Tuesday, October 9, 2012

JAUHI SIFAT CEMAS


Sedikit nasihat buat insan-insan yang sedang dan bakal menghadapi peperiksaan...

JAUHI SIFAT CEMAS


Apakah yang dimaksudkan dengan cemas. Menurut Kamus Dewan, cemas membawa maksud hati berasa takut dan risau (gelisah, bimbang). Dalam erti kata yang lain, cemas adalah sesuatu yang wujud dalam jiwa seseorang individu disebabkan oleh sesuatu perkara yang tertentu. Rasa cemas akan menyebabkan seseorang itu

menjadi takut dan risau akan sesuatu yang bakal terjadi ke atas dirinya. Misalnya seorang pelajar yang sedang beratur bagi mengambil slip peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia, dia berada dalam keadaan yang gelisah dan tidak tenteram. Rasa takut sudah pasti menyelubungi kalbunya ketika itu. Bermacam-macam andaian yang bermain-main difikirannya sehinggalah sijil itu benar-benar berada di genggamannya.

Dr. Muhammad Al-Ghazali dalam bukunya yang bertajuk, Berubah Kepada Kehidupan Baru menceritakan berkenaan seorang lelaki yang kesedihan kerana bencana yang menimpa keluarganya, menyebabkan dia kehilangan giginya. Menurut beliau lagi, berdasarkan penemuan terkini menunjukkan gangguan emosi yang tidak menyenangkan seperti rasa cemas dan sebagainya sangat kuat sekali pengaruhnya pada keseimbangan cairan tubuh badan. Ia akan mengubah kalsium di dalam tubuh menjadi racun, sehingga tubuh tidak dapat menyerap zat-zat berguna dari makanan yang diambil sekalipun makanan itu penuh dengan zat yang akhirnya merosakkan gigi. Beliau juga turut menyebut berkenaan seorang doktor di sebuah rumah sakit Mayo, Dr Harold C. Habein yang pernah membentangkan sebuah kertas kerja pada perhimpunan tahunan American Association Of Industrial Physicians and Surgeons yang mengatakan, “Berdasarkan kajiannya terhadap 176 usahawan muda yang berumur sekitar 44 tahun, lebih satu pertiga daripada mereka menderita mengidap penyakit-penyakit seperti jantung, barah dan tekanan darah tinggi yang berpunca daripada hidup yang penuh ketegangan.”

Malah menurut beliau lagi, Dale Carnegie juga pernah berkata, “Hasil penelitiannya selama ini menunjukkan rasa cemas itu pembunuh nombor satu di Amerika. Sejak perang dunia ke II sepertiga juta tentera Amerika terbunuh di medan peperangan, dan dalam masa yang sama, dua juta manusia terbunuh disebabkan oleh penyakit jantung, dan setengah daripada dua juta yang meninggal akibat sakit jantung itu berpunca daripada rasa cemas dan kehidupan yang penuh ketegangan.”
Saya pernah bertemu dengan golongan yang menghidapi penyakit cemas ini. Saya menyebutnya sebagai penyakit kerana ia adalah sesuatu yang menyerang jiwa seseorang sehingga menyebabkan seseorang itu tiada kemampuan mengawal emosinya. Saya juga pernah melihat bagaimana mereka yang beberapa minit lagi bakal menduduki peperiksaan begitu pucat mukanya kerana terlalu cemas dan takut. Berdiri salah, duduk pun salah. Hatinya begitu tidak keruan dan berdebar-debar. Mungkin ketika itu dia merasakan terlalu banyak yang masih belum dibaca dan diingat.

Sifat Cemas Pembunuh Konsentrasi (Tumpuan)

Saya begitu bimbang sekiranya anda tidak melihat cemas ini sebagai masalah yang berat dan mampu menggagalkan anda dalam peperiksaan. Bayangkan seorang pelajar yang tekun belajar, tiba-tiba menjelangnya peperiksaan fikirannya menjadi terganggu dek kerana rasa cemas yang menyelubungi hatinya. Ketika itu jantungnya berdegup kencang dan hatinya menjadi tidak tenang. Saya ingin bertanya, adakah orang yang dalam keadaan tidak tenteram dapat menjawab soalan dengan baik? Tentulah jawapannya tidak, bukan? Saya juga pernah melihat bagaimana orang yang cemas itu tidak mampu menjawab soalan dengan baik. Segala apa yang tersemat di mindanya sebelum ini hilang dengan begitu pantas sekali kerana rasa cemas menguasai dirinya.

Ayuh, Mari Bertenang

Adik-adikku, saya ingin menasihati anda betapa bahayanya sifat cemas ini. Sekiranya anda tidak mengatasinya ketika berhadapan dengannya sudah pasti ia akan mengganggu tumpuan anda semasa berhadapan dengan peperiksaan penting kelak. Sesungguhnya anda perlu menyedarinya dan bersedia bagi menghadapinya. Suatu ketika dahulu, saya juga pernah berhadapan dengan rasa cemas ini apabila hendak menduduki peperiksaan di universiti. Perasaan itu menyebabkan saya merasakan terlalu banyak yang masih belum dibaca dan dikuasai. Sedangkan hakikat sebenarnya itu hanya perasaan yang hadir disebabkan oleh rasa cemas yang menyerang diri saya. Tetapi, dengan izin Tuhan saya tersedar dan kembali menguasai diri dan bertenang kembali. Sememangnya saya percaya tentunya situasi yang saya pernah alami itu turut dirasai oleh orang lain. Cuma bezanya adalah, adakah mereka juga dapat mengatasinya ataupun terus hanyut dengan perasaan cemas itu.

Penyelesaian Mudah !

Fokus pada diri sendiri, yakin dengan persediaan yang sudah dibuat sebelum ini serta beristighfar mohon keampunan daripada Allah semoga diberi ketenangan. Ini adalah antara teknik-teknik yang boleh anda lakukan apabila berhadapan dengan perasaan cemas. Apa yang paling penting, hendaklah anda yakin dengan diri sendiri, bersedia dengan secukupnya dan berbicaralah dengan hati anda dengan mengatakan, “Tiada apa yang hendak ditakutkan kerana Allah bersamaku.”

Dipetik dan diubahsuai sedikit daripada buku : Nota hati Buat Pelajar ( tulisan razali Saaran )

Tuesday, September 11, 2012

" Pelarasan" adalah antara masalah paling besar bagi pelajar-pelajar yang mengambil jurusan perakaunan di sekolah...

Setelah hampir 8 tahun mengajar subjek akaun di sekolah, saya perhatikan kebanyakkan pelajar menghadapi masalah dalam menguasai subjek akaun kerana mereka tidak menguasai cara membuat pelarasan dalam akaun. Sedangkan dalam banyak perkara, pelarasan begitu kerap digunakan. contoh paling mudah, apabila belanja terdahulu akhir tahun ditolak untuk mendapat jumlah belanja sebenar bagi tahun semasa, pelajar menjadi pening apabila belanja terdahulu tersebut akan menjadi belanja sebenar pada tahun berikutnya. Sedangkan sekiranya mereka memahami konsep pelarasan dengan baik, mereka akan faham bahawa belanja terdahulu awal tahun adalah belanja sebenar dan berlanja terdahulu akhir tahun adalah belanja untuk tahun berikutnya...

Apabila pelajar tidak menguasai cara merekod pelarasan dengan betul, mereka akan mengalami masalah dalam peperiksaan kerana soalan-soalan seperti penyata kewangan ( SPM dan STPM ), rekod tak lengkap( SPM dan STPM ), akaun perkongsian( SPM dan STPM ), akaun kelab dan persatuan , akaun kilang dan koperasi ( STPM ) memang melibatkan pelarasan. Pelarasan juga penting bagi pelajar-pelajar yang perlu membuat kerja kursus Prinsip Perakaunan tingkatan 4 dan 5...

Nasihat saya, kuasailah perkara ini jika anda benar-benar serius untuk mempelajari subjek yang memerlukan anda berfikir diluar kebiasaan...Selamat mencuba..selamat belajar...selamat berjaya...

Tuesday, September 4, 2012

Tanpa Guru Siapalah Saya Hari Ini !

Sebak, marah, dan geram antara emosi yang bermain-main di hati saya apabila membaca tulisan seorang blogger yang masih muda yang telah menulis tentang guru. Tulisannya memang hebat, sehingga mengundang kemarahan banyak pihak, terutamanya guru-guru. 

Satu soalan saya kepada si Dia ( jika dia membacanyalah ), kejayaannya sehingga bergelar seorang jurutera adakah dengan usahanya sendiri tanpa tunjuk ajar daripada guru-guru? Adakah lahir-lahir sahaja anda telah pandai mengenal huruf? sudah pandai membaca? sudah pandai mengira? kemudian menghadapi peperiksaan SPM dan mendapat keputusan yang terbaik. Lalu selepas itu anda diterima masuk ke universiti? 

Sebagai seorang guru, saya berasa begitu kecil hati dengan tulisan anda yang begitu hebat itu. Tahniah kerana anda begitu berani menghina insan-insan yang tidak pernah mengenal erti penat dan jemu mendidik pelajar-pelajarnya. sepatutnya anda menulis satu tulisan khas untuk menghargai guru-guru yang telah mendidik anda sehingga berjaya. Saya boleh cadangkan tajuknya iaitu "Terima Kasih Cikgu Kerana Mendidik Saya Sehingga Berjaya"...Ini tidak, anda menulis ayat-ayat jiwang yang begitu menghiris kalbu buat insan yang bergelar guru.

Buat guru-guru yang telah mendidik saya sehingga menjadi 'manusia', ucapan keramat buatmu, ' Terima KAsih Cikgu"...Tanpa guru siapalah saya hari ini...

Buku pertama saya tentang guru....saya sayang kerjaya ini...

Razali Saaran@ Seremban 2...

Saturday, September 1, 2012

Pandangan Seorang Pembaca Buku "Nota HAti Buat Pelajar"

Terima KAsih kerana sudi membeli, membaca dan memberi komen yang memberi semnagat kepada saya untuk terus menulis...

 

BUKU YANG MESTI DIMILIKI OLEH PELAJAR



Buku ini adalah catatan pengalaman seorang guru iaitu diri penulis sendiri (RAZALI SAARAN) melalui zaman pelajar sekolah, mahasiswa universiti yang mana pengalaman pahit dan manis dalam menimba ilmu. Beliau juga menitipkan petua dan motivasi untuk pelajar dewasa ini. Buku ini dibahagikan kepada 4 BAHAGIAN utama.

BAB 1- BICARA HATI
BAB 2- PETUA-PETUA MUDAH UNTUK PELAJAR
BAB 3- KESILAPAN-KESILAPAN PELAJAR
BAB 4 - CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG

Pertama kali menatap buku ini hati saya sudah tertarik dan apabila meneliti buku ini, hati ini berkata "BUKU MACAM INILAH YANG SAYA NAK TULIS" malangnya manuskrip judul buku saya LANGKAH KANAN PELAJAR CEMERLANG belum siap! Walaubagaimanapun isi hatiku telah diterjemahkan oleh Cikgu Razali dengan begitu baik! SYABAS CIKGU RAZALI. Untuk lebih mengenali beliau boleh akses www.teratakmuslim.blogspot.com

TAHNIAH juga kepada Nurul Azima Bt. Mohd Affandi kerana menerima HADIAH(buku ini) di atas PENCAPAIAN dalam PKA. Teruskan Usaha! PK mesti A!

Sumber :  http://civilibrahim.blogspot.com/2012/08/buku-yang-mesti-dimiliki-oleh-pelajar.html

Monday, August 13, 2012

Tekanan Adalah Penggerak Ke Arah Kecemerlangan

Alhamdulillah, hari ini berpeluang jua saya menulis sedikit pandangan buat insan-insan di luar sana. Tulisan ini hanya sekadar pandangan dari insan yang amat fakir. Mudah-mudahan ianya dapat memberi sedikit manfaat buat anda.

Secara peribadi saya bersetuju dengan kebanyakkan pandangan yang mengatakan tekanan itu begitu membebankan jiwa. Kadangkala tekanan menyebabkan seseorang itu begitu sukar berfikir dengan betul. Malah tindakannya juga menjadi tidak betul. 

Menasihati orang lain supaya mengawal tekanan memanglah mudah. Tetapi untuk mengawal tekanan yang melanda perasan tidaklah semudah menasihati orang lain. Ia samalah seperti menerangkan kepada orang lain bagaimana memasak nasi dengan betul. Tetapi apabila yang manerangkan itu memasaknya secara praktikal, barulah dia mengerti bahawa menerangkan itu tidak sama dengan merasainya sendiri. 

Sebenarnya kita boleh mengambil tekanan itu sebagai alat yang bisa menggerakkan kita ke arah kecemerlangan. Saya selalu menyebut bahawa orang bijaksana mampu mengubah sesuatu yang negatif menjadi positif. Inilah yang sukar untuk dilakukan. bagaimana mungkin kita mampu mengubah sesuatu yang negatif itu kepada positif. Bagaimana hendak mengubah tekanan kepada kecemerlangan. Bekerja dalam keadaan tertekan, mungkinkah hasilnya cemerlang?

Itulah yang membezakan anda 

Jika anda mengatakan tekanan akan meracun jiwa anda. Tekanan akan menyebabkan anda bertindak tanpa kematangan. Tekanan akan menyebabkan manusia hampir-hampir menjadi gila. Malah sudah ramai yang menjadi gila. Bukan itu sahaja, tahap yang paling kritikal sehingga membunuh diri atau membunuh orang lain.Jika semua alasan tersebut atau ada lagi alasan yang lain yang tidak disebutkan di sini yang anda sandarkan pada hujjah anda, ya saya bersetuju. Namun tidak mungkinkah tekanan itu mampu menjadikan anda insan yang cemerlang. Sebenarnya tekanan akan mendidik anda tabah dalam kehidupan. Sebenarnya tekanan akan mendidik anda bertindak pantas untuk menyelesaikan masalah. Sebenarnya tekanan sedang memberi anda pengalaman supaya anda bisa menggunakan pengalaman tersebut ketika mana anda sedang merebut sebuah kejayaan. Sebenarnya tekanan sedang bertindak membentuk antibodi dalam diri and supaya anda kuat untuk berhadapan dengan tekanan yang lain kelak. 

Apabila anda berjaya menghadapi tekanan yang hebat, anda sebenarnya sedang bergerak ke arah kecemerlangan dalam hidup. Percayalah.....Hadapilah dengan tenang tekanan yang mendatang....Berfikir positif dan lihat tekanan itu sebagai sumber motivasi dalam diri anda...InsyaAllah anda akan cemerlang...Mengertilah..

Saturday, July 7, 2012

Tujuh Nama Lain Mekah Dalam Al Quran


http://www.myannur.com,


Mekah al-Mukarammah merupakan kota tertua dunia dan tempat permulaan Islam. Allah SWT menyebut dalam Al Quran tentang Mekah. Terdapat tujuh nama lain Mekah dalam Al Quran.
















1. Makkah, sebagaimana firman Allah SWT, “Dan Dia­lah yang mencegah tangan mereka dari (membinasakan) kamu dan mencegah tangan kamu dari (membinasakan) mereka di tengah kota Makkah. Setelah Allah memenangkan kamu atas mereka.” (Al-Fath [48]: 24).

2. Bakkah, Allah SWT berfirman, “Sesung­guhnya rumah ibadah pertama yang dibangunkan untuk manusia ialah Baitullah di Bakkah, yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi seluruh alam.” (Ali Imran [3]: 96).

3. Umm Al-Qura, firman Allah SWT, “Dan ini (Al Quran) adalah kitab yang telah Kami turunkan yang diberkahi; membenarkan kitab-kitab yang (diturunkan) sebelumnya dan agar kamu memberi peringatan kepada (penduduk) Ummul Qura (Mekah) dan orang-orang yang di luar lingkungannya. Orang-orang yang beriman kepada adanya kehidupan akhirat tentu beriman kepadanya (Al Quran) dan mereka selalu memelihara sembahyangnya.” (Al-An‘am [6]: 92).

4. Al-Balad, seperti firman Allah SWT, “Aku bersumpah dengan negeri ini (al-balad. Makkah) dan engkau (Muhammad) bertempat di negeri ini (al-balad. Makkah).” (Al-Balad [90]: 1-2).

5. Al-Baldah, sebagaimana tersurat dalam firman Allah SWT, “Aku (Mu­hammad) hanya diperintahkan menyembah Tuhan negeri ini (al-baldah, Makkah) yang telah Dia sucikan.” (Al-Naml [27]: 91).

6. Al-Balad Al-Amin, Allah SWT berfirman, “Demi buah Tin dan buah Zaitun, demi gunung Sinai, dan demi negeri yang aman ini (al-Balad al-Amin, Makkah).” (Al-Tin [95]: 1-3).

7. Al-Balad Al Aminin, sebagaimana tersurat dalam firman Allah Swt, “Dan ingatlah ketika Ibrahim berdoa, “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri (Makkah) ini negeri yang aman (al-Balad al-Aminin).” (Al-Baqarah [2]: 126).

Sumber :www.republika.co.id/

Monday, May 21, 2012

Istidraj: Peringatan buat hati yang lalai

Peringatan buat hati yang lalai:


Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberi nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diIstidrajkan oleh Allah S.W.T.” (Riwayat At-Tibrani, Ahmad dan Baihaqi)

Boleh jadi kejayaan demi kejayaan yang manusia capai itu adalah satu tipu daya Allah kepadanya ( istidraj), sehinggakan manusia menjadi semakin lupa dan alpa...semakin banyak kezaliman yang dilakukan, semakin banyak pula kejayaan yang dicapai...sehinggalah semua itu menyebabkan mereka semakin lalai dan sombong..akhirnya mereka menjadi orang yang benar-benar rugi disisi Tuhannya...

"Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)"-al-an'am : 44

Smg kita menilai diri kita, dan memperingatkan sentiasa diri kita supaya nikmat yang kita dapat selama ini nikmat yang berkat...nikmat yang mendekatkan kita kepadaNya...

www.teratakmuslim.blogspot.com

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...