitan, ia mampu menghalau syaitan dengan zikir saja. Perumpamaan kedua seperti orang yang tidak takwa, syaitan tidak mahu lari darinya (walaupun dihalaunya dengan zikir)."

Justeru, bagi orang Islam yang ingin selamat dari bisikan syaitan dan tipu dayanya, hendaklah menyibukkan diri dengan ketakwaan, keimanan dan perlindungan kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.

Sumber : Harian Metro


Thursday, April 16, 2009

Menangislah di sini.............

Sumber : Al-Ahkam.net

Detik waktu bersama kelahiran seorang bayi dihiasi tangisan. Nyaring berkumandang, menyaring segala suara yang menyapa telinga si ibu. Lonjak hatinya memuncak gembira penawar sakit dan lesu. Lalu bermulalah sebuah kehidupan yang mewarnai bumi berpenakan hati, berdakwatkan air mata.

Air mata adakalanya penyubur hati, penawar duka. Adakalanya buih kekecewaan yang menyempit perasaan, menyesak kehidupan. Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor diperlimpahan. Namun setitis air mata kerana takutkan ALLAH persis permata indahnya yang bemergemerlapan.
'
Penghuni Syurga ialah mereka yang banyak dukacitanya di dunia. Tidak berkumpul dua perkara dalam satu masa. Barangsiapa gembira di dunia akan berdukacita di akhirat. Barangsiapa yang banyak dukacitanya di dunia akan gembira di akhirat.

Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang,
Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang,
Alangkah sempitnya kuburku, keluh seorang Abid,
Alangkah sedikitnya hartaku, kesal si hartawan.

Dari mata yang mengintai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus, mengalirlah air kecewa kegagalan. Dari mata yang redup merenung Hari Akhirat yang dirasakan dekat, mengalirkan air mata insaf mengharap kemenangan.

"Penghuni Syurga itulah orang-orang yang menang."(Al Hasyr: 20)

Tangis adalah basahan hidup, justeru: Hidup dimulakan dengan tangis, dicelahi oleh tangis dan diakhiri dengan tangis. Manusia sentiasa dalam dua tangisan. Sama ada yang membawa untung atau merugikan.

Sabda Rasulullah s.a.w. : "Ada dua titisan yang ALLAH cintai, pertama titisan darah para Syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH."

Oleh itu berhati-hatilah dalam tangisan, kerana ada tangisan yang akan mengakibatkan diri menangis lebih lama dan ada tangisan yang membawa bahagia untuk selama-lamanya. Seorang pendosa yang menangis kerana dosa adalah lebih baik daripada Abid yang berangan-angan tentang Syurga mana kelak ia akan bertakhta.

Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa seorang ulamak dunia hilang ilmu, hilang wibawanya. Ketawa seorang jahil, semakin keras hati dan perasaannya.

Nabi saw bersabda : "Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa."

Seorang Hukama pernah bersyair : "Aku hairan dan pelik, melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan, lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan."

Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, takut-takut tidak diterima ibadatnya, ita ketawa walaupun sedar diri kosong daripada amalan.

Lupakah kita Nabi pernah bersabda : "Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa, akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis."

Kita gembira jika apa yang kita idamkan tercapai. Kita menangis kalau yang kita cita-citakan terabai. Nikmat disambut ria, kedukaan menjemput duka. Namun, Allah SWT telah berfirman : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, pada hal ianya amat buruk bagimu. ALLAH Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui." (Al Baqarah : 216)

Sabda Nabi saw, "Neraka dipagari nikmat, syurga dipagari bala."



Menangislah wahai diri, agar senyumanmu banyak di kemudian hari. Kerana engkau belum tahu, nasibmu dipuak kanan atau dipuak kiri. Di sana, lembaran sejarahmu dibuka satu persatu, menyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya bergantung kepada syafaat Rasulullah yang dikasihi Tuhan. Kenangilah, sungai-sungai yang mengalir itu banjiran air mata Nabi Adam yang menangis bertaubat, maka suburlah dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat.

Menangislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata :
"Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu."

Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila ditanya :
"Kenapa engkau menangis?"
"Aku tidak mempunyai anak lagi untuk dihantar berperang," jawabnya.

Menangislah sebagaimana Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan. Diharamkan matanya dari memandang ke langit seumur hidup, lalu berkata: "Sesungguhnya engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu."

Ibnu Mas'ud r.a. berkata : "Seorang yang mengerti al Quran dikenali waktu malam ketika orang lain tidur, dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa, sedihnya ketika orang lain sedang gembira dan tangisnya di waktu orang lain tertawa. Diamnya di waktu orang lain berbicara, khusuknya di waktu orang lain berbangga, seharusnya orang yang mengerti al Quran itu tenang, lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam, lalai, bersuara keras dan marah".

Tanyailah orang-orang soleh mengapa dia tidak berhibur : "Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami, kubur di hadapan kami, kiamat itu janjian kami, neraka itu memburu kami dan perhentian kami ialah ALLAH."

Menangislah kita di sini, sebelum kita menangis di sana!!!.............

info daripada: http://opalotus99.blogspot.com/



TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...