Oleh : Razali Saaran
Semalam saya ke sebuah kedai cermin mata untuk menggantikan
cermin mata lama yang sudah rosak. Hajat
di hati hanya ingin mengganti cerminnya sahaja kerana bingkai cermin mata yang
lama masih ada. Tetapi setelah beberapa ketika saya membuat keputusan untuk
membeli yang baru.
“ Saya sudah membeli cermin mata dibanyak kedai, tetapi saya
rasa kedai ini yang terbaik “… Kata-kata tersebut saya ungkapkan setelah
menerima layanan yang cukup baik daripada pekerjanya.
“ Kenapa u kata begitu ? “ Tanya pekerja wanita tersebut…
“ Saya sudah pergi banyak kedai, tetapi kedai ini bagus
kerana memberi penerangan yang jelas pada saya… Saya suka”.
Pekerja itu tidak berkata apa-apa, tetapi daripada gerak
badannya saya tahu dia suka dan bangga dengan pujian tersebut.
“ Encik tunggu lagi satu jam, nanti datang ambil yer”,
wanita itu menuturkan kata-katanya dengan
senyuman.
“ Baiklah, nanti lagi satu jam saya datang ambil.”
Sebelum beredar…
“ emm, biar saya cuci cermin mata encik yang lama itu dulu.”
“ Ohhh, terima kasih “, sambil saya membalas dengan senyuman
dan sedikit teruja.
Pujian Pada Perkara
Yang Disukai Adalah Daya Tarikan Yang Hebat
Apabila saya memuji wanita tersebut kerana perkhidmatan yang
terbaik yang telah diberikan olehnya, saya mendapat perkhidmatan tambahan tanpa
diminta. Ya, perkhidmatan yang belum pernah saya terima di kedai cermin mata
yang lain, melainkan jika saya yang memintanya. Tetapi di kedai tersebut saya
mendapatkannya tanpa perlu meminta kepadanya. Saya percaya, dia memberikan
servis tambahan tersebut kerana rasa ingin membalas dengan sesuatu yang dapat
menggambarkan ucapan terima kasihnya yang tidak terhingga terhadap kata-kata
yang menusuk kalbunya sebentar tadi. Saya benar-benar dapat merasakannya kerana
selepas saya bercakap perkara tersebut kepadanya, dia turut menyatakan kepada
saya yang dia ingin membantu saya menurunkan kadar rabun saya yang telah
meningkat dengan menukarkan saya cermin mata yang paling sesuai dan dia telah
membuktikan kepada saya melalui tindakan-tindakannya selepas itu.
Setiap Manusia Suka
Pada Penghargaan
Saya perhatikan manusia itu suka pada penghargaan. Dengan penghargaan
manusia akan bertindak dengan sukarela tanpa paksaan kerana mereka merasakan
apa yang mereka lakukan selama ini dihargai. Perkara ini dapat dilihat pada
diri kanak-kanak dan pekerja. Anak-anak saya, saat mereka dipuji, mereka
sanggup melakukan perkara yang diminta ke atasnya. Saya melihatnya dan takjub
dengannya.
Wahai ibu ayah, wahai pemimpin organisasi, wahai guru, wahai
peniaga, wahai usahawan, wahai ahli politik, wahai pendakwah, sekalian manusia,
pujian itu sangat bermakna sekali, terutamanya buat mereka yang tidak memerlukannya…
Moga Engkau Mengerti……….
3 comments:
saya suka cerita ni. :)
terima kasih sahabatku, Tuan Keri Ikhwan al-kelantani.. :)
di mana kedai tersebut? saya memerlukan khidmat membuat cermin mata. tq
Post a Comment