Wednesday, August 11, 2010

Dua Kegembiraan................


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla Berfirman: “Melainkan puasa, kerana ianya untukKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu”. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi disisi Allah daripada bau Misk. (minyak wangi kasturi).

[Riwayat Imam Muslim]

Semoga dua kegembiraan ini akan menjadi motivasi untuk kita semua sepanjang ramadhan ini berlangung...salam ramadhan buat semua..





Tuesday, August 10, 2010

Ramadan: Antara Bulan dan Matahari

“Apa istimewanya berpuasa di bulan Ramadhan dan bukannya September?” saya bertanya.
Para peserta modul Fiqh of Travellers terpinga-pinga.
Bukan tidak tahu jawapan, tetapi tidak faham apa hubungkaitnya antara Ramadhan dan September.

“Kedua-duanya adalah bulan kesembilan di dalam kalendar Gregorian dan kalendar Hijriah Islam” aju seorang peserta.

“Benar sekali. Tetapi sentiasakah Ramadhan itu jatuh bersamaan dengan bulan September?” saya melanjutkan soal jawab.

“Tentu sahaja tidak. Malah Ramadhan akan tiba kira-kira 10 hari lebih awal berbanding dengan tahun sebelumnya” balas peserta tersebut.
Tepat sekali. Itulah yang cuba saya gambarkan kepada mereka. Setiap tahun, Ramadhan akan tiba sekitar 10 atau 11 hari lebih awal berbanding dengan tahun sebelumnya. Ramadhan pernah jatuh pada bulan Disember, ia juga boleh tiba pada bulan Jun.
Hikmahnya besar.

Hikmah yang lebih jelas bagi manusia yang mengambil peluang kembara ke utara atau selatan Bumi.

Semasa Ramadhan tiba pada bulan Disember, ia bermaksud umat Islam di negara-negara utara Bumi menyambut bulan yang penuh makna ini pada musim sejuk. Selain cuaca yang sejuk, mengurangkan rasa dahaga yang menguji, siang pada musim sejuk adalah pendek berbanding malam. Subuh lewat dan Maghrib pula awal.

“Seawal bagaimana ustaz?” tanya seorang peserta.
“Subuh boleh masuk selewat 7:30 pagi dan Maghrib pula masuk pada jam 4 petang!” saya menjawab.

“Wah, hebatnya!” pelajar-pelajar itu kelihatan teruja.
“Sebab itu ramai orang kaya buat umrah di London, semasa Ramadhan jatuh pada musim sejuk!” saya berseloroh.
Mereka ketawa. Faham dengan bahasa sinis itu.

“Tetapi lain pula ceritanya di musim panas. Apabila Ramadhan tiba pada bulan Julai, itu sudah terbalik. Siang menjadi panjang, malam menjadi pendek” saya menyambung penjelasan.
“Misalnya?” tanya anak muda yang bakal terbang ke USA itu.
“Di Amerika Syarikat saya tidak pasti. Tetapi di tempat saya bertugas dahulu di Ireland Utara, Subuh boleh tiba seawal 2:15 pagi dan Maghrib selewat 9:45 malam!” saya menjawab.

Terkejut mereka.

“Mujurlah saya sudah balik ke Malaysia. Kalau tidak, tinggal sekepinglah jawabnya!” saya mengusik.
Dalam ketawa, mereka turut dilanda resah. Saya tinggal di Malaysia, mereka bakal terbang ke destinasi pengajian masing-masing. Bakal berpuasa di perantauan. Menyambut Ramadhan di musim panas. Musim yang siangnya panjang berganda dan malam pula hanya segelintir hari.

“Tetapi untunglah mereka yang bakal ke Australia dan New Zealand. Terbalik dari UK, USA, Russia dan Jepun, bulan Jun, Julai dan Ogos di sana itu adalah musim sejuk” saya menyambung kuliah.

Benar sekali.

Jika selama ini, umat Islam di Hemisfera Selatan Bumi seperti Australia, New Zealand, Afrika Selatan dan Argentina diuji dengan Ramadhan yang jatuh pada November, Disember dan Januari yang merupakan musim panas, umat Islam di utara Bumi sedang meraikan puasa di musim sejuk. Kini, apabila umat Islam di Utara pula semakin panjang tempoh puasanya kerana Ramadhan jatuh pada musim panas, umat Islam di Selatan pula mengambil giliran menikmati puasa yang semakin pendek dan mudah.
Duduklah di mana sahaja, dengan Islam kita akan menikmati keadilan Allah Subhanahu wa Ta’aala.

Lagi bagus, kalau duduk di Malaysia, dari lahir sampai mati, sentiasa sederhana dan sama sahaja!

Berbeza sekali dengan agama Kristian yang menggunakan kalendar berasaskan matahari. 25 Disember sentiasa musim sejuk di utara bumi, dan sentiasa musim panas di selatan sana. Imej Krismas di Australia dan New Zealand tidak pernah sama dengan imej Krismas menurut sentuhan UK dan USA kerana Disember sentiasa musim sejuk di atas sana, sentiasa musim panas di selatan pula.
Islam agama fitrah.

Bukankah ia sesuatu yang indah?

Dipetik daripada : www.saifulislam.com

Monday, August 9, 2010

Alhamdulillah..Syukur Allah Atas Kekuatan Ini...

Jika ikut perancangan, hari ini ( 9 ogos ) saya sepatutnya bercuti kerana semalamnya ( 8 ogos ) saya telah menghadiri upacara konvokesyen adik ipar saya di UKM Bangi. Memandu lebih kurang 600 km pergi dan balik memang memenatkan. Ditambah pula tiada cuti langsung minggu lepas kerana ada sekolah ganti pada hari sabtunya. Ahad pula ke UKM. Ya Allah sungguh penat rasanya.

Pagi tadi saya ke sekolah seperti biasa kerana tidak jadi mengambil cuti walaupun rasa letih masih terasa di seluruh badan. Kerana memikirkan kelas 5sn 2 yang akan berhadapan dengan percubaan minggu depan, saya gagahkan juga kaki ini ke sekolah.

Hari ini juga telah dipilih oleh panitia sejarah untuk adakan sambutan bulan kemerdekaan yang akan berlangsung selama sebulan. Masih terngiang-ngiang permintaan Pn. Halimah ( guru kanan bidang sains sosial ) meminta saya melaungkan merdeka sebanyak 7 kali sebagai mengingati peristiwa penting negara pada 31 ogos 1957 pada minggu lepas. Alhamdulillah nampaknya program itu berjalan lancar. Apa yang paling menarik panitia sivik telah menghadiahkan kepada semua guru sebiji logo one malaysia berlampu ( LED ). Memamg cantik sekali bila dipinkan dibaju bersama-sama dengan kerlipannya. Maka berkelip-keliplah baju semua guru pada waktu itu.

Sepanjang di sekolah, agak ramai juga pelajar-pelajar 4sn1, 4Sn2 dan 4Pa yang berjumpa saya untuk bertanyakan tentang kerja kursus Prinsip Akaun yang baru diperkenalkan tahun ini. Syukur pada Allah, walaupun saya tidak lagi mengajar mereka, bantuan dan nasihat saya masih diperlukan. Sebenarnya, meninggalkan pelajar-pelajar tingkatan 4 kerana hendak memberi tumpuan kepada pelajar tingkatan 5 memang menyedihkan hati saya. Tetapi dalam pekerjaan, perlu diberi keutamaan pada perkara yang lebih penting. Maka, mendahulukan pelajar Spm lebih penting diwaktu ini. Atas sebab itulah semua pelajar tingkatan 4 diserahkan dibawah cikgu Farouk. Walaupun cikgu Farouk baru mengajar tahun ini, dia juga berlatar belakangkan pendidikan perakaunan. Tidak menjadi bebanan padanya untuk mengajar mereka semua. InsyaAllah, semuanya pasti akan berjalan lancar.

kini, saya telahpun berada di rumah sambil menaip tulisan ini. Anak-anak dan isteri telah tidur, tapi saya masih belum mengantuk lagi. InsyaAllah, saya akan menyambung buku saya yang masih belum siap lagi. Apapun, terima kasih Ya Allah atas kekuatan ini. Syukur padamu kerana daku masih mampu berada di depan skrin komputer ini untuk melaksanakan tugasan yang masih belum selesai. Terima kasih juga ya Allah kerana kekuatan yang engkau berikan untuk daku ke sekolah hari ini untuk mencurahkan ilmu kepada pelajar-pelajarku yang begitu daku kasihi. Terima kasih juga ya Allah kerana memberi kekuatan kepadaku untuk berhadapan dengan masalah besar yang sedang dihadapi ini. Alhamdulillah, rasa lega kerana masalah ini nampaknya semakin terungkai dan daku meyakininya ya Allah, pasti akan dapat diselesaikan sedikit masa lagi dengan izin dan pertolonganMu...ya Allah terlalu besar nikmat kekuatan ini..


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Razali Saaran
Johor Bahru
9 ogos 2010








Saturday, August 7, 2010

IBUKU SEORANG PEMBOHONG

Cerita Ini saya baca di tranungkite.net sebentar tadi. Kerana mesejnya sangat baik, lalu saya bercadang untuk masukkan dalam posting terbaru saya hari ini. Alhamdulillah, maka dapatlah cerita ini disyer untuk manfaat bersama. Bacalah dan renungkanlah..semoga anda yang masih memiliki ibu@ayah belum terlambat untuk mengucapkan rasa sayang anda kepada mereka. baiklah, sila nikmati kisah yang begitu menyentuh hati ini.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini




Dipetik daripada www.tranungkite.net



Mungkin sukar bagi orang lain percaya, tetapi itulah yang terjadi, ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan kita sekalian.
Cerita ini bermula dari semasa saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga tidak senang. Makan minum serba kekurangan.

PEMBOHONGAN PERTAMA

Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan nasi dan ikan masin satu keluarga. Sebagai anak yang masih kecil, saya sering merungut. Saya menangis, ingin nasi dan lauk yang banyak. Tetapi ibu pandai berbohong. Ketika makan, ibu sering membahagikan nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke pinggan saya, ibu berkata : “”Makanlah nak, ibu tak lapar.”

PEMBOHONGAN KEDUA

Ketika saya mulai besar, ibu yang gigih sering meluangkan waktu senggangnya untuk pergi memancing di sungai sebelah rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberi sedikit makanan untuk membesarkan kami. Pulang dari memancing, ibu memasak ikan segar yang mengundang selera. Sewaktu saya memakan ikan itu, ibu duduk di samping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih melekat di tulang sisa ikan yang baru saya makan.

Saya sedih melihat ibu seperti itu. Hati saya tersentuh lalu memberikan ikan yg belum saya makan kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : “Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan.”

PEMBOHONGAN KETIGA

Di awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu biasa membuat kuih untuk dijual sebagai tambahan wang saku saya dan abang. Suatu ketika, pada dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih ditemani lilin di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terangguk kerana mengantuk. Saya berkata : “Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kan nak pergi ke kebun lagi.” Ibu tersenyum dan berkata : “Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk.”

PEMBOHONGAN KEEMPAT

Di akhir masa ujian sekolah saya, ibu tidak pergi berjualan kuih seperti biasa supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk memberi semangat. Ketika hari sudah siang, terik matahari mulai menyengat, ibu terus sabar menunggu saya di luar. Ibu nampak sering tersenyum dan mulutnya komat-kamit berdoa kepada Ilahi agar saya lulus ujian dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disediakan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera menghulurkan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tetapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : “Minumlah nak, ibu tak haus!!”

PEMBOHONGAN KELIMA

Ketika ayah meninggal dunia, usia saya baru beberapa bulan. Sejak itu ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah dan sebagai ibu sekaligus kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja memetik cengkeh di kebun, membuat sapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tetapi apalah daya seorang ibu. Kehidupan keluarga kami dari hari ke hari semakin susah dan memprihatinkan.
Melihat keadaan keluarga yang semakin susah, seorang tetangga yang baik hati dan tinggal bersebelahan rumah kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu....

Para tetangga sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang menjaga dan mencarikan nafkah untuk kami sekeluarga, tetapi ibu yang keras hati tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : “Saya tidak perlu cinta dan saya tidak perlu lelaki.”

PEMBOHONGAN KEENAM

Setelah kakak-kakak saya tamat sekolah dan mulai bekerja, ketika itu ibu pun sudah semakin tua. Kakak-kakak saya menyuruh ibu supaya berehat saja di rumah. Tidak usah lagi bersusah payah untuk mencari wang.
Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya. Kakak dan abang yang bekerja jauh di bandar sering mengirim wang untuk ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malah ibu mengirim balik wang itu, dan ibu berkata : “Jangan susah-susah, ibu ada wang.”

PEMBOHONGAN KETUJUH

Setelah lulus kuliah, saya melanjutkan pengajian lagi di luar negara. Keperluan saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menghabiskan pengajian saya dengan cemerlang. Kemudian saya bekerja dengan syarikat yang telah membiayai persekolahan saya iu. Gaji saya agak lumayan, dan saya memang sudah lama berniat membawa ibu untuk menikmati sisa-sisa hidupnya bersama saya di luar negara. Menurut hemat saya, ibu sudah lama bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya dipenuhi penderitaan, lalu apalah salahnya kalau hari-hari tuanya ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan. Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya dengan berkata: “Tak usahlah nak, ibu tak biasa tinggal di negara orang.”

PEMBOHONGAN KELAPAN

Berlalulah beberapa tahun dan ibu semakin tua. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser di leher, yang akarnya telah merebak ke mana-mana. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh di seberang samudera segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta. Saya melihat ibu terbaring lemah di hospital, setelah menjalani pembedahan.

Ibu kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya. Saya dapat melihat dengan jelas betapa kejamnya penyakit itu drastik telah mengubah tubuh ibu, sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : “Jangan menangis nak, ibu tak sakit.” Titisan air mataku keluar sambil mendengar ceritanya ini.

Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk terakhir kali. Dibalik kebohongannya, tersimpan cintanya yang begitu besar bagi anak-anaknya.

Anda mungkin masih beruntung kerana masih mempunyai ibu... Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, sekarang anda boleh menelefonnya, dan berkata, ‘Ibu, saya sayang ibu.’
Tetapi hal itulah yang belum pernah saya lakukan, hingga kini saya diburu rasa bersalah yang luar biasa kerana biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tetapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, hinggalah ke saat ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Ibu, maafkan saya. Saya sayang ibu.....”




Friday, August 6, 2010

Cinta waktu sekolah...Kesilapan terbesar pelajar hari ini..

Hidup baru setahun jagung, dah fikir pasal cinta..mungkin itu ungkapan terbaik yang sepatutnya diungkapkan di depan pelajar-pelajar sekolah yang sedang hanyut bercinta di waktu ini. sebagai seorang guru, saya melihat masalah ini semakin membarah dalam kalangan pelajar hari ini. Kalau yang bercinta itu sudah tingkatan lima, masih boleh diterima akal walaupun perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana SPM sudah semakin hampir. ini tidak, baru masuk tingkatan satu dah pandai bercinta, berdating dan macam-macam lagi perkara yang pelik-pelik.


Kenapa ini berlaku ?

Tentunya banyak faktor yang melingkarinya. Namun, faktor rakan, keluarga dan media sangat berperanan dalam menggalakkan budaya cinta di sekolah semakin subur.

Untuk Apa mereka bercinta?

Tiada lain, kebanyakkannya kerana ingin merasa bagaimana mencintai atau dicintai. Mereka ini sebenarnya sekadar suka-suka. Masa bercinta, kononnya ingin sehidup semati. Berjanji akan bermati-matian mempertahankan cinta dan tiada siapa dapat menghalang cinta sejati mereka itu. Tetapi malangnya tidak sampai sebulan sudah putus. Sebenarnya mereka itu hanya layak digelar cinta monyet, cinta yang diibaratkan hangat-hangat tahi ayam. Ataupun lebih 'sedap' lagi bunyinya mereka itu cintanya aelayaknya digelar hangat-hangat tahi kucing, baunya kuat tetapi tidak berfaedah kepada sesiapapun. Hanya mendatangkan derita kepada si pembaunya.

Cukuplah!

Cukuplah adik-adikku. Jangan kamu membuang masa dengan cinta yang hanya akan merosakkanmu dan masa depanmu. Cinta akan melalaikanmu, menjadikan kamu hanyut dengan dunia ciptaanmu sendiri. Telah ramai yang rosak disebabkan cinta dan telah rami juga yang hancur masa depannya kerana cinta di waktu sekolah..

Beringatlah sebelum terlambat.

Satu sahaja pesan saya buat kamu yang bergelar pelajar ini, sekarang bukan masanya untuk kamu bersusah payah memikirkan tentang cinta. Sekarang adalah masa untuk kamu memenuhi impian kamu dan kedua orang tuamu. Apakah Ia? Tiada lain melainkan kejayaan dalam pelajaranmu. Jadi sebelum nasi menjadi bubur, eloklah dipastikan kamu berada dilandasan yang sebenarnya iaitu ke sekolah untuk belajar dan mengejar cita-citamu..Bukan mencari cinta, kekasih hati atau 'spare tyre'. Menyesallah dahulu sebelum terlambat...Masih ada masa untuk berubah.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Selamat Berjaya Dalam Peperiksaan Buat Pelajar Yang Mengambil :

1. subjek Kemahiran hidup

a. 3 Aktif dan 3 Bestari ( PK )
b. 3 Kreatif ( KT )


2. Subjek Prinsip Perakaunan

a. 5PA
b. 5 SN 2

Ikhlas daripada Gurumu;
Yang sentiasa risaukan masa depanmu..

Razali Saaran
Johor Bahru
6 ogos 2010



Monday, August 2, 2010

Nilai Keagamaan Dalam Organisasi

Tulisan ini saya petik daripada sebuah blog yang telah mengambil intipati daripada tulisan saya. Jika tidak silap saya kesemua isinya adalah daripada buku saya berjudul " watak-watak dalam organisasi". cuma ada beberapa perkataan yang telah diubahsuai. Tetapi tidaklah terlalu banyak. Apapun terima kasih kepada tuan punya Blog ( saudara amel) yang telah memasukkan kandungan buku saya ke dalam blognya untuk perkongsian semua. baiklah itu sahaja.selamat membaca!


Menulis adalah perjuanganku berdakwah melalui tulisan...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Suburkan Nilai Keagamaan

Setiap agama mengingatkan penganutnya supaya berperwatakan baik. Di dalam Islam sendiri sentiasa menyuruh penganutnya melakukan perkara yang baik-baik dan menghindari perkara yang dilarang.

Allah berfirman di dalam surah Al-Maidah, ayat 2:

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

Apabila agama menjadi pegangan hidup, manusia akan dipandu dalam sistem yang berdasarkan kepada norma-norma yang telah ditetapkan oleh agama masing-masing. Dalam Islam, manusia diingatkan agar hidup berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi panduan bagi melahirkan manusia yang berakhlak mulia. Lari daripadanya bermakna telah melakukan satu kesalahan kerana telah mengambil perkara lain sebagai asas panduan hidup. Apabila agama telah sebati dalam diri manusia, maka tidak menjadi masalah yang rumit untuk membangunkan manusia yang baik dalam sesuatu organisasi. Selain itu, tidak menjadi satu kepayahan kepada organisasi untuk mewujudkan kerjasama yang erat di kalangan ahlinya.

Manusia yang dipandu oleh agama akan menjadikan dia seorang yang bertanggungjawab bukan saja terhadap organisasinya malah lebih besar dan penting daripada itu, iaitu agama yang dianutinya. Kerana itulah mengapa penulis1 mengatakan betapa pentingnya agama dalam menyuburkan budaya & watak positif dalam organisasi. Di dalam Islam, mengasingkan agama dalam urusan yang lain seperti dalam menguruskan organisasi merupakan perkara yang salah. Ia dikenali sebagai budaya sekular di mana meletakkan agama dan urusan hidup sebagai perkara yang berasingan dan tidak boleh dicampur-adukkan sekali. Jika itulah pegangan dan amalan dalam organisasi, maka tidak hairanlah perwatakan organisasi lebih banyak negatifnya berbanding positif. Ditakuti orang akan lebih malu untuk berbuat kebaikan berbanding kemaksiatan kerana nilai agama ditinggalkan dan hanya memikirkan keseronokan semata-mata.


Beri Ganjaran, Laksanakan Hukuman

Dalam konsep beragama, manusia didedahkan dengan aspek ganjaran dan hukuman. Kenapa begitu? Supaya manusia berlumba-lumba melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Dalam Islam, penganutnya sentiasa diingatkan dengan konsep balasan syurga dan neraka, yang mana perbuatan baik dibalas syurga (ganjaran), perbuatan jahat dibalas neraka (hukuman). Perhatikan seorang anak kecil yang begitu bersemangat berpuasa walaupun tidak mengerti apakah falsafah di sebalik kewajiban berpuasa terhadap manusia… kerana ganjaran berbentuk material (gula-gula, wang, baju raya, telefon bimbit, dan sebagainya) yang dijanjikan oleh orang tuanya. Semua ini berlaku kerana fitrah manusia sememangnya sukakan kepada ganjaran dan benci kepada hukuman.

Begitu juga dalam organisasi, kita merasakan perlunya ganjaran dan hukuman bagi meningkatkan kewujudan watak-watak baik dalam organisasi dan menghalang watak-watak buruk daripada terus merebak. Dengan adanya ganjaran, ahli organisasi akan berlumba-lumba untuk melakukan perkara baik, manakala hukuman pula akan mengawal daripada melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan norma-norma organisasi. Namun, perlu berbalik kepada konsep keADILan. Apalah ertinya ganjaran dan hukuman sekiranya pelaksanaannya tidak dilaksanakan dengan adil dan mengikut prosedur yang betul. Akhirnya watak-watak tidak dapat dikawal lagi kerana peraturan yang mengawalnya tidak berfungsi dengan cara yang sepatutnya. Yang salah tidak dikenakan hukuman, manakala yang menaikkan nama organisasi tidak dihargai langsung dengan ganjaran yang sepatutnya.

Cukup bimbang gejala tidak sihat seperti tidak berlaku adil dalam memberi penilaian kepada ahli organisasi ini, tidak diuruskan dengan cara yang berkesan. Apa yang akan terjadi sekiranya orang yang pandai membodek, pandai mereka cerita dengan niat memburuk-burukkan rakan & organisasi yang lain diberikan penghargaan dan ganjaran, sedangkan mereka yang ikhlas bekerja serta tidak pandai mengadu domba tidak derikan apa-apa yang selayaknya? Kesannya lahirlah golongan yang kecewa sehingga membawa diri ke tempat yang lain. Sekiranya inilah yang menjadi amalan dalam organisasi, pasti watak-watak negatif akan tersenyum gembira.

Pernahkah anda membaca hadis hebat yang menceritakan tentang keadaan zaman yang rosak apabila orang jahat dipandang baik serta mulia oleh masyarakat & yang baik dipandang hina? Malah apa yang lebih mengerikan apabila yang diberi amanah itu adalah terdiri daripada mereka yang rosak akhlaknya? Mari kita perhatikan bersama peringatan yang berguna oleh Rasulullah S.A.W. ini sebagai panduan hidup selama mana kita bergelar ahli organisasi. Semoga apa yang disebut oleh Rasulullah S.A.W. ini tidak melanda organisasi kita dan kita berkeyakinan sekiranya organisasi tidak mengabaikan nilai keagamaan, dengan izin Tuhan, organisasi akan terpelihara daripada fitnah besar yang digambarkan di dalam hadis di bawah. Kita perlu meyakininya!

“Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda: Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh muslihat, di mana akan dibenarkan padanya orang yang berdusta, dan akan didustakan orang yang benar. Akan dipercaya orang yang berkhianat, dan akan dituduh berkhianat orang yang terpercaya. Serta akan bertutur padanya ‘Ruwaibidhah’. Maka ada yang menanyakan: Apa itu Ruwaibidhah? Dijawab Baginda S.A.W.: Iaitu, orang yang bodoh dan hina ditugaskan menangani kepentingan umum.”

Riwayat Ibn Majah

_________________

1
Penulis ialah Razali Saaran, seorang guru SMK Taman Daya 2, Johor Bahru. Antara karya terawal beliau ialah “Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik” dan “Watak-Watak Dalam Organisasi”.

Dipetik daripada :

http://amel036yippee.wordpress.com/2010/06/23/nilai-keagamaan-dalam-organisasi/


Sunday, August 1, 2010

Kuih Raya...

Rasanya baru minggu lepas saya cakap pada Isteri supaya tahun ini tak perlulah order kuih raya banyak sangat. "Apa kata tahun ini Aza buat sendiri. Abang cabar aza." Kata-kata saya itu disambut positif oleh Isteri.

Alhamdulillah, hari ini Isteri telah mencuba resepi biskut raya pertamanya yang diambil daripada majalah saji yang saya beli petang jumaat lepas. Pagi tadi saya belikan bahan-bahannya di Maslee. Semasa saya sedang menaip tulisan ini,'sayangku' sedang bertungkus lumus menyiapkan biskut pertamanya itu iaitu biskut badam. Percubaan pada hari ini adalah latihan sebelum membuatnya di bulan ramadhan nanti. Pengalaman pertama nampaknya ada yang terbakar sikit ( hangus ). Alhamdulillah, selepas itu nampaknya sudahpun menjadi. Saya dah pun merasa sebentar tadi dan nampaknya memenuhi selera saya yang taklah cerewet mana. Apapun tahniah Isteriku sayang kerana berjaya menyahut cabaran Abang. Diharapkan selepas ini sayang akan berjuang lagi untuk menyiapkan biskut raya yang sebenar semasa di bulan Ramadhan yang tidak berapa lama lagi menjelma. Sekurang-kurangnya budjet kuih raya itu dapat dikurangkan kerana buat sendiri lebih banyak jimatnya berbanding beli dan dapatlah kiranya nanti disalurkan pada perkara lain yang lebih penting insyaAllah...

wallahua'lam...


Biskut yang siap untuk dibakar..kelihatan biskut yang hangus..itulah pengalaman pertama yang berharga..tahniah isteriku sayang...


Razali Saaran
Johor Bahru
1/8/10

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...