Tuesday, February 25, 2014

Dengar, Respon, Berhikmah...

Oleh : Razali Saaran

Beberapa hari yang lepas saya ke sebuah kedai komputer untuk membaiki 'printer' yang tidak berapa sihat kondisinya. Setelah menyatakan masalah yang saya hadapi, pekedai itu mencadangkan alternatif kepada permasalahan tersebut. Setelah membuat sedikit penelitian, mengganti yang baru atau menerima cadangan tersebut, akhirnya saya memutuskan untuk menerima cadangannya.

" Lagi satu jam encik datang ambil ", kata pekedai itu kepada saya.

" Baiklah, insya-Allah lagi sejam saya datang ambil ye."


Sejam Kemudian


" Dah siap. Nanti jika ada masalah boleh tengok manual ini ye", kata salah seorang pekerja kepada saya.

Saya mengangguk faham dengan apa yang diperkatakan.

" Terima kasih. Jika ada masalah saya akan datang semula ye."

" Sama-sama. Baiklah" jawab pekerja tersebut.


Beberapa hari kemudian


 " Encik, printer ni ada masalah la. Bila print, dakwatnya putus-putus."

Kemudian Pekedai itu berkata sesuatu kepada pekerjanya.

" Ini sebab u tak buka klip".

" Tak buka klip?" saya menjawab dengan nada sedikit terkejut.

" Iyalah, u tak buka ini klip sebab itu jadi macam ini" kata pekedai dengan nada sedikit tinggi dan seolah-olah menyalahkan saya.

" Manalah saya tahu, sebab saya bukan tahu semua perkara tentang IT ni" saya menjawab.

" Sepatutnya masa saya ambil printer ini itu hari awak beritahu saya tentang benda ni." saya menjawab lagi. 

" Awak tak boleh anggap semua orang faham tentang teknologi. Sepatutnya awak menjelaskan kepada saya apa patut saya buat bila sampai rumah. Sekarang awak sudah membuang masa saya dengan sedikit masalah yang sangat kecil" saya menambah lagi jawapan yang telah diberikan sebelum ini dengan sedikit perasaan geram.

Peniaga Yang Bijak, Tidak Akan Berdebat Dengan Pelanggan

Inilah kesilapan paling besar seseorang peniaga. Suka berdebat dengan pelanggan dan menyakitkan hati pelanggan. Ya, anda boleh menang, tetapi anda juga akan kehilangan pelanggan. Jika dia adalah pelanggan utama yang menyumbang pendapatan yang agak tinggi dan kerap kepada perniagaannya, nasib malang peniaga itu berganda-ganda.

Dengar Dan Respon Dengan Baik

Apabila pelanggan memperkatakan sesuatu, dengarlah terlebih dahulu dan respon setelah selesai mereka berkata-kata. Elakkan berdebat dan memperlekehkan pelanggan anda. Sekiranya mereka berasa terluka dan terhina dengan pandangan anda, itu adalah satu malapetaka buat perniagaan anda. Misalnya seorang pesakit berjumpa dengan seorang doktor. Setelah mendengar kata-kata pesakit, doktor telah memberikan pandangan yang sensitif seperti, " Awak ni tak jaga makan, sebab itu badan gemuk dan darah tak turun-turun." Jika ayat-ayat cinta tersebut benar-benar diungkapkan, kita percaya, pesakit itu akan terluka dan bertekad dalam hatinya tidak akan datang semula ke klinik tersebut.

Wahai peniaga di luar sana, tidak kira apa jua bidang perniagaan anda, hargailah pelanggan anda. Menang berdebat, adalah kekalahan bagi perniagaan anda. Jika anda menang sekejap, ruginya mungkin lama. 

Bukan Peniaga Sahaja

Sebenarnya, masalah suka berdebat dan sikap ingin menang ini bukan sahaja perlu dielakkan dalam urusan perniagaan, tetapi dalam urusan biasa kehidupan. Sebaiknya, jadilah insan yang banyak mendengar dan memberi respon yang menyenangkan jika berkesempatan. Jika tidak, memberi perhatian pada apa yang diperkatakan dan menunjukkan kesungguhan dan minat pada kata-kata mereka, itu lebih baik dan bermakna dalam hubungan sesama manusia. Namun begitu, jika terpaksa juga menjawab dan berkata-kata sesuatu supaya segala permasalahan terjawab dan dapat diselesaikan, gunalah bahasa dan pendekatan yang berhikmah. 

" Kemenangan kerana ingin menegakkan kebenaran, bukan bermakna mengalahkan orang lain dengan akhlak yang buruk..."

Wallahua'lam





Monday, February 3, 2014

Apabila Pujian Menarik Emosi…

Oleh : Razali Saaran

Semalam saya ke sebuah kedai cermin mata untuk menggantikan cermin  mata lama yang sudah rosak. Hajat di hati hanya ingin mengganti cerminnya sahaja kerana bingkai cermin mata yang lama masih ada. Tetapi setelah beberapa ketika saya membuat keputusan untuk membeli yang baru.

“ Saya sudah membeli cermin mata dibanyak kedai, tetapi saya rasa kedai ini yang terbaik “… Kata-kata tersebut saya ungkapkan setelah menerima layanan yang cukup baik daripada pekerjanya.

“ Kenapa u kata begitu ? “ Tanya pekerja wanita tersebut…

“ Saya sudah pergi banyak kedai, tetapi kedai ini bagus kerana memberi penerangan yang jelas pada saya… Saya suka”.

Pekerja itu tidak berkata apa-apa, tetapi daripada gerak badannya saya tahu dia suka dan bangga dengan pujian tersebut.

“ Encik tunggu lagi satu jam, nanti datang ambil yer”, wanita itu menuturkan kata-katanya dengan  senyuman.

“ Baiklah, nanti lagi satu jam saya datang ambil.”

Sebelum beredar…

“ emm, biar saya cuci cermin mata encik yang lama itu dulu.”

“ Ohhh, terima kasih “, sambil saya membalas dengan senyuman dan sedikit teruja.

Pujian Pada Perkara Yang Disukai Adalah Daya Tarikan Yang Hebat

Apabila saya memuji wanita tersebut kerana perkhidmatan yang terbaik yang telah diberikan olehnya, saya mendapat perkhidmatan tambahan tanpa diminta. Ya, perkhidmatan yang belum pernah saya terima di kedai cermin mata yang lain, melainkan jika saya yang memintanya. Tetapi di kedai tersebut saya mendapatkannya tanpa perlu meminta kepadanya. Saya percaya, dia memberikan servis tambahan tersebut kerana rasa ingin membalas dengan sesuatu yang dapat menggambarkan ucapan terima kasihnya yang tidak terhingga terhadap kata-kata yang menusuk kalbunya sebentar tadi. Saya benar-benar dapat merasakannya kerana selepas saya bercakap perkara tersebut kepadanya, dia turut menyatakan kepada saya yang dia ingin membantu saya menurunkan kadar rabun saya yang telah meningkat dengan menukarkan saya cermin mata yang paling sesuai dan dia telah membuktikan kepada saya melalui tindakan-tindakannya selepas itu.

Setiap Manusia Suka Pada Penghargaan

Saya perhatikan manusia itu suka pada penghargaan. Dengan penghargaan manusia akan bertindak dengan sukarela tanpa paksaan kerana mereka merasakan apa yang mereka lakukan selama ini dihargai. Perkara ini dapat dilihat pada diri kanak-kanak dan pekerja. Anak-anak saya, saat mereka dipuji, mereka sanggup melakukan perkara yang diminta ke atasnya. Saya melihatnya dan takjub dengannya.

Wahai ibu ayah, wahai pemimpin organisasi, wahai guru, wahai peniaga, wahai usahawan, wahai ahli politik, wahai pendakwah, sekalian manusia, pujian itu sangat bermakna sekali, terutamanya buat mereka yang tidak memerlukannya…

Moga Engkau Mengerti……….





Wednesday, January 15, 2014

Disaat Kelaparan...

Disaat engkau kelaparan, engkau mencari makanan...

Hilanglah rasa lapar perutmu...

Tetapi hatimu bagaimana... Tenangkah ia? Atau ia sedang gelisah...

Ketika mana perut kelaparan, makanannya adalah yang zahir pada pandangan matamu...

Tetapi, disaat jiwamu kosong, engkau membiarkannya kelaparan...

Mengapa? Kerana engkau menyangka ia tidak memerlukan apa-apa... Nanti, hati yang gelisah akan tenang semula... Begitulah apa yang selalu engkau fikirkan di kotak fikiranmu...

Tetapi, beberapa ketika, rupa-rupanya ketenangan tidak datang juga... Rasa gelisah masih menyelubungi hatimu... Engkau masih mencari-cari dan tertanya-tanya di mana puncanya... Sedangkan engkau lupa, ini semua kerana jiwanmu masih kosong tanpa isinya...

Sampai bila engkau mahu membiarkannya?

Tuesday, January 7, 2014

Wahai Ayah !

wahai ayah,

saat anakmu berlari-lari kepadamu,

engkau memalingkan mukamu.

Katamu, " Ayah letih "...

Lalu anakmu berlalu pergi...

Wahai ayah,

Saat anakmu datang kepadamu bersama wajah yang ceria,

engkau bermasam muka...

katamu,

" Ayah letih, pergilah ke sana "

Wahai ayah,

saat anakmu berkata-kata denganmu,

engkau tidak memandang wajahnya...

katamu,

" lain kali sahaja kita berbicara, ayah letih "


Lalu wahai ayah,

Bilakah masanya lagi engkau tidak letih?

Esok? Lusa? Tulat? atau bila ayah?


Adakah setelah nanti anakmu telah dewasa...

Di Saat usiamu pula sudah tua..

Di Saat engkau mengeluh kerana tidak dipedulikan...

Nanti, bila mana engkau datang kepada mereka, mereka berkata,

Wahai ayah, kamu mahu apa? Kami sedang sibuk di sini... Lain kali sahaja kita bicara..

Lain kali sahaja kami datang melawat ayah...

Kami letih kerana kami bekerja... Sebagaimana letihnya ayah satu ketiha dahulu!

Thursday, January 2, 2014

INDAHNYA HIDUP BERMATLAMAT

Oleh : Razali Saaran

Alhamdulillah, tahun baru menjelma lagi..


Alhamdulillah, kita masih diberi nafas lagi...

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk menghadapi hidup ini...

Dalam hidup, yang membezakan kita dengan makhluk yang bernyawa itu adalah matlamat hidup. Kita dapat melihat bagaimana Lelaki A yang mempunyai matlamat yang jelas tahu ke mana hendak di bawa dirinya berbanding Lelaki B yang tiada arah hidupnya. Ibarat sebuah kenderaan yang luncur laju, bergerak menuju destinasi yang telah ditetapkan, akhirnya tiba dengan selamat mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan. Ianya berbeza sekali dengan mereka yang memandu keretanya kerana tidak tahu hendak ke mana. Akhirnya dia pulang semua ke rumahnya dengan keletihan. Mungkin kerana bosan dengan hidupnya yang seharian di rumah, akhirnya mengambil keputusan keluar berjalan-jalan tanpa arah tujuan. 

Beruntungnya! Beruntungnya! Beruntungnya Kalian !

Apabila hidup mempunyai matlamat, ia ibarat kompas yang memandu kita ke arah yang betul. Jika kita bersolat di tempat yang baru, kompas membantu kita menentukan arah kiblat dengan betul. Ya, kompas memberikan kita keyakinan yang tinggi dan menghilangkan rasa ragu-ragu dalam hati.

Orang yang mempunyai matlamat hidup adalah orang yang beruntung. Ini kerana matlamat itu adalah permulaan kepada kejayaan dalam hidupnya. Dengan adanya matlamat, ia memberi panduan ke arah mana hendak dituju sebagaimana kompas itu berfungsi sebagai penunjuk arah yang betul. Matlamat hidup juga menjadikan mereka bertindak mengikut laluan yang betul dan terancang. Mereka tidak memandai-mandai melainkan mengikut perancangan yang telah digariskan. Berbeza pula dengan mereka yang tiada matlamat hidup. Mereka bertindak mengikut hatinya. Apa yang dilaluinya pada hari tersebut, itulah yang akan ditempuhinya. Pada mereka, matlamat hanya akan mengikat hatinya tanpa kebebasan.

Matlamat Itu Mestilah Jelas Dan Realistik !

Sesuatu matlamat itu bukanlah sekadarnya sahaja. Ianya bukan sekadar menyebutnya dibibir ataupun menulisnya di atas kertas, ataupun menaipnya di skrin komputer. Ianya mestilah jelas. Ianya mestilah sesuatu yang realistik untuk dicapai. Matlamat yang jelas dan realistik memudahkan kita membuat perancangan yang teliti untuk mencapainya dan ianya dapat mengelakkan kita daripada dilihat sedang membuat lawak jenaka. 

Mulakan ! Mulakan !

Apabila kita telah menetapkan matlamat, kita mesti menggerakkannya mengikut kemampuan kita. Janganlah sesekali membiarkan matlamat itu sekadar diluahkan sahaja. Jika itu yang berlaku, dibimbangi kita ini seperti " Mat Jenin " sahaja sikapnya. Berangan-angan tinggi, tetapi sekadar di bibir dan di hati. Semasa tempoh pelaksanaan pula, kita harus mengerti bahawa kita memerlukan bantuan fizikal dan mental daripada orang lain yang berada di sekeliling kita. Kita tidak dilahirkan dengan memiliki semua pengetahuan dan kemahiran. Ada ketikanya kita memerlukan pertolongan daripada orang lain untuk melancarkan proses ke arah mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Lihatlah Henry Ford, beliau berjaya mencapai cita-citanya dalam dunia automatif bukan kerana dirinya sahaja, tetapi kerana beliau memiliki pakar-pakar yang hebat dalam bidang tersebut yang turut membantunya. Beliau tidak berdiri sendiri, tetapi beliau berdiri besama-sama mereka yang berada di sekelilingnya. 

Semoga Berjaya

Cabaran paling hebat ketika proses pelaksanaan ialah ' putus asa '. Fasa ini adalah realiti yang dihadapai oleh mereka yang sedang berjuang untuk mencapai impiannya. Kita dapat melihat bagaimana tidak sedikit yang tersungkur di pertengahan jalan sehingga tidak mampu berdiri lagi kerena berputus asa dengan kemampuan dirinya. Ada juga yang bangkit semula setelah jatuh. Bahkan ada yang berjuang tanpa putus asa biarpun dugaannya hampir menjatuhkan semangatnya. Namun begitu, sama ada jatuh dan bangkit semua, ataupun tidak pernah jatuh semangatnya, saya berdoa semoga kita semua berjaya mencapai cita-cita ataupun impian yang telah dimatlamatkan. Berusahalah dengan sekuatnya, tetapi janganlah dilupa pada nilai kehambaan di dalamnya. Ini kerana sama ada kita gagal atau berjaya, Allah jua yang menentukannya. Apa yang penting, teruskan berusaha dan berdoa. Mudah-mudahan ada sinar di hadapan sana.

Selamat Maju Jaya...

Selamat Tahun Baru 2014...

RAZALI SAARAN

Fikir tanda fakir,
Seremban,
Januari 2014

* Indahnya Hidup Bermatlamat adalah tajuk ceramah yang paling kerap saya sampaikan di sekolah dan IPT.. Semoga bermanfaat..  


Tuesday, December 17, 2013

Perkongsian Ilmu ( Jemputan Ceramah )

Kebiasaannya apabila awal tahun menjelma, ceramah yang kerap saya sampaikan ialah berkaitan dengan Motivasi Pelajar samada di sekolah ataupun di IPTA.. Kebiasaannya juga tajuk yang saya pilih ialah " Indahnya Hidup Bermatlamat "...

Sejujurnya ia bukan ceramah biasa.... Bukan juga luar biasa. Tetapi alhamdulillah, setiap kali saya habis berceramah, ada audiens akan mengatakan, " cikgu, 2 jam saya mendengar tanpa mengantuk. Ceramah cikgu lain daripada kebiasaan yang saya dengar."

Persediaan Bahan

Apabila saya ingin memenuhi undangan berceramah, perkara utama yang saya fikirkan ialah bahan yang ingin dikongsikan berdasarkan audiens. Bukan mudah, tetapi saya akan berusaha untuk berikan bahan-bahan yang mungkin berbeza dan ada nilai pada hati yang mendengar. Saya masih ingat, apabila seorang mahasiswi universiti mengatakan, " cikgu, ceramah cikgu telah memberi sesuatu kepada saya." Bahkan kata-kata daripada seorang guru yang turut berada dalam ceramah yang saya sampaikan turut mengatakan, " 2 jam saya dengar ceramah cikgu, saya tak mengantuk pun..."

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberi kesempatan kepada saya  untuk berkongsi pengalaman, cerita, semangat dan apa sahaja kepada pendengar. Saya sentiasa sedar, saya bukan penceramah yang terkenal. Saya hanya penceramah kecil-kecilan yang sentiasa berharap dan berdoa agar yang mendengar akan mendapat manfaat biarpun sedikit. 

Perkongsian Buku-Buku

Selain daripada ceramah di atas, saya juga sering dijemput memberi ceramah tentang buku yang saya tulis iaitu,

Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik ( untuk guru dan ibu bapa )

Nota Hati Buat Pelajar ( motivasi )

Watak-Watak Dalam Organisasi ( Kepimpinan )

* Jika ada yang ingin menjemput, saya mengalu-alukan.. Sila hubungi saya melalui, 

email               :  razalisaaran@yahoo.com
Telefon bimbit :  012-6248206

Tuesday, November 12, 2013

HLP - Hadiah Latihan Persekutuan

Alhamdulillah, hari ini ( 12/11/13 ) saya telah menerima surat tawaran Biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan ( HLP ) di Putrajaya bagi program Sarjana Pendidikan Keusahawanan. Setelah menanti selama beberapa tahun, akhirnya impian untuk menyambung pelajaran tercapai jua. Biarpun agak lewat berbanding orang lain, Alhamdulillah peluang yang diberikan ini berbaloi kerana diberi biasiswa, bergaji penuh serta bercuti sepanjang pengajian selama dua tahun. 

Dikesempatan ini, saya ingin berkongsi sedikit pengalaman sepanjang permohonan dibuat sehinggalah sesi temuduga berjalan. Mudah-mudahan ianya bisa memberi sedikit manfaat buat kalian yang ingin menyambung pengajian melalui saluran Tajaan daripada kementerian pendidikan. Antara perkara yang perlu diambil perhatian semasa ingin memohon ialah,

1. sumbangan kepada organisasi 
2. anugerah-anugerah yang pernah diterima
3. hasil penerbitan ilmiah ( buku, jurnal, kajian tindakan, artikel dsb). Saya berpandangan ini adalah satu nilai tambah yang paling berharga kepada pemohon.
4. proposal yang relevan dengan sekolah.

Sekiranya dipanggil untuk temuduga, maka perkara berikut perlu diberi perhatian.

1. Proposal yang lengkap dan relevan dengan kehendak organisasi. Contohnya jika sekolah, maka kajian mestilah relevan dengan keperluan sekolah.
 
2. Menjual diri - Maksudnya, semasa pembentangan perlu menonjolkan diri dan meyakinkan penemuduga bahawa kalian memang layak menerima biasiswa tersebut. Pada waktu ini, tahap keyakinan perlu tinggi dan tidak takut memberikan hujah yang bernas.

3. Adab - Ini juga penting semasa temuduga berjalan. Jagalah adab ketika masuk ke bilik, ketika duduk, ketika menjawab dan ketika ingin keluar. 

Selesai proses temuduga, berdoalah dan bertawakkallah kepada Allah. Mudah-mudahan ada rezeki kalian. Sekiranya tiada rezeki, janganlah berputus asa kerana Allah Maha Mengetahui bila masa yang paling sesuai untuk kalian menyambung pengajian. 

Selamat mencuba dan semoga kejayaan menjadi milik kalian.... Insya-Allah


TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...