Sedikit nasihat buat insan-insan yang sedang dan bakal menghadapi peperiksaan...
JAUHI SIFAT CEMAS
Apakah yang dimaksudkan dengan cemas. Menurut Kamus Dewan, cemas
membawa maksud hati berasa takut dan risau (gelisah, bimbang). Dalam
erti kata yang lain, cemas adalah sesuatu yang wujud dalam jiwa
seseorang individu disebabkan oleh sesuatu perkara yang tertentu. Rasa
cemas akan menyebabkan seseorang itu
menjadi takut dan risau akan sesuatu yang bakal terjadi ke atas dirinya.
Misalnya seorang pelajar yang sedang beratur bagi mengambil slip
peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia, dia berada dalam keadaan yang
gelisah dan tidak tenteram. Rasa takut sudah pasti menyelubungi kalbunya
ketika itu. Bermacam-macam andaian yang bermain-main difikirannya
sehinggalah sijil itu benar-benar berada di genggamannya.
Dr.
Muhammad Al-Ghazali dalam bukunya yang bertajuk, Berubah Kepada
Kehidupan Baru menceritakan berkenaan seorang lelaki yang kesedihan
kerana bencana yang menimpa keluarganya, menyebabkan dia kehilangan
giginya. Menurut beliau lagi, berdasarkan penemuan terkini menunjukkan
gangguan emosi yang tidak menyenangkan seperti rasa cemas dan sebagainya
sangat kuat sekali pengaruhnya pada keseimbangan cairan tubuh badan. Ia
akan mengubah kalsium di dalam tubuh menjadi racun, sehingga tubuh
tidak dapat menyerap zat-zat berguna dari makanan yang diambil sekalipun
makanan itu penuh dengan zat yang akhirnya merosakkan gigi. Beliau juga
turut menyebut berkenaan seorang doktor di sebuah rumah sakit Mayo, Dr
Harold C. Habein yang pernah membentangkan sebuah kertas kerja pada
perhimpunan tahunan American Association Of Industrial Physicians and
Surgeons yang mengatakan, “Berdasarkan kajiannya terhadap 176 usahawan
muda yang berumur sekitar 44 tahun, lebih satu pertiga daripada mereka
menderita mengidap penyakit-penyakit seperti jantung, barah dan tekanan
darah tinggi yang berpunca daripada hidup yang penuh ketegangan.”
Malah menurut beliau lagi, Dale Carnegie juga pernah berkata, “Hasil
penelitiannya selama ini menunjukkan rasa cemas itu pembunuh nombor satu
di Amerika. Sejak perang dunia ke II sepertiga juta tentera Amerika
terbunuh di medan peperangan, dan dalam masa yang sama, dua juta manusia
terbunuh disebabkan oleh penyakit jantung, dan setengah daripada dua
juta yang meninggal akibat sakit jantung itu berpunca daripada rasa
cemas dan kehidupan yang penuh ketegangan.”
Saya pernah bertemu
dengan golongan yang menghidapi penyakit cemas ini. Saya menyebutnya
sebagai penyakit kerana ia adalah sesuatu yang menyerang jiwa seseorang
sehingga menyebabkan seseorang itu tiada kemampuan mengawal emosinya.
Saya juga pernah melihat bagaimana mereka yang beberapa minit lagi bakal
menduduki peperiksaan begitu pucat mukanya kerana terlalu cemas dan
takut. Berdiri salah, duduk pun salah. Hatinya begitu tidak keruan dan
berdebar-debar. Mungkin ketika itu dia merasakan terlalu banyak yang
masih belum dibaca dan diingat.
Sifat Cemas Pembunuh Konsentrasi (Tumpuan)
Saya begitu bimbang sekiranya anda tidak melihat cemas ini sebagai
masalah yang berat dan mampu menggagalkan anda dalam peperiksaan.
Bayangkan seorang pelajar yang tekun belajar, tiba-tiba menjelangnya
peperiksaan fikirannya menjadi terganggu dek kerana rasa cemas yang
menyelubungi hatinya. Ketika itu jantungnya berdegup kencang dan hatinya
menjadi tidak tenang. Saya ingin bertanya, adakah orang yang dalam
keadaan tidak tenteram dapat menjawab soalan dengan baik? Tentulah
jawapannya tidak, bukan? Saya juga pernah melihat bagaimana orang yang
cemas itu tidak mampu menjawab soalan dengan baik. Segala apa yang
tersemat di mindanya sebelum ini hilang dengan begitu pantas sekali
kerana rasa cemas menguasai dirinya.
Ayuh, Mari Bertenang
Adik-adikku, saya ingin menasihati anda betapa bahayanya sifat cemas
ini. Sekiranya anda tidak mengatasinya ketika berhadapan dengannya sudah
pasti ia akan mengganggu tumpuan anda semasa berhadapan dengan
peperiksaan penting kelak. Sesungguhnya anda perlu menyedarinya dan
bersedia bagi menghadapinya. Suatu ketika dahulu, saya juga pernah
berhadapan dengan rasa cemas ini apabila hendak menduduki peperiksaan di
universiti. Perasaan itu menyebabkan saya merasakan terlalu banyak yang
masih belum dibaca dan dikuasai. Sedangkan hakikat sebenarnya itu hanya
perasaan yang hadir disebabkan oleh rasa cemas yang menyerang diri
saya. Tetapi, dengan izin Tuhan saya tersedar dan kembali menguasai diri
dan bertenang kembali. Sememangnya saya percaya tentunya situasi yang
saya pernah alami itu turut dirasai oleh orang lain. Cuma bezanya
adalah, adakah mereka juga dapat mengatasinya ataupun terus hanyut
dengan perasaan cemas itu.
Penyelesaian Mudah !
Fokus pada diri
sendiri, yakin dengan persediaan yang sudah dibuat sebelum ini serta
beristighfar mohon keampunan daripada Allah semoga diberi ketenangan.
Ini adalah antara teknik-teknik yang boleh anda lakukan apabila
berhadapan dengan perasaan cemas. Apa yang paling penting, hendaklah
anda yakin dengan diri sendiri, bersedia dengan secukupnya dan
berbicaralah dengan hati anda dengan mengatakan, “Tiada apa yang hendak
ditakutkan kerana Allah bersamaku.”
Dipetik dan diubahsuai sedikit daripada buku : Nota hati Buat Pelajar ( tulisan razali Saaran )